Home Top Ad

Benda pelik yang membuatkan iklan makanan cukup menggoda


Iklan makanan yang bagus adalah yang membuatkan kita terliur setiap kali melihatnya. Baru lepas makan pun boleh jadi lapar balik bila ternampak gambar dalam gegaris masa media sosial atau di tepi lebuh raya.

Tapi tak ramai orang tahu, daging bakar, telur goreng atau ayam panggang yang dipaparkan dalam iklan itu sebenarnya sudah 'dirawat' dengan macam-macam bahan supaya kelihatan menggiurkan. Kebanyakan teknik yang digunakan membuatkan makanan itu tidak boleh dimakan.

Berikut adalah perkongsian seorang jurugambar makanan di London, Sue Atkinson dengan Insider tentang helah yang digunakan untuk membangkitkan rupa makanan yang diiklankan.


1. Ayam tidak dimasak habis dan disadur dengan cat


Ayam yang tidak dimasak sebaiknya adalah berbahaya untuk kesihatan jika dimakan. Tetapi untuk diambil gambar, itulah caranya.

Jika dimasak betul, ayam akan mengecut dan berkedut. Jadi, ayam separa masak itu kemudian disapu pelbagai jenis bahan seperti karamel, marmite, malah cat dan penggilap kasut untuk membangkitkan warna perangnya.


2. Pankek diselitkan kadbod di celah-celahnya


Pankek selalunya nampak gebu dan menyelerakan dalam iklan. Namun ketahuilah bahawa rupa menggoda itu disebabkan oleh kepingan kadbod dipotong bulat di antara timbunan pankek itu.

Kadbod membantu pankek untuk kelihatan lebih anjal. Kalau secara semula jadi, pankek sebenarnya leper sahaja.


3. Bukan sirap mapel, tetapi minyak 


Kalau anda perasan, sirap atau gula mapel yang kita curahkan cepat meresap ke dalam pankek kita. Jadi untuk menampakkan kewujudannya, para jurugambar biasanya akan menggunakan minyak yang akan kekal di permukaan.

Kalau ada buah, ia akan dicucuk dengan pencungkil gigi supaya ia tidak bergerak dari tempatnya yang diinginkan dalam komposisi jurugambar itu.


4. Sabun cecair untuk membangkitkan buih


Selalunya dalam penggambaran iklan bir, sedikit cecair pencuci akan diletakkan di dalam gelas sebelum dituangkan bir supaya ada lebih buih.


5. Bukan susu sebenar, tetapi gam


Penggambaran bukan satu kerja yang sekejap, satu-satu subjek itu kadang-kadang mengambil masa yang agak lama. Jadi penggunaan susu akan membuatkan bijirin kembang dan benyek, malah tenggelam di dalam susu. Tak cantiklah untuk diambil gambar. 

Maka susu digantikan dengan glu putih supaya bijirin atau buah kekal di permukaan pada masa sama tidak mengubah bentuk asalnya.


6. Tuala basah yang panas untuk efek wap minuman


Dalam suhu bilik, sukar untuk melihat wap yang terhasil dari minuman panas. Dan kepanasannya tak kekal lama.

Jadi, jurugambar akan panaskan tuala basah di dalam ketuhar gelombang mikro dan meletakkannya di belakang cawan air untuk menambah kesan wap stim.


7. Sapu minyak pada daging


Daging adalah makanan yang paling susah untuk dilihat menyelerakan dalam gambar. 

Daging paling baik ditangkap gambar ketika ia baru keluar dari ketuhar, tapi lama-lama ia akan mengecut dan hilang tekstur cantiknya.

Teknik paling senang untuk menampakkan ia lebih berjus adalah dengan melumurkannya dengan minyak.

*Sumber: Insider


Benda pelik yang membuatkan iklan makanan cukup menggoda Benda pelik yang membuatkan iklan makanan cukup menggoda Reviewed by Hilal Azmi on October 16, 2020 Rating: 5

No comments