Home Top Ad

Rahsia Red Bull jadi kaya

 


Pada 2019, Red Bull jual 7.5 bilion tin air minumannya, dan meraih pendapatan sebanyak AS$6 bilion. Untuk mencapai kejayaan itu, mereka menggunakan 1/3 bajet yang ada untuk pemasaran.


Semua ini bermula pada 1987, apabila Dietrich Mateschitz dari Austria berkongsi pelaburan sebanyak AS$1 juta (RM4.1 juta) dengan pemilik Red Bull Thailand, Chaleo Yoovidh.


Mateschitz memposisikan semula Red Bull sebagai minuman tenaga untuk pasaran Eropah, satu produk yang belum wujud di rantau itu.


Bagaimana Red Bull buat duit kerana syarikat itu dilihat membuat banyak penajaan dan pemilikan pasukan sukan, dengan menjual air minuman yang mahal?


Tiada kilang produksi, tukang buat pemasaran sahaja


Hafizh Syahrin merupakan salah seorang atlet Red Bull. Foto: redbull.com

Macam orang tengah, Red Bull jimat kos operasi. Syarikat itu tidak mempunyai kilang membuat minuman Red Bull.


Mereka mengupah pihak ketiga untuk produksi minuman itu supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemasaran sahaja. 


Logistik dan pengedaran Red Bull pun dibuat oleh pihak ketiga.


Kos produksi setin Red Bull hanya $0.09, berbanding harga runcit $3.59 setin.


Harga borong pula 20 kali ganda daripada kos produksinya sendiri. Jadi anggar lah sendiri berapa keuntungan setin Red Bull.


Imej rebel kena dengan jiwa orang muda yang memberontak




Mana ada orang muda nak jadi budak baik dan mana ada awek yang suka lelaki yang terlampau baik atau berimej nerd


Imej bad boy Red Bull diperoleh selepas produk itu diharamkan di negara Jerman.


Ini menyebabkan orang muda di Jerman berasa seperti rebel/budak nakal apabila minum Red Bull dan mereka sanggup menyeberang sempadan ke Austria untuk membeli minuman tenaga yang diharamkan itu.


Beri kuasa kepada orang muda buat pemasaran


Gadis litar Red Bull. Foto: motogp.com


Bukan sahaja memberi kuasa kepada orang muda ataupun Student Brand Managers di universiti dan kolej untuk mencipta pemasaran cara mereka, Mateschitz memastikan strategi pemasaran mula fokus kepada club scene terlebih dahulu.


Orang muda menganjurkan macam-macam parti dengan jenama Red Bull terpampang di acara itu.


DJ pun minum Red Bull


Setiap imej atau visual di kelab malam menunjukkan orang muda berparti sambil pegang atau minum Red Bull (shh… campur alkohol, jangan beritahu orang).


Selain itu, Red Bull menggunakan kenderaan seperti Volkswagen Beetle dengan meletakan satu tin Red Bull gergasi pada kereta itu, bertujuan untuk pergi mempromosi minuman itu di kampus universiti, tepi pantai dan tempat ramai orang muda melepak.


Membuka kategori minum baharu, pasaran baharu




Dengan keyakinan yang tinggi terhadap produk mereka dan pemasaran yang bijak, mereka menjual minuman mereka pada harga yang lebih tinggi berbanding minuman soda yang sudah lama bertapak di pasaran seperti Pepsi dan Coca-Cola.


Adakah jenama minuman itu pesaing mereka? Tidak sekali kerana Red Bull dipasar sebagai minuman tenaga, bukan soda biasa seperti yang dipasarkan oleh minuman lain.


Pemasaran bukan tradisional


Red Bull selemba anjur perlumbaan kapal terbang. Gila


Selepas mengerah kreativiti orang muda, Red Bull mula bekerjasama dengan atlet-atlet terkemuka dunia dan juga pemilikan pasukan sukan.


Cara ini merapatkan lagi hubungan mereka dengan pelanggan selain memberi keyakinan terhadap produk Red Bull.


Red Bull menang F1 empat tahun berturut-turut dari 2010-2014

Keyakinan itu mungkin terhasil apabila logo Red Bull yang sama diletakkan pada sebuah jentera pasukan Formula One dan pasukan bola sepak terkemuka.


Selain itu, pelanggan juga berasa seakan aktif dan cergas seperti atlet-atlet profesional yang ditaja oleh syarikat minuman Austria itu.


Ada syarikat media sendiri yang menerbit kandungan Story Performing


Strategi pemasaran Red Bull yang paling berkesan ialah pemasaran menerusi kandungan, yang bukan sekadar sebuah penceritaan biasa, tapi yang dipanggil Story Performing.


Semua kandungan yang diterbitkan Red Bull memastikan ia memberi impak kepada sasaran mereka.


Daredevil, Felix Baumgartner diuji kemampuan batasan manusia dalam Red Bull Stratos

Contoh Story Performing yang paling hebat adalah Red Bull Stratos, dimana ia mendokumen perjalanan seorang atlet sukan ekstrem, Felix Baumgartner yang nekad melakukan terjunan bebas dari stratosfera (angkasa) ke bumi (ketinggian 180,000 kaki, mencapai kelajuan 1,342 kilometer sejam).

Walaupun Red Bull membelanjakan sekitar AS$50 juta untuk menjayakan projek itu, ia ternyata satu pelaburan yang berbaloi apabila meraih pulangan publisiti pemasaran bernilai lebih AS$6 bilion!


Pembangunan Atlet dan pemilikan pasukan sukan


Bukan setakat menaja atlet untuk mempromosi Red Bull (secara tidak keterlaluan), menerusi sukan, Red Bull membangunkan atlet muda yang berpotensi.


Ini juga satu bentuk pemasaran yang baik untuk imej Red Bull.




Contohnya, Red Bull memiliki beberapa kelab bola sepak, di mana mereka menggunakan sinergi itu untuk membangunkan pemain di negara lain, sebelum membawa pemain ke Eropah atau Amerika Syarikat untuk bermain dengan kelab yang dimiliki mereka.


Pemilikan kelab bola sepak Red Bull New York pada nilai AS$25 juta pula satu keputusan yang bijak apabila kelab itu kini bernilai lebih AS$290 juta. 


Boleh tiru Red Bull, sanggup?


Kesimpulannya, Red Bull telah mengambil produk yang tradisional iaitu minuman dalam tin dengan penjenamaan baharu dan pemasaran baharu, yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana syarikat lagi.


Pertaruhan Mateschitz mencipta pasaran baharu dengan rakan kongsinya, Chaleo bukan sekadar melaburkan wang dan mengharapkan nasib, tetapi menggunakan strategi yang belum pernah difikirkan orang.


Setakat ini, 97% daripada pendapatan Red Bull adalah hasil jualan minuman di seluruh dunia, di mana pemilikan aset dan aktiviti lain dianggap satu pelaburan jenama itu dan bukan pendapatan… buat masa ini.


Fakta: Red Bull tin emas dari Thailand itu tidak dimiliki syarikat yang sama dengan Red Bull tin biru/perak. Rasanya juga berbeza.



Foto: Youtube Atheltics Interest (yang tidak dikredit)




Rahsia Red Bull jadi kaya Rahsia Red Bull jadi kaya Reviewed by Hilal Azmi on September 19, 2020 Rating: 5

No comments