Home Top Ad

RBIK: Reviu jujur jersi ketiga Liverpool FC 2020/21


Saya agak kecewa dengan rekaan jersi ketiga Liverpool untuk musim 2020/2021 ini. Mungkin ada orang suka, saya tak kata mereka salah. Cuma ini pandangan jujur peribadi saya.

Jersi bola sepak masa kini bukan sekadar menjadi seragam yang dipakai oleh pasukan ketika bertarung di atas padang, tetapi merangkumi gaya hidup. Para penyokong memakainya ke mana-mana, sebagai kenyataan fesyen dalam sokongan terhadap pasukan masing-masing.

Nike berevolusi daripada sebuah jenama sukan trek kepada nama besar dalam dunia bola sepak. Hari ini, jenama sukan Amerika itu terkenal dengan rekaan minimalnya. Ada yang suka keringkasannya, ada pula yang tidak gemar.

Saya suka dengan rekaan minimal, senang untuk dipadankan dan digayakan dengan pelbagai cara. Cuma satu perkara yang agak 'lahanat'nya Nike ini adalah harganya. 

Melihat kepada kempen pemasaran mereka dengan video dan poster yang cukup hebat, harga tinggi produk Nike berbanding jenama lain di pasaran boleh diterima. Namun apa yang tidak boleh diterima adalah apabila rekaan dan paling penting kualiti bahan buatannya tidak setanding tanda harganya.

Rekaan jersi ketiga Liverpool FC yang dibuat Nike ini seakan tidak setanding dengan namanya. Senang kata, macam rekaan oleh jenama Warrior yang pernah menaja Liverpool selama tiga musim dari 2013-2015. Dengan harga barang yang mahal, semestinya mendapat pulangan yang besar, yang pastinya mempunyai pasukan yang lebih handal. Mungkin sedikit tandus idea.

Menurut Nike, rekaan petak-petak (chequered) macam papan dam pada jersi ketiga Liverpool itu adalah diinspirasikan daripada bendera yang sering dilihat berkibaran di Kop End menghiasi malam-malam perlawanan di Anfield. Bagi saya, ia sepatutnya boleh direka dengan lebih baik. 

Apapun, kecantikan itu tertakluk kepada mata yang memandangnya. Ada yang suka, ada yang tidak. Maka hormati pandangan orang lain, jangan kutuk. Raikan kepelbagaiannya seperti kata Presiden All Reds Malaysia, Muzili Aznor Musa.

Selain Muzili, saya juga tanyakan pendapat Zechariah Ravin, Pengurus Pemasaran Al-Ikhsan Sport yang juga seorang penyokong Liverpool, serta B.Sashidaran, Presiden KL Kopites. Tonton videonya di bawah.

*Nasib baik ada Al-Ikhsan. Dengan mereka, barangan Nike boleh didapati dengan harga yang sedikit rendah.


RBIK: Reviu jujur jersi ketiga Liverpool FC 2020/21 RBIK: Reviu jujur jersi ketiga Liverpool FC 2020/21 Reviewed by Hilal Azmi on September 17, 2020 Rating: 5

No comments