Home Top Ad

Duduk sebenarnya tidak elok untuk badan


Mungkin sekarang anda sedang duduk untuk membaca artikel ini. Jarang orang membaca sambil berdiri, kerana tumpuan kita lebih baik apabila kita duduk. Namun sebenarnya badan kita sedang menunggu waktu bilakah kita akan bangun semula dan bergerak.

Pelik kan? Duduk memang satu perbuatan yang melegakan. Ia dapat merehatkan tubuh terutamanya selepas melakukan pergerakan yang banyak seperti berkebun, bersenam dan berjalan. Tapi gaya hidup kita sekarang yang terlalu banyak duduk, lebih-lebih lagi yang kerjanya perlu menghadap komputer, boleh merosakkan badan kita.

Badan kita dibina dan dicipta tuhan untuk bergerak. Kita mempunyai lebih 360 sendi, sekitar 700 otot tulang untuk membolehkan badan kita bergerak dengan lancar dan pelbagai. Struktur unik badan kita ini membolehkan badan kita berdiri tegak melawan tarikan graviti bumi di mana kita berpijak ini.

Peredaran darah bergantung kepada pergerakan kita untuk membolehkannya mengalir dengan lancar. Sel-sel saraf dan otak kita lebih berhubung jika kita aktif, dan kulit kita cukup anjal untuk mengadaptasi pergerakan tubuh kita. Bila badan dibina begini sedia untuk bergerak, apa yang akan jadi kalau kita pegun?

Tulang belakang kita adalah struktur yang panjang, dibina daripada tulang dan cakera rawan yang berada di antaranya. Sendi, otot dan ligamen bersambung pada tulang-tulang itu untuk memegangnya. 

Selalunya apabila kita duduk, kita pasti akan membongkokkan badan, sedar atau tidak. Posisi ini menyebabkan berlaku ketidaksamarataan tekanan terhadap tulang belakang kita. Lama-lama, ia boleh mendatangkan kehausan pada cakera rawan, kerosakan pada ligamen dan sendi serta ketegangan pada otot yang diregang.

Kewujudan teknologi hari ini menyebabkan manusia kurang bergerak. Hidup semakin mudah, tetapi pada masa sama semakin tidak sihat. (foto: Unsplash)

Duduk membongkok juga pada masa sama menyempitkan ruang paru-paru, bermakna ia mengehadkan jumlah oksigen yang diterima tubuh kita. Bila oksigen tak cukup, itu yang otak cepat penat dan tumpuan akan terganggu.

Tulang kita diselubungi otot, urat saraf dan salur darah yang membentuk lapisan lembut tisu badan. Bila kita duduk, ia mendatangkan tekanan pada satu-satu bahagian, maka urat dan slaur darah di situ tersekat. Sebab itu kita rasa kebas bila kekal pada satu posisi dalam satu tempoh yang lama, dan boleh mengundang penyakit berkaitan saraf.

Duduk dalam tempoh yang lama juga menyahaktifkan lipase lipoprotein, sejenis enzim khas pada dinding salur darah yang bertindak memecahkan lemak dalam darah. Bila duduk, lemak yang dipecahkan tidak sebanyak apabila kita bergerak. Sebab itu malas nak cakap lebih-lebih.

Apa kaitannya kesan fisiologi ini kepada otak? Seperti saya katakan tadi, duduk memang boleh membantu tumpuan, tetapi apabila terlalu lama, ia menjejaskannya. Bila tak bergerak, darah tidak mengalir dengan lancar. Bila tak lancar, oksigen yang sampai ke otak tidak cukup. Bila tak cukup, mulalah menguap. 

Lebih malang, kesan buruk duduk terlalu lama tidak hanya berlaku dalam tempoh yang singkat. Kajian terbaharu mendapati perbuatan duduk terlalu lama boleh dikaitkan dengan sejenis kanser dan masalah jantung, malah boleh menbawa kepada kencing manis, serta masalah buah pinggang dan hati.

Di seluruh dunia, ketidakaktifan menyumbang kepada 9% kematian awal setiap tahun - sekitar 5 juta orang. Nampaknya perbuatan melegakan ini sebenarnya boleh merosotkan kesihatan kita.

Tapi macam mana nak buat jika duduk itu adalah tuntutan kerja anda yang tidak dapat dielakkan? Cuba ubah postur tubuh anda ketika duduk, duduk dengan lebih tegak (bukan melengkung ke belakang atau ke depan), dan sesekali bangun dari tempat duduk anda, setiap setengah jam misalnya.  

Sudah habis baca kan? Sekarang bangunlah, pergi bergerak, regang-regangkan badan anda. 

Bergerak, wahai demi untuk tubuh anda. Rancak TV peduli.


*Sumber: Youtube TED-Ed


Duduk sebenarnya tidak elok untuk badan Duduk sebenarnya tidak elok untuk badan Reviewed by Hilal Azmi on October 21, 2020 Rating: 5

No comments