Home Top Ad

8 makanan untuk kuatkan sistem pertahanan tubuh kita


Hidup zaman sekarang memang hebat cabarannya, kerana banyak ancaman yang kita tak nampak. Udara, air dan makanan yang kita ambil memang nampak selamat, tapi macam-macam kandungan yang kita tak sedar boleh menjejaskan kesihatan kita.

Kerana itu pentingnya untuk kita amalkan hidup yang sihat, bermula dengan pemakanan. Sebabnya pemakanan yang membentuk sistem pertahanan diri daripada unsur-unsur luar yang boleh membawa penyakit.

Selain daripada tabiat pencegahan seperti kerap membasuh tangan terutamanya sebelum makan dan bersenam, ini antara jenis makanan yang penting untuk membentuk perisai diri.


1. Buah-buahan citrus


Oren, limau dan seangkatan dengannya mengandungi vitamin C yang tinggi, yang memang diketahui khasiatnya dalam meningkatkan imuniti tubuh. Tapi tak boleh diambil banyak sangat, ada kesan sampingannya.

Orang dewasa dinasihatkan mengambil sekitar 75 mg vitamin C setiap hari. Ini panduan kandungan vitamin C dalam setiap biji buah - oren biasa bekalkan 70 mg, lemon pula 30 mg.

Selain itu, vitamin C juga membantu tubuh memperbaiki tisu dan memastikan kulit dan salur darah kekal sihat. Bererti, vitamin C adalah sejenis antioksidan yang penting. Ada kajian terbitan 2017 mendapati pengambilan 1,000 mg vitamin C setiap hari boleh mengurangkan risiko selsema sebanyak 8% untuk orang dewasa dan 18% untuk kanak-kanak.

Risiko tetap ada, tapi kurang lah kalau anda mengambil vitamin C secukupnya.


2. Sayuran hijau


Ya, sayur memang tak berapa nak sedap di lidah tapi ia sangatlah sedap untuk tubuh kita. Ia tinggi dengan vitamin A yang sangat penting untuk fungsi pertahanan, juga ia menggalakkan penghasilan sum-sum tulang. Sum-sum tulang menghasilkan sel pertahanan seperti lymphocytes, sejenis sel darah putih yang membantu melawan jangkitan.

Sehari disarankan supaya seorang lelaki dewasa mengambil 900 mikrogram (mcg) vitamin A sementara wanita perlukan 700 mcg. Ini sedikit panduan: Secawan bayam ada 469 mcg, secawan kale ada 190 mcg, dan secawan sawi kailan Jepun (collard green) ada 90 mcg.


3. Lada benggala merah


Ia mengandungi vitamin A dan C serta beta karotin. Vitamin C punyai khasiat menyembuh dan antioksidan yang penting. Beta karotin pula membantu tubuh menghasilkan vitamin A yang mustahak dalam melindungi diri daripada penyakit.


4. Yogurt


Susu masam likat ini tinggi kandungan protein yang baik untuk kesihatan tulang dan kulit. Ingat, tisu yang sihat adalah pendinding pertama daripada serangan mikroorganisma berbahaya.

Kebanyakan yogurt punyai kultur hidup yakni sejenis bakteria yang mendorong kesihatan mikrobioma perut kita. Perut yang sihat dan kuat juga menjadi faktor penting dalam menentukan kesihatan tubuh, jadi yogurt dan minuman kefir yang mengandungi banyak bakteria baik perlu diamalkan pengambilannya.


5. Teh hijau


Orang Jepun panggil matcha. Ia tinggi kandungan catechin dan polyphenol, sejenis antioksidan yang membantu mencegah kerosakan sel. Sel yang sihat akan susah untuk dikorup oleh unsur luar.

Satu kajian pada 2016 mendapati bahawa catechin dalam teh hijau dapat menambah baik fungsi sel-t, sel yang menyerang virus. Sementara kajian pada 2018 membuktikan bahawa polyphenol membantu tubuh memberi isyarat lebih baik ketika respon imun diperlukan.


6. Halia


Tumbuhan berangin ini banyak khasiat antioksidan dan anti-radang, juga dipercayai berkesan mencegah barah/kanser.

Doktor sarankan supaya amalkan pengambilan halia hidup berbanding yang telah terproses menjadi makanan tambahan dalam bentuk pil atau sebagainya. Sepertimana yang telah dikhabarkan, benda terproses ini memang tak berapa bagus.


7. Bawang putih


Sejak berkurun lamanya manfaat bawang putih memang tidak dapat dinafikan. Ia diyakini dapat merawat penyakit jantung, darah tinggi, kolestrol tinggi, selsema dan demam.

Khasiat bawang putih ini terletak di dalam allicin, sejenis kompaun yang dirembeskan apabila bawang putih dipotong atau dilenyek. Antioksidan di dalamnya membantu melawan penyakit dan menguatkan sistem imun.


8. Kunyit


Kekuatan kunyit terletak pada curcumin, komponen yang memberikannya warna kuning. Kuning bukan sembarang kuning, tetapi berfungsi sebagai pelaras sistem pertahanan dengan mengaktifkan sel-sel yang berkaitan dengan imuniti.

Ia juga berkesan sebagai ejen yang memperlahankan kesan keradangan. Sama ada dimakan atau disapu, kunyit memang hebat khasiatnya.

Sumber: Insider




8 makanan untuk kuatkan sistem pertahanan tubuh kita 8 makanan untuk kuatkan sistem pertahanan tubuh kita Reviewed by Hilal Azmi on October 01, 2020 Rating: 5

No comments