Home Top Ad

Ini rutin makan dan tidur Cristiano Ronaldo


Cristiano Ronaldo adalah antara ahli sukan yang paling berjaya dalam sejarah, dan masih berada di tahap tertinggi walaupun sudah mencapai usia 35 tahun (usia yang dianggap sudah lewat dalam dunia bola sepak).

Apa rahsianya? Banyak makan dan banyak tidur. Ya, bunyi macam pelik untuk seorang pemain bola sepak yang hebat, tapi memang hakikatnya Ronaldo makan enam kali dan tidur lima kali sehari.

Pemenang lima kali Ballon D'Or ini akan memulakan harinya dengan bersarapan ham dan keju bersama yogurt. Kemudian kalau dia lapar, dia akan mengunyah roti bakar bersama avokado (avocado toast kata orang putih). 

Selalunya dia akan makan tengahari dua kali dan makan malam juga dua kali. Makan tengahari pertamanya iaitu ayam dan salad akan diikuti dengan hidangan kedua yang terdiri daripada ikan bersama salad, telur dan buah zaitun.

Makan kuat, tidur kuat sebab kerja kuat! - (foto: Instagram @cristiano)


Pada lewat petang, kapten Portugal ini akan makan protein lagi - sama ada ikan tuna, ikan kod atau ikan todak - atau bertukar kepada daging. Sama seperti makan tengahari, makan malamnya akan dihidang dua kali pada waktu berlainan yang tidak jauh antaranya.

Makan sudah banyak pastinya mengundang kantuk, dan Ronaldo tidak terkecuali. Dia akan tidur selama 90 minit sebanyak lima kali dalam satu hari, berdasarkan saranan pakar tidur, Nick Littlehales yang mana Ronaldo menjadi kliennya.

Jelas Littlehales, ia adalah cara untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti dengan menetapkannya pada waktu dan tempoh yang sesuai. Bagaimanapun, ada juga sumber yang mengatakan Ronaldo tetap tidur malam seperti manusia biasa.

Yang membezakan Ronaldo dan manusia biasa adalah gaya hidupnya yang sangat aktif, maka pemakanan sebegitu sesuai dengannya, sepertimana disarankan oleh pakar-pakar yang dibayarnya.

Walaupun penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Juara-Juara Eropah ini sangat tegas dan berdisiplin dengan diet dan rutin senamannya, ada juga hari dan waktu di mana dia menikmati makanan-makanan ringan. Dia minum juga segelas dua wain, makan kek ketika majlis keraian dan makan coklat sekali-sekala.

Boleh ikut? Jangan. Dapatkan nasihat doktor dahulu, memandangkan gaya hidup kita tidak seperti Ronaldo.

*Sumber: Insider, ESPNFC, AS


Ini rutin makan dan tidur Cristiano Ronaldo Ini rutin makan dan tidur Cristiano Ronaldo Reviewed by Hilal Azmi on October 27, 2020 Rating: 5

No comments