Home Top Ad

Asal usul nama Sabah


Sabah, negeri di utara Borneo yang menyimpan pelbagai rahsia alam semulajadi juga sarat sejarah manusianya. Negeri Di Bawah Bayu, tempat bersemayamnya gunung tertinggi di Asia, Kinabalu.

Sejarah ketamadunan Sabah bukan bermula sejak ketibaan penjajah British, tetapi jauh lebih lama daripada itu. Penduduk asal pelbagai suku kaum sudah terlebih dahulu membentuk kemasyarakatan sendiri sebelum tibanya kuasa besar mentadbir mereka.

Catatan terawal menceritakan bahawa Sabah berada di bawah pentadbiran Empayar Brunei pada kurun ke-7. Empayar itu menjadi sebuah Kesultanan selepas pemerintahnya, Awang Alak Betatar memeluk Islam pada kurun ke-14/15.

Selepas Perang Saudara Brunei pada 1658, Sultan Brunei ketika itu menyerahkan sebahagian utara dan timur Sabah kepada Kesultanan Sulu sebagai pampasan kepada pertolongan mereka dalam peperangan tersebut. Sehinggalah British datang pada 1761 membuka pelabuhan dagang sebelum merampas segalanya.

Ketibaan British menukarkan nama Sabah kepada Borneo Utara pada 1879, dan melarang penggunaan nama lama itu dalam semua urusan rasmi. Dipendekkan cerita, Jepun datang pada 1942 kemudian pergi tiga tahun kemudian, kembali ke pentadbiran British, dan akhirnya Borneo Utara membentuk kerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963.

Bersama Sarawak, Singapura dan Malaya, Borneo Utara secara rasmi membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun yang sama. Di bawah lembaran baharu itu, negeri tersebut mengembalikan nama asalnya kepada Sabah dan kekallah dipanggil dengan nama itu sehingga hari ini.

Dari mana datangnya nama Sabah, bah? Ada beberapa teori menjelaskan asal-usul nama itu.

Satu riwayat mengatakan ia diambil daripada bahasa Melayu Brunei yang berakar daripada bahasa Dusun, 'sabah' yang membawa maksud 'seberang'. Ada juga berpendapat bahawa ia sempena pisang saba, yang didapati banyak tumbuh di pesisir pantai wilayah tersebut.

Pisang saba, banyak tumbuh di pesisir pantai Sabah dan Filipina. Pisang ini selalu digunakan untuk buat pisang goreng. (foto: Wikipedia)

Teori orientalis British, Allen R. Maxwell menyatakan nama Sabah berasal daripada perkataan Kedayan Brunei yang bererti 'terletak di hulu sungai.' Ia merujuk kepada kerajaan yang berada di jauh di penghujung Sungai Brunei yang menyusuri Bandar Seri Begawan.

Cerita nenek moyang orang tempatan pula mengatakan Sabah dinamakan sempena perkataan 'dasasabah' yang bererti laut. Penduduk sekitar perairan Sabah akan berkata 'mongoi dasasabah' jika mahu turun ke laut.

Begitupun, Sabah juga dikenali dengan nama lain berdasarkan catatan dalam dokumen-dokumen lama. Catatan puisi Jawa Kuno, Nagarakertagama yang dikarang Prapancha pada tahun 1365 memanggil wilayah tersebut sebagai 'Seludang.' Penjelajah berbangsa Itali, Marco Polo juga mencatat wilayah Sabah sebagai 'Burni', memandangkan ia pada ketika itu berada di bawah kedaulatan Kesultanan Brunei.

Kenapa pula ia digelar 'Negeri Di Bawah Bayu'. Antara sebabnya adalah kedudukan geografi Sabah yang berada di bawah lingkatan taufan Asia Timur tetapi tidak pernah dibadai taufan besar seperti negara jiran Filipina, cuma dilanda ribut biasa.

Begitulah ceritanya.

*Sumber: Wikipedia, The Patriots Asia, 


Asal usul nama Sabah Asal usul nama Sabah Reviewed by Hilal Azmi on September 28, 2020 Rating: 5

No comments