Home Top Ad

Siapa sebenarnya Billie Jean?


Billie Jean is not my lover
She's just a girl who claims that I am the one
But the kid is not my son.

Lagu yang meletupkan nama Michael Jackson menjadi "The King of Pop". Dengan basslinenya yang menangkap, bersama tarian moonwalk yang menjadi signature movenya, mustahil untuk sesiapa tidak bergerak mengikut rentaknya walaupun dalam hati.

Single terbitan tahun 1983 ini telah menobatkan nama Michael Jackson selaku bintang terbesar Amerika selepas Elvis Presley, lantas mengesahkan statusnya sebagai superstar dalam sejarah muzik pop. Billie Jean adalah sebuah lagu legenda.

Siapa sebenarnya Billie Jean yang disebut-sebut dalam lagu ini?

Dalam satu temubual, MJ menceritakan bahawa dia adalah sejenis perempuan yang didepani MJ dan abang-abangnya ketika mereka tampil sebagai The Jackson 5.

"Mereka selalu bersidai di pintu belakang pentas, dan menjalinkan hubungan dengan mana-mana kumpulan muzik yang datang ke tempat mereka. Saya rasa saya tulis lagu ini daripada pengalaman bersama abang-abang saya semasa saya kecil. Ada ramai Billie Jean di luar sana. Semua perempuan mendakwa yang anak mereka ada kaitan dengan salah seorang abang saya."

Bagaimanapun penulis biografinya Magic and the Crazy: The Whole Story, J. Reny Taraborelli kemukakan teori bahawa ia adalah berdasarkan kisah benar yang dialami sendiri oleh MJ pada 1981. Dia menceritakan bahawa ada seorang gadis yang selalu mengutus surat kepada MJ, tapi MJ tak layan.

Namun MJ terus menerima surat daripada orang yang sama. Setiap surat yang dihantar, isinya sama - pendakwaan bahawa MJ adalah bapa kepada anak yang dilahirkannya. Juga, perempuan itu mengatakan bahawa dia sangat cintakan MJ, dan percaya dia dan MJ boleh menjadi pasangan sejoli yang akan bersama membesarkan anak itu.

Satu hari, MJ menerima kiriman bungkusan daripada wanita tersebut, di dalamnya ada surat bersama sekeping gambarnya dan sepucuk pistol. Dalam surat itu, perempuan ini meminta supaya MJ membunuh dirinya pada satu waktu dan tempat yang spesifik dinyatakan, dan dia akan buat benda sama selepas dia membunuh bayi tersebut.

Makin dahsyat kegilaan yang melanda dirinya, maka diterjemahkan MJ menjadi sebuah lagu. Datang ilham lalu diluahkan kepada mesin dram di rumahnya, vokal yang direkod sekali jalan, BOOM - jadilah lagu yang kemudian mengungguli takhta carta selama tujuh minggu.

Michael Jackson dalam muzik video Billie Jean.

Tak banyak butiran tentang perempuan gila ini diceritakan MJ, tapi penerbitnya Quincy Jones juga ada cerita. Menurut Jones, satu hari MJ nampak ada seorang perempuan memakai pakaian renang elok bersidai di pinggir kolam renangnya, siap pakai cermin mata hitam.

Perempuan itu jugalah yang mendakwa yang MJ adalah bapa kepada salah seorang daripada kembarnya, yang kata Jones, lawak juga lah. 

Tajuk lagu Billie Jean ini hampir jadi lain. Cerita MJ dalam autobiografinya Moonwalk, Jones mahu menukarkan tajuknya kepada 'Not My Lover' kerana tidak mahu ia dikelirukan dengan Billie Jean King, pemain tenis wanita era 80-an. Tapi MJ berkeras tak mahu tukar.

Jones juga cakap bahawa intro lagu tersebut panjang sangat, dan mahu memendekkan pembuka lagu itu yang berdurasi 29 saat. Tapi MJ tetap berkeras lagi, menyatakan bahawa rentak itulah yang membuatkannya menari. 

"Bila MJ kata "ia yang buatkan saya mahu menari," kau jangan lawan. Jadi dia menang," cerita Jones.

MJ sendiri yang mencipta lagu ini pun hanyut dengan rentaknya. Diceritakannya juga dalam Moonwalk, ada satu hari ketika dia memandu, betul punya khayal dia melayan irama Billie Jean dalam kepalanya sampai tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya.

Tiba-tiba ada satu budak naik motor memotongnya, memberitahu MJ yang keretanya sedang terbakar. Barulah MJ sedar ada asap dari bawah kereta, memaksa MJ untuk menghentikan Rolls Royce dipandunya itu di tepi jalan. 

Motown 25: Yesterday, Today and Forever pada 15 Mei 1983 adalah pertama kali Billie Jean dipersembahkan dengan penampilan kostum dan rutin tarian yang menjadi simbol ikonik dalam sejarah muzik sepanjang zaman.

Billie Jean juga adalah lagu yang telah memecahkan diskriminasi warna kulit di saluran video muzik, MTV. Ketika itu, MTV dicap sebagai saluran yang rasis, tidak memainkan banyak menampilkan artis kulit hitam.

Walaupun nilai produksi tinggi bersama status bintang Michael Jackson yang sudah sekian lama di dalam industri, MTV hanya mula memainkannya selepas Billie Jean melonjak menjadi lagu nombor satu dalam carta. 

Video muzik 'Pass the Dutchie' oleh Musical Youth adalah yang pertama oleh artis kulit hitam disiarkan di MTV, tetapi Billie Jean adalah yang pertama oleh artis kulit hitam yang mendapat putaran tinggi, lantas membuka jalan kepada lebih banyak penampilan artis kulit hitam selepas itu. 

Bercerita tentang rutin tarian lagu ini yang cukup menjadi identiti MJ, kali pertama dia mempersembahkan lagu ini secara live adalah pada satu rancangan istimewa televisyen 'Motown 25, Yesterday, Today and Forever' yang disiarkan pada 15 Mei 1983. Pada ketika itulah, buat kali pertamanya MJ memperkenalkan moonwalk yang ditonton oleh lebih 50 juta orang.

Dalam senarai dibuat Rolling Stone dan MTV pada tahun 2000, Billie Jean diletakkan pada kedudukan keenam selaku lagu pop terhebat sejak 1963. Rolling Stones pula meletakkannya di tempat ke-58 dalam senarai 500 Lagu Terunggul Sepanjang Zaman dan dimasukkan dalam senarai 500 Lagu Yang Membentuk Rock and Roll oleh Rock and Roll Hall of Fame.

Kerana senantiasa berada dalam senarai lagu-lagu terhebat pernah dicipta, Billie Jean dinobatkan sebagai lagu tarian paling unggul sepanjang zaman oleh para pendengar BBC Radio 2.

Sampai ke hari ini, Billie Jean masih menjadi lagu yang mendapat putaran yang tinggi, dimainkan sekitar 250,000 kali seminggu. Lagu ini akan terus berhantu dan diputarkan biarpun zaman silih berganti, dan Michael Jackson memang tiada galang gantinya.



*Sumber: Youtube/thedetail, Wikipedia

Siapa sebenarnya Billie Jean? Siapa sebenarnya Billie Jean? Reviewed by Hilal Azmi on September 21, 2020 Rating: 5

No comments