Home Top Ad

Air ditemui di Bulan, tapi boleh diminum ke?


Selalunya kita membayangkan Bulan itu sebuah badan semesta yang kering, tandus dan berdebu. Bagaimanapun tanggapan kita itu sebenarnya telah disangkal 11 tahun lepas apabila data yang dikumpul robot di sana mendapati permukaan Bulan sebenarnya lembap.

Dapatan itu merumuskan kelembapan Bulan bukan kerana air, tetapi molekul hidroksil (OH) yang kurang satu atom hidrogen untuk membentuk H2O. Namun pada Isnin, cerita tentang kewujudan air di Bulan sekali lagi disemak.

Dua kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Astronomy mengesan sebahagian besar molekul H2O terkandung pada permukaan lunar berbanding OH. Pada masa sama, air dalam bentuk ais wujud lebih banyak di kawasan yang terlindung daripada cahaya matahari.

Penemuan itu dibantu oleh SOFIA. Bukan Sofia Jane, tetapi Stratospheric Observatory for Infrared Astronomy, iaitu sebuah pesawat Boeing 747 yang dipasang teleskop pada belakang fiuslajnya. Pesawat itu yang dikendalikan oleh NASA dan Pusat Aeroangkasa Jerman (DLR) terbang pada ketinggian hampir 43,000 kaki.

Berada tinggi di langit membebaskan teleskop daripada gangguan wap air yang memenuhi atmosfera Bumi. Maka teleskop dihala ke dua lokasi di Bulan - satu dekat dengan garisan khatulistiwanya dan satu lagi lebih dekat dengan Clavius yang berada di kawasan selatan.

Air dikesan secara bagaimana cahaya dibias dan dipantulkan oleh molekulnya. Apabila cahaya menghentam molekul H2O, atom hidrogen dan oksigen menyerap tenaga itu, membiaskannya sedikit lalu dipantulkan semula dalam cara yang tersendiri. Biasan dan pantulan cahaya oleh setiap molekul yang wujud di alam ini adalah berbeza antara satunya.

Maka, cerapan itu mengesan kewujudan air di sekitar Clavius.

Gambaran bagaimana SOFIA menjalankan cerapan, dan bagaimana molekul air H2O terperangkap di dalam batuan permukaan Bulan. (foto: NASA)

Ia adalah air yang sama seperti yang kita minum di Bumi. Cuma kandungannya teramat sedikit, beberapa ribu kilogram tanah Bulan perlu diproses hanya untuk mendapatkan 1 kilogram air.

Bagaimana boleh terhasilnya air di Bulan masih menjadi tanda tanya, tapi para pengkaji merasakan ia terbentuk daripada pelanggaran mikrometeorit dengan permukaan lunar, ditambah dengan sinar kosmik dan angin solar. Molekul air terhasil dan terperangkap dalam kaca yang terbentuk daripada fenomena-fenomena itu, menyebabkan ia dapat bertahan dalam persekitaran ekstrim.

Apa pentingnya penemuan air di Bulan ini?

NASA sedang berusaha menghantar semula manusia ke Bulan menerusi program Artemis, dalam perancangan mereka untuk membina pangkalan kekal di sana menjelang penghujung dekad ini. 

Kewujudan air membolehkan lebih banyak usaha lanjut dibuat seperti para angkasawan dapat tinggal lebih lama di Bulan, mengolah molekul air untuk menghasilkan oksigen dan hidrogen untuk bahan bakar roket atau penjanaan kuasa, malah menjalankan eksperimen pertanian.

Jauh lagi langkah untuk mencapai visi mencari penempatan baharu di tempat yang belum pasti.


*Sumber: Time, CNET, NASA

Air ditemui di Bulan, tapi boleh diminum ke? Air ditemui di Bulan, tapi boleh diminum ke? Reviewed by Hilal Azmi on October 27, 2020 Rating: 5

No comments