Home Top Ad

Kenapa perlu bersihkan telefon bimbit


Telefon bimbit adalah antara alat yang paling kerap dipegang. Menurut kajian pada 2016, rata-rata manusia memegang telefon bimbit mereka sebanyak 2,617 kali sehari.

Oleh itu, tahu atau tidak bahawa permukaan telefon bimbit itu sangat, sangat kotor, malah boleh dijadikan tempat pembiakan hidupan mikro seperti bakteria, virus dan fungi. 

Saintis membuktikan virus SARS-CoV-2, iaitu virus yang menyebabkan COVID-19 mampu hidup pada permukaan licin seperti skrin telefon bimbit selama 28 hari, menurut Agensi Sains Kebangsaan Australia (CSIRO). 

Jadi apa kita patut buat untuk kurangkan risiko hidupan mikro membiak di permukaan telefon? 

Yang paling penting ialah untuk memastikan kebersihan alat peranti itu, sama seperti anda menjaga kebersihan diri anda sendiri. 

Jangan pergi mandikan alat itu pula, tetapi ada caranya untuk ia dibersihkan. Jika anda tidak pasti dan was-was, anda boleh pergi ke website utama bagi syarikat pengeluar produk itu untuk mencari arahan bersesuaian.

Bagi produk Apple, syarikat itu menyarankan untuk gunakan kain lembut tanpa serat, jauhi daripada cecair, jangan biarkan kelembapan memasuki lubang-lubang, pastikan semua plug dicabut, elakkan guna aerosol, clorox atau kimia yang terlalu kasar, dan elak sembur pembersih di atas permukaan peranti.

Apple turut menyaran untuk gunakan pembersih alkohol isopropyl (70%) atau pengelap sanitasi Clorox untuk lap permukaan di bahagian tanpa lubang.

Berapa kerap perlu dibersihkan?

Menurut profesor di Rutgers University, Dr Donald Schaffner, cara untuk telefon bimbit dicemari virus dalam kuantiti yang banyak adalah jika seseorang bersin atau batuk berdekatan dengan telefon.

Jadi jika anda tidak duduk serumah dengan pesakit COVID-19 atau dengan sesiapa yang sedang sakit, tidak perlu untuk anda membersihkan telefon sekali atau dua kali sehari.

Ia juga terpulang kepada anda dan etika kebersihan diri anda. Contohnya, orang yang kerap mencuci tangan tidak perlu bersihkan telefon bimbit dengan kerap.

Juga, jika anda meletakkan telefon bimbit di permukaan yang mungkin tercemar, lebih baik anda bersihkan telefon itu untuk kurangkan risiko membawa hidupan mikro ke tangan anda, sekali gus ke bahagian muka dan menjangkiti anda. 



Kenapa perlu bersihkan telefon bimbit Kenapa perlu bersihkan telefon bimbit Reviewed by Hilal Azmi on October 13, 2020 Rating: 5

No comments