Home Top Ad

Apa maksud Masihi, BC & AD pada kalendar?


Kalendar merupakan sistem menyukat hari yang dicipta berdasarkan motif sosial, keagamaan, komersial dan pentadbiran. Pelbagai jenis kalendar di dunia ini diatur berdasarkan kitaran bulan atau matahari.

Kalendar Gregorian adalah yang paling lazim digunakan di seluruh dunia sehingga hari ini. Ia diperkenalkan oleh Paus Gregory XIII pada Oktober 1582, sebagai semakan kepada kalendar Julian yang digunapakai sebelumnya.

Apa sebab seluruh dunia merujuk kepada kalendar Gregorian bagi segala macam urusan hari ini? Perkembangan kuasa Barat yang membawa bersama misi mubaligh mereka pada zaman dahulu mempengaruhi negara-negara jajahan mereka untuk mengikut cara mereka. Kerana sudah terbiasa, maka diteruskan penggunaannya.

Selain itu, ada juga kalendar Hijrah yang dirujuk oleh orang Muslim untuk hal ibadah khususnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peradaban purba Maya di Mexico juga mencipta sistem kiraan hari mereka yang tersendiri. Begitu juga bangsa dan agama lain di seluruh dunia.

Kalendar kaum Maya yang unik. (Sumber: Pinterest)


Kebanyakan kalendar adalah kurang lebih sama perkiraannya, cuma ada sedikit ralat antaranya. Memandangkan yang dirujuk adalah kitaran bulan dan matahari, maka setahun bererti satu kitaran lengkap Bumi mengelilingi Matahari, sebulan bermaksud satu kitaran lengkap Bulan mengelilingi Bumi, dan sehari adalah satu pusingan lengkap Bumi pada paksinya.

Satu tahun ada 12 bulan, satu bulan ada 28 hingga 31 hari, dan sehari ada 24 jam. Begitulah dari dahulu sampai kini.

Selalunya kejadian sesuatu peristiwa besar atau penting akan menjadi tanda bagi memulakan atau menamatkan satu tempoh perkiraan zaman. Perkiraan tahun Islam Hijrah bermula pada hari penghijrahan Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, dan secara rasminya diperkenalkan 17 tahun selepas peristiwa itu oleh Saidina Umar al-Khattab.


Bagaimana pula dengan kalendar Gregorian yang selalu dilihat ditulis BC, AD, dan Masihi selepas bilangan tahunnya?

Kalendar Gregorian dan Julian berakar daripada sistem perkiraan yang diperkenalkan oleh seorang sami Kristian Orthodoks kurun ke-6, Dionysius Exiguus. Pada tahun 544, Dionysius memperkenalkan pentarikhan Anno Domini (AD) yang bermula pada tarikh kelahiran Isa Alaihissalam (AS).

St. Dionysius yang Rendah Diri, berkhidmat untuk Paus John I. (Sumber: Wikipedia)

Dalam sistem tersebut, tahun sebelum kelahiran Jesus of Nazareth ditulis dengan BC yang bererti Before Christ. BC dikira secara mengundur, bererti tahun 1991 BC tak sama dengan AD 1991. 1991BC dikira menurun sehinggalah ke 1 BC, dan tahun berikutnya dikira sebagai AD 1.

Nabi Isa AS juga dipanggil al-Masih dalam dunia Islam, yang secara literalnya bererti 'Yang Diurapi' (The Anointed One). Maka di alam Melayu, tahun Masihi itu merujuk kepada perkiraan AD. Sebelum Masihi pula bererti sebelum kelahiran al-Masih, bersamaan dengan BC.

Terdapat juga sesetengah komuniti yang menggunakan terma CE dan BCE, yang bermaksud Common Era dan Before Common Era. Pada lewat kurun ke-20, terma ini dipopularkan oleh golongan akademik dan penerbitan saintifik sebagai sebuah terma yang lebih neutral dan tidak mengusik golongan sensitif agama terutamanya yang bukan Kristian. Namun, perkiraan CE dan BCE adalah sama dengan AD dan BC. 

*Sumber: Wikipedia, Druide
Apa maksud Masihi, BC & AD pada kalendar? Apa maksud Masihi, BC & AD pada kalendar? Reviewed by Hilal Azmi on September 08, 2020 Rating: 5

No comments