Home Top Ad

Siapa yang mula-mula makan sandwich?


Sandwich, makanan menyeluruh yang paling mudah. Kalau dalam kesibukan, sambar saja sandwich di kedai dan boleh dimakan sambil buat kerja. Dalam sekeping dua atau tiga, cukup untuk memenuhi perut dan kandungan nutrien yang diperlukan.

Ketika mengunyah, pernahkah anda tertanya "siapalah manusia yang mencipta makanan  yang memudahkan kehidupan manusia ni?". Ceritanya bermula di England (ya semua lah dia).

Legenda mengatakan, dan dipersetujui oleh para sejarawan, bahawa John Montagu adalah manusia yang bertanggungjawab mencetuskan penciptaan sandwich pada 1762. Sandwich itu sebenarnya adalah nama sebuah tempat di tenggara England, dan dialah Earl of Sandwich yang keempat.

Montagu dikata sebagai seorang kaki judi yang menghabiskan kebanyakan masanya di meja judi. Sampai tak makan asyiklah berjudi tak ingat dunia. Kemudian dia lapar, tapi tak mahu tinggalkan meja judi. Kalau dah namanya tahi judi.

Ini dia yang dikatakan bapak sandwich, John Montagu. (Sumber: Wikipedia)

Maka disuruh tukang masaknya buatkan sejenis hidangan yang boleh dimakan tanpa perlu dia meninggalkan meja. Terlahirlah sejenis makanan yang dibentuk daripada dua keping roti yang mengapit hirisan daging di tengahnya

Makanan itu kemudian semakin menjadi popular dalam kalangan komuniti bangsawan London sebagai hidangan minum petang atau sebarang majlis keramaian. Lalu ia  dinamakan sempena tempat asal resepi makanan tersebut.

Sama ada idea Montagu sendiri atau tukang masaknya, sesiapa pun di antara mereka berdua bukanlah yang pertama. Ilham itu datang daripada memori kembaranya ke Mediterranean, di mana orang Turki dan Greece menghidangkan variasi sayuran, sos, daging dan pelbagai lagi untuk diapit dengan dua roti lalu dimakan.

Apapun, resepi Montagu nampaknya terus meluas sehingga ke seluruh England. Zaman Pengembaraan serta penaklukan British ke serata dunia menyebar luaskan lagi kewujudan sandwich sebagai makanan ringkas on-the-go.

Begitulah cerita ringkas mengenai sejarah panjang sandwich. Jelas ia tercipta di meja judi, jadi haram atau tidak kalau kita makan?

Yang berdosa itu perbuatan berjudi, makanan itu tak ada salah apa. Yang salah selalu kita yang tak pakai akal waras.

*Sumber: History, Wikipedia


Siapa yang mula-mula makan sandwich? Siapa yang mula-mula makan sandwich? Reviewed by Hilal Azmi on September 15, 2020 Rating: 5

No comments