Home Top Ad

RBIK: 'Stim' sukan memanah tradisional


Selepas melihat sahabat sepejabat, Sallehin Hussein berkongsi hobi baharunya di Instagram, saya terjebak. Ada sesuatu tentang sukan memanah yang menarik saya untuk mencubanya.

Sebenarnya pendedahan saya terhadap sukan tersebut sudah lama seawal di sekolah menengah, apabila ada beberaoa rakan setingkatan yang mewakili daerah dan negeri. Namun peralatan yang digunakan adalah canggih dan tentunya mahal.

Lainnya hobi baharu Sallehin ini adalah ia menggunakan busur yang asas diperbuat daripada kayu, bukan besi dan tanpa segala pancang pengimbang dan pengukur, sepertimana yang digunakan di zaman dahulu kala. Jadi sebagai seorang yang 'berjiwa lama', saya luangkan masa untuk mengikuti Sallehin pergi memanah pada satu Ahad yang bahagia.

Lalu saya dipertemukan dengan Haji Abdul Halim Haji Che Mat Al-Ampangi, pemimpin Kelab Memanah Al-Ikhlas. (Namanya al-Ampangi saya percaya sebab dia berasal dari Ampang. Kalau macam Sallehin orang Keramat, dia boleh dipanggil al-Keramati). Haji Abdul Halim bersama kelab komuniti itu yang mengelolakan Lapang Sasar Saad bin Abi Waqqash di Sri Raya, Ukay Perdana. 

Saad bin Abi Waqqash merupakan sosok yang penting dalam sejarah Islam. Beliau adalah antara individu terawal yang memeluk Islam selepas mengetahui kebenaran ajaran dibawa Muhammad S.A.W. itu pada usia 17 tahun. Peribadinya mulia, bersopan santun dan lembut tutur bahasa, berbeza dengan kebiasaan bangsanya yang kasar dan keras.

Selain dikenali sebagai bapa saudara Rasulullah S.A.W., namanya masyhur sebagai pemanah ulung dalam angkatan perang Islam. Beliau adalah watak penting dalam Peperangan Qadisiyah  pada tahun 636 Masihi yang menyaksikan kemenangan tentera Islam pimpinan Khalifah Umar al-Khattab ke atas angkatan Empayar Sassanid Parsi yang lebih besar. Kejayaan itu membuka jalan kepada penaklukan dan penyebaran Islam lebih jauh ke Timur.

Busur Saad bin Abi Waqqas, yang dipamerkan di Muzium Madinah. (Sumber: Wikipedia)

Saad juga bertanggungjawab menjadi pemula kepada tamadun Islam di bumi China apabila diutus oleh Saidina Uthman Affan ke sana pada tahun 650 M, ketika pemerintahan Maharaja Gaozong, pemerintah ketiga Dinasti Tang.

Keunggulan dan ketokohan panglima Islam itu menjadi inspirasi kepada penubuhan Kelab Memanah Al-Ikhlas yang membuka lapang sasar bersempena nama beliau. Sedikit demi sedikit, kawasan semak di satu sudut di pangsapuri Sri Raya dibangunkan bersama ahli kelab yang terdiri daripada lelaki dan wanita, dewasa dan kanak-kanak sehingga menjadi tempat rekreasi untuk seisi keluarga.

Lebih menarik, sudah menjadi kebiasaan di sini di mana unsur Islam dan Melayu bersulam. Sambil memanah dengan semangat Saad Abi Waqqas, para pemanah ber'perisai'kan busana tradisi Melayu. Itu yang cuba dihidupkan oleh komuniti kecil ini, perihal yang menjadi identiti dan kekuatan bangsa dan agama kita.

Walaupun nampak mudah, tapi memanah ini ada cabarannya yang tersendiri. Sukan ini meringkaskan perjalanan hidup kita sebagai manusia menuju kejayaan. Bila panahan kita mengenai sasaran, kita ketagih untuk menembaknya lagi. Bila panahan tak kena pula, kita geram dan terus berusaha sampai anak panah kita tepat ke tengah sasaran. 

Begitulah ia melatih fokus, kekuatan dan ketajaman minda, jasmani dan rohani serta keinginan kita untuk berjaya dalam setiap tindakan kita dalam kehidupan ini. Kerana itulah ia menjadi sukan yang disarankan Nabi (selain daripada zaman Nabi dulu tak ada sukan lain yang sesuai dimainkan di tengah padang pasir).

Tonton video penuh cerita satu Ahad saya bersama mereka di sini:







RBIK: 'Stim' sukan memanah tradisional RBIK: 'Stim' sukan memanah tradisional Reviewed by Hilal Azmi on September 14, 2020 Rating: 5

No comments