Home Top Ad

Suka Tapau, Sampah Plastik Melampau

 


Budaya tapau (bungkus) makanan menggunakan plastik di Malaysia menjadikan kita menduduki tempat pertama bagi penggunaan plastik per kapita setiap tahun, iaitu 16.78 kilogram seorang.


Kita mengalahkan China, Indonesia Filipina, Thailand dan Vietnam dalam hal ini, berdasarkan kajian yang dibuat Konservasi Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2019.

Bagi pembaziran plastik pula, Malaysia menduduki tempat kedua bagi keseluruhan penjanaan sisa dalam negara. 

Kenapa ini berlaku? Kemudahan menapau makanan dengan plastik adalah paling sesuai bagi orang kita yang bekerjaya dan faktor cuaca juga memainkan peranan.

Tanpa disedari, pilihan kita untuk mengguna sudu dan garfu plastik, atau mengirim teh tarik "ikat tepi" menyebabkan 4.8 hingga 12.7 juta tan plastik dibuang ke dalam laut setiap tahun.

Jika trend seperti itu diteruskan, jumlah plastik dalam laut akan meningkat empat kali ganda pada tahun 2050, dan itu bermaksud jumlah plastik di dalam laut akan menjadi lebih banyak berbanding jumlah ikan.


Kenapa kita guna banyak sangat plastik?



Foto: Roberta Errani


Rakyat Malaysia dan plastik tidak dapat dipisahkan, lagi-lagi pada waktu pandemik yang menyebabkan kemudahan perkhidmatan penghantaran makanan semakin popular.

Setiap kali seseorang membungkus makanan, sekurang-kurangnya tiga lapisan bungkusan plastik sekali guna dipakai untuk mengasingkan dan hantar makanan tersebut kepada pelanggan. 

Sebagai contoh, satu pesanan nasi campur memerlukan satu bekas bagi mengisi nasi, satu bekas bagi lauk, satu bekas bagi sambal, satu beg plastik, dan satu set sudu dan garfu. Banyak kan plastik?

Kenapa Malaysia tak guna bahan lain ganti plastik?

Menurut laporan WWF itu, suhu yang panas dan lembab di Malaysia menyebabkan pembungkusan makanan jenis plastik lebih sesuai bagi melindungi makanan daripada rosak atau dimakan haiwan perosak.

Bagi negara yang mempunyai bercuaca sejuk, barang-barang dapur seperti gula, tepung dan beras dibungkuskan menggunakan kotak diperbuat daripada kertas.

Bagaimanapun di Malaysia, bungkusan itu tidak cukup untuk menahan suhu panas dan memerlukan bungkusan tambahan atau plastik supaya dapat memastikan ia tidak bocor.

Selain itu, harga plastik yang lebih murah dan senang didapati juga menjadi faktor kebanyakan syarikat memilih bahan itu berbanding yang lain seperti gelas atau kertas.

Apa boleh kita buat untuk kurangkan penggunaan plastik?


Foto: Brian Yurasits



Isu plastik merupakan isu global yang memerlukan inisiatif dan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat pengilangan, syarikat pembekal, pemain industri, dan sudah tentu masyarakat sejagat. 


WWF mencadangkan Extended Producer Responsibility atau EPR, satu dasar yang berkesan untuk memastikan syarikat pembuat bertanggungjawab terhadap akhir hayat bagi setiap produk plastik atau pembungkusan yang telah dihasilkan.

Menurut laporan tersebut, Malaysia memiliki infrastruktur yang mencukupi bagi pemprosesan bahan sisa plastik dengan kuantiti yang besar, namun banyak syarikat kitar semula di Malaysia sebaliknya mengimport bahan plastik dari luar negara untuk diproses di negara kita, menambahkan kepada jumlah plastik sedia ada.



Foto: Nick Fewings


Ketiadaan dasar atau undang-undang yang ketat bagi keperluan untuk mewajibkan kitar semula sisa plastik di Malaysia juga menambah kepada budaya "tidak kisah", manakala kekurangan pendidikan terhadap kepentingan kitar semula memain peranan terhadap kesedaran rakyat Malaysia yang masih rendah.

Jika anda sebagai seorang individu sudah ada kesedaran terhadap isu plastik yang memerlukan tindakan segera, anda sudah selangkah ke hadapan dan mampu mengurangkan isu pencemaran plastik, hanya dengan mengubah cara kehidupan dari rumah. 

Cuba dengan langkah-langkah yang kecil seperti mengatakan tidak kepada penggunaan plastik sekali guna, bawa bekal makanan sendiri dari rumah jika ingin membungkus makanan, dan asingkan sisa plastik daripada sisa lain untuk dikitar semula. 

Siki-sikit, lama-lama jadi bukit.

Sumber foto: Instagram @matroskyy

Suka Tapau, Sampah Plastik Melampau Suka Tapau, Sampah Plastik Melampau Reviewed by Hilal Azmi on September 25, 2020 Rating: 5

No comments