Home Top Ad

Cerita teh: Asal usul & bagaimana ia terkembang ke seluruh dunia



Teh merupakan minuman kedua paling kerap diminum oleh manusia serata dunia selepas air kosong. Mana ceruk dunia pun mesti ada teh. Teh atau kopi. Tak semua orang suka minum kopi, tapi selalunya orang boleh layan teh.

Awalnya dahulu, teh ini berasal dari Asia Timur, dipercayai sekitar persempadanan utara Burma (Myanmar) dengan Yunnan, wilayah barat daya China sekitar 1,500 tahun Sebelum Masihi. Dedaun segar atau terawat dari jenis Camellia sinesis direndam dalam air panas untuk diminum sebagai ubat.

Selain itu, ia juga menjadi minuman perangsang terutamanya oleh maharaja Dinasti Han kemudian semakin menjadi minuman rekreasi ketika Dinasti Tang, sebelum terus berkembang ke wilayah-wilayah Asia Timur sehingga ke Korea dan Jepun. 

Pokok teh (Camellia sinesis) daripada buku Köhler's Medicinal Plants, 1897. (Sumber: Wikipedia) 

Aktiviti perdagangan dengan kuasa Barat menyebar luaskan lagi permintaan teh. Kapal Portugis yang pertama tiba di pelabuhan China pada 1516, dan para pedagang dan mubaligh Kristian Portugis diperkenalkan kepada minuman yang ketika itu dipanggil chá. Didorong pasaran teh yang semakin berkembang, Portugal membuka pelabuhan perdagangan di Macau pada 1557.

Peranan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) turut merancakkan permintaan teh di dunia Barat, apabila kuantiti besar teh dibeli dan dibawa pulang ke Amsterdam di awal kurun ke-17. Minuman teh menjadi satu trend di The Hague yang kemudian merebak ke Jerman, Perancis dan merentas Lautan Atlantik ke New Amsterdam (nama lama New York).

Teh mula popular dalam kalangan orang Inggeris sekitar 1650-an, apabila ia menjadi salah satu menu di kedai-kedai kopi. Perkahwinan Catherine of Braganza dengan Raja British, Charles II memperkukuhkan keberadaan teh di bumi British apabila ia menjadi minuman kegemaran di kamar permaisuri Portugal itu di istananya di England.

Permaisuri Catherine Braganza, manusia yang bertanggungjawab membawa teh ke kamar diraja British. (Sumber: Wikipedia)

Menjelang 1700-an, teh menjadi minuman paling popular di Eropah, dan dijual pada harga 10 kali ganda daripada kopi. Pada ketika itu, hanya China menjadi pengeluar teh yang diperdagangkan ke seluruh dunia. British terutamanya, melalui Syarikat Hindia Timur (EIC), membayar teh dengan kepingan perak kepada China.

Lama-kelamaan, pihak British mendapati urus niaga teh dengan perak adalah merugikan untuk jangka masa panjang. Bagi melaraskan perbelanjaan perak untuk mendapatkan teh, British memperkenalkan barang dagangan baharu kepada China - candu (opium). 

Candu bukanlah sesuatu yang baharu di tanah China, namun lambakan bekalannya hasil aktiviti perdagangan mencambahkan kegiatan menghisap yang akhirnya membawa kepada ketagihan yang membarah dalam kalangan rakyatnya. Maka kerajaan Dinasti Qing bertindak dengan membendung import candu dari EIC sekitar 1838.

Jong perang China dibedil kapal stim British, Nemesis dalam Pertempuran Chuenpi Kedua, ketika Perang Candu pertama pada 1841. (Sumber: Wikipedia)

Tindakan itu menyebabkan British berdepan isu dana untuk membayar para pedagang teh memandangkan teh adalah sumber cukai utama untuk Empayar British pada ketika itu. Oleh hal yang demikian, maka tercetuslah Perang Candu yang pertama.

Pada masa sama, British juga mahu memecahkan monopoli China dalam perdagangan teh. Lalu dihantar seorang ahli botani, Robert Fortune untuk menyeludup pokok teh serta membawa bersama beberapa orang petani teh berpengalaman di China untuk dibawa ke India. Di wilayah  jajahannya itu, British membuka ladang penanaman tehnya yang pertama di Darjeeling, Ceylon dan Assam.

Ladang teh di Cameron Highlands, Malaysia. (Sumber: Wikipedia)

Kejayaan British menanam teh di wilayah-wilayah jajahannya termasuk di Tanah Melayu menjadi antara pendorong peluasan dan pengukuhan kuasa global British sehingga ke penghujung kurun ke-18. Sehingga hari ini, teh sering dianggap sebagai lambang budaya British, tetapi tidak kurang juga melihat teh sebagai simbol penjajahan kuasa Barat itu.

Cerita pasal teh memang panjang. Untuk kali ini, cukuplah dahulu sampai di sini. Jom ngeteh dulu. 

*Sumber: Wikipedia, TED-Ed
Cerita teh: Asal usul & bagaimana ia terkembang ke seluruh dunia Cerita teh: Asal usul & bagaimana ia terkembang ke seluruh dunia Reviewed by Hilal Azmi on September 07, 2020 Rating: 5

No comments