Home Top Ad

Kenapa kita sedu?


Orang tua-tua kata kalau budak sedu, maknanya dia nak membesar. Tapi kalau orang dewasa pun sedu nak membesar apa lagi?

Sebenarnya, sedu atau hiccups adalah satu fenomena yang biasa berlaku tak kira pada sesiapa pun, kecil atau besar. Binatang pun sedu.

Ia terjadi kerana pergerakan mengejut diafragma, otot berbentuk kubah di antara paru-paru dan perut yang mengawal pernafasan. Udara masuk ke paru-paru kita apabila otot ini menarik ke bawah, dan udara dilepaskan apabila ia kembali ke bentuk asalnya.

Tetapi apabila ada sesuatu yang mengganggunya, diafragma akan mengejang dan memaksa udara disedut masuk ke kerongkong kita. Ia menyebabkan epiglottis (penutup antara salur ke paru-paru dan salur ke perut) tertutup tiba-tiba ketika udara sedang masuk laju, lalu terhasillah bunyi 'HIK' yakni sedu.


Apa punca sedu? Ada macam-macam sebab dalam bentuk fizikal mahupun emosi. Antaranya menelan makan terlalu laju atau banyak, pengambilan banyak minuman berkarbonat atau beralkohol, atau tertelan angin semasa mengunyah. Tekanan perasaan, rasa gemuruh malah perubahan suhu secara tiba-tiba juga punca berlakunya sedu.

Pakar kesihatan percaya bahawa sedu boleh dihentikan dengan menahan nafas atau bernafas dalam beg kertas. Apa asas sainsnya tidak dapat dipastikan, tetapi teknik tersebut dapat mengumpulkan karbon dioksida dalam paru-paru sekaligus menenangkan otot diafragma.

Sedu ini selalunya datang sekejap-sekejap sahaja, tapi ada kes (jarang) yang sedu berpanjangan dan tak henti-henti. Ia disebabkan ada gangguan pada saraf yang terhubung dengan otot diafragma.

Masalah pada sistem saraf tunjang seperti encephalitis atau meningitis, juga masalah metabolik seperti kencing manis atau kegagalan fungsi buah pinggang adalah antara penyebabnya. Dadah seperti steroid dan penenang juga boleh mencetuskan sedu berpanjangan.

Kalau anda asyik sedu tak henti-henti sampai dua hari terutamanya hingga menyebabkan sukar bernafas, makan, tidur dan keresahan, pergilah jumpa doktor untuk dapatkan rawatan.

*Sumber: WebMD, Factinate


Kenapa kita sedu? Kenapa kita sedu? Reviewed by Hilal Azmi on September 23, 2020 Rating: 5

No comments