Home Top Ad

Jambatan Choluteca, metafora pengajaran kehidupan



Tidak ramai tahu kisah Jambatan Choluteca, sebuah jambatan kukuh yang dibina di Honduras, negara Amerika Tengah yang sering berlakunya bencana alam dan ribut taufan.

Tetapi sejak kehadiran COVID-19, kisah jambatan yang turut dikenali sebagai 'Jambatan Tidak Ke Mana' itu sering diungkit balik dan dijadikan sebagai metafora dan pengajaran kehidupan manusia.


Ini kisahnya dan mengapa ia boleh dijadikan contoh dalam krisis yang dialami dunia hari ini.



Nak pergi mana guna Jambatan Choluteca?

Mana dapat nama 'Jambatan Tidak Ke Mana'?

Jambatan yang dibina di atas Sungai Choluteca itu mula dibina pada tahun 1996 dan siap pada tahun 1998 berfungsi untuk menyambungkan jalan raya baharu.

Tidak lama selepas ia siap dibina, ribut taufan Mitch (Hurricane Mitch) berlaku dan menyebabkan paras air sungai berkenaan naik tinggi sehingga membanjiri kawasan serta bandar-bandar sekitar.


Malangnya, bencana itu menyebabkan kemusnahan jambatan di kawasan itu dan mengorbankan 7,000 nyawa, hanya Jambatan Choluteca satu-satunya jambatan yang tidak runtuh.


Jambatan itu yang dibina oleh syarikat Jepun, menggunakan teknologi paling moden pada masa itu bagi memastikan ia mampu tahan bencana alam, tetapi satu yang tidak difikirkan oleh para pembina, iaitu kesan bencana yang tidak tentu dan tidak dapat dijangka.


Walaupun jambatan itu kekal kukuh, ribut taufan yang melanda telah menyebabkan aliran air sungai bertukar dan menyebabkan jambatan itu terpusing, menukar arah, sekali gus hilang fungsinya dan mendapat nama 'Jambatan Tidak Ke Mana'.


Macam mana ia boleh dijadikan pengajaran kehidupan hari ini?


Orang ramai menganggap kisah Jambatan Choluteca sebagai metafor kerana sekukuh mana sesebuah jambatan, atau sebanyak mana anda merancang masa depan, lumrah ketidak tentuan kehidupan mampu mengubah nasib pada bila-bila masa. 

Contoh dalam dunia pekerjaan, anda mungkin mempunyai pengalaman bekerja selama bertahun-tahun, tetapi apabila datangnya era dunia baharu dan teknologi mengambil alih kemahiran, perkhidmatan anda mungkin tidak lagi relevan.


Perkara itu juga boleh dilihat dari sudut pelaburan, apabila anda hanya melabur dalam satu jenis komoditi atau satu aset sahaja dengan harapan harga saham akan sentiasa stabil, kemelesetan ekonomi dunia boleh berlaku dan harga saham boleh jatuh dan merugikan anda.


Jadi secara kesimpulannya, jangan terlalu selesa di mana anda berada sebaliknya sentiasa berfikiran terbuka untuk mencuba perkara baharu, sentiasa bersifat ingin tahu, ingin belajar dan jangan takut dengan kegagalan.


Kegagalan itu boleh dijadikan sebagai pengajaran, seperti Jambatan Tidak Ke Mana, yang akhirnya dibaiki pada tahun 2003 dan kini berfungsi seperti biasa.



Jambatan Choluteca selepas dibaiki.
Foto: Wikipedia
Sumber foto: Katie Moum


Jambatan Choluteca, metafora pengajaran kehidupan Jambatan Choluteca, metafora pengajaran kehidupan Reviewed by Hilal Azmi on September 02, 2020 Rating: 5

No comments