Home Top Ad

#mataisrarkhalid : SENTUL, KL


Pandemik memberikan sesuatu yang membuatkan saya sekali lagi jatuh cinta. Sesuatu yang mengingatkan saya untuk kembali menikmati setiap detik dan tidak terlalu memikirkan masa depan yang belum pasti - fotografi filem.

Memang benar sekarang sudah ada teknologi yang lebih memudahkan, dan bersama itu ia mempercepatkan lagi langkah kita. Keupayaan manusia dibantu teknologi, namun hingga satu tahap kebergantungan itu terlalu tinggi sehingga manusia hilang nilai manusianya.

Saya memang sudah memiliki sebuah kamera sejak tiga tahun lalu. Fujifilm X100T memang satu kamera yang hebat, rangefinder yang serba boleh tetapi terhad di bahagian lensanya. Seperkara tentang kamera digital ini adalah kita boleh melihat kembali gambar sejurus ia diketik. Memang mudah, tetapi ia membuatkan kita cenderung untuk mengetik sesuka hati tanpa memberikan perhatian penuh terhadap setiap detik yang dirakam.


Saya rasa saya perlu kembali ke asalnya untuk benar-benar memahami seni fotografi. Bermain dengan filem sudah lama ada dalam benak hati, tetapi waktu pandemik ini memberi keberanian untuk saya mula.

Kamera filem tidaklah semahal digital, tapi sebenarnya kos jangka panjangnya agak berlarutan. Anda perlu beli filem, kemudian filem perlu diproses atau dicuci dalam bahasa pasarnya, mencetaknya lagi. Kalau pakai kamera digital tak leceh begini.

Namun, itu yang membuatkan kita menggunakan akal dan kemahiran untuk cukup teliti dalam bertindak dalam ruang keterbatasan itu. Dan setiap proses dari mengambil gambar sehinggalah ia dicetak akan kita nikmati langkahnya.

Macam kita menghantar surat kepada seseorang dan menantikan balasannya. Ingat lagi perasaan itu? Nostalgia kan. Begitulah rasanya dalam fotografi filem. 

Maka pada suatu pagi Ahad, saya membawa kamera Canon AE-1 Program yang dibeli secara atas talian (terima kasih kepada teknologi) dan memuatkannya dengan segulung filem Kodak Ultramax 400 untuk mengambil gambar sekitar Sentul, Kuala Lumpur.

Untuk permulaan dalam fotografi filem, Canon AE-1 Program adalah antara kamera yang disarankan. Dihasilkan pada tahun 1982, ia masyhur sebagai antara kamera filem pertama yang mampu dikendali secara automatik. Jadi ia banyak membantu khususnya dalam menunjukkan bagaimana untuk menetapkan tiga asas fotografi iaitu aparture, shutter speed dan ISO serta membaca cahaya (exposure) sebelum kita secara beransur beralih kepada manual.


Ultramax 400 adalah antara pilihan paling sesuai memandangkan harganya yang murah berbanding filem-filem lain di pasaran. Jadi, tidak rugi untuk anda bereksperimen dengan beberapa gulung. Dan pagi Ahad di Pasar Sentul, Setul Depot dan sekitarnya adalah tempat dan masa yang terbaik untuk bereksperimen.

Sentul adalah sebuah wilayah pinggir bandar di gigi Kuala Lumpur. Ia diapit oleh Segambut dan Titiwangsa, jadi jelas ia masih berada di dalam lingkungan kesibukan ibu kota raya. Sentul dipesatkan pada zaman British sebagai hab kereta api Federated Malay States Railways (FMSR).

Pembinaan hab kereta api membuka penempatan pekerja dari India yang menjadi penduduk terawal di kawasan ini pada tahun 1896. Kemudian barulah orang Cina tiba membuka perniagaan mereka dan Melayu berhijrah dari luar bandar untuk bersama merancakkan ekonomi setempat.

Apabila Malaya ditakluk Jepun, hab keretapi Sentul dinamakan Marai Tetsudo. Dalam Perang Dunia Kedua, Sentul adalah antara pekan terakhir di Kuala Lumpur yang dibom dengan teruk oleh British tanpa amaran pada 19 Februari 1945. Mobiliti angkatan Jepun dilumpuhkan apabila musnahnya bengkel utama di ibu kota, sekaligus mendorong kepada pengakhiran penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Hari ini, dengan lebih 65,000 orang penduduk, Sentul terus membangun dengan tempias kepesatan ibu kota tetapi kekal dengan jiwa yang sama. Sentul Depoh masih teguh berdiri menjadi identiti sebuah medan kerja keras anak-anak Malaysia.




      



  


















#mataisrarkhalid : SENTUL, KL #mataisrarkhalid : SENTUL, KL Reviewed by Hilal Azmi on October 31, 2020 Rating: 5

No comments