Home Top Ad

Fakta menarik tentang telur


Yang mana datang dulu - ayam ke telur?

Kalau ayam dulu, mana ada ayam wujud terus jadi ayam. Kalau telur dulu, siapa pula yang menghasilkannya. Benda yang sampai ke sudah sukar untuk dipersetujui jawapan muktamadnya, boleh bawa gaduh silap-silap.

Begitupun, telur adalah salah satu benda penting dalam hidup. Manusia tercipta apabila sperma disenyawakan dengan telur, yang nama sainsnya dipanggil ovum. Telur adalah simbol kehidupan, kerana itu di majlis perkahwinan menjadi adat Melayu memberikan buah tangan telur rebus atau telur pindang kepada jemputan yang hadir.

Manusia juga suka makan telur, yang boleh dimasak dengan 1,001 cara. Salah satu makanan asas manusia sejak permulaan masa, telur mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh manusia.

Bercakap tentang telur, ia tidak tertakluk kepada ayam sahaja. Kalau boleh, manusia mahu makan segala jenis telur yang ada di dunia ini. Ini beberapa fakta menarik yang mungkin anda tidak tahu tentang telur.


1. Seorang rakyat Malaysia makan sekitar 370 biji telur dalam setahun. 

Menurut Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM), setiap keluarga lazimnya akan membeli antara 10 hingga 30 biji telur setiap minggu.

Namun jumlah itu meningkat mendadak sehingga 120 seminggu sejak belakangan ini berikutan pembelian panik ketika pandemik COVID-19 melanda. Bukan untuk dimakan, tapi disimpan.

Ingat-ingatlah orang belakang.


2. Malaysia menghasilkan kira-kira 40 juta biji telur sehari.

Ia bersamaan lebih kurang lebih daripada sebiji telur untuk setiap orang, daripada penghasilan lebih 300 pengeluar telur di seluruh negara. 



3. Warna kulit telur bergantung kepada baka ayamnya.

Umur, pemakanan dan keadaan mental ayam juga menjadi faktor penting kepada pigmentasi kulit telur yang dihasilkan.


4. Kepekatan warna kuning telur ditentukan daripada diet ayamnya. 

Kalau kuning gelap, bermaksud ayam itu makan sayur-sayuran. Kalau warna kuningnya cair pula bererti diet ayam itu merangkumi gandum atau barli.



5. Umur ayam menyumbang kepada saiz telur yang dihasilkan.

Lagi tua, lagi besar telurnya. 


6. Tarikh yang tercetak pada telur adalah waktu penghasilannya, bukan tarikh luput.

Selalunya telur boleh bertahan selama tiga hingga lima minggu. Lagi lama disimpan, ia takkan menetas tetapi jadi telur tembelang. Kalau pecah, busuknya tak tahu nak kata.


7. Dua biji telur cukup untuk memberikan anda kolestrol yang diperlukan untuk sehari.

Sebiji telur mengandungi kira-kira 186 miligram kolestrol, dan dinasihatkan supaya pengambilannya tidak melebihi 300 gram sehari.

Dua pun cukup dah, nak banyak-banyak buat apa.



8. Telur boleh mengubati kesugulan dan mengatasi keletihan.

Ia kerana telur mengandungi adunan asid lemak omega-3, zink, pelbagai vitamin B dan iodide.

Telur juga mengandungi choline yang dapat membantu memperkuat daya ingatan. 


9. Untuk telur rebus yang terbaik, gunakan telur yang sekurang-kurangnya sudah berusia 10 hari daripada tarikh pengeluarannya.

Kalau guna telur yang lebih segar daripada itu, susah untuk dikopek kulitnya nanti.


10. Telur adalah ciptaan semula jadi yang strukturnya paling licin.

Kalau dimasukkan ke dalam pencincang, hampir mustahil ia akan pecah memandangkan permukaan kulitnya yang tidak berbucu dan kesat.


*Sumber: Insider, Malaysiakini

Fakta menarik tentang telur Fakta menarik tentang telur Reviewed by Hilal Azmi on October 13, 2020 Rating: 5

No comments