Home Top Ad

POV: Kamera filem tak akan mati, terus relevan sehingga hari ini


Apabila bercakap mengenai penggunaan kamera, sudah tentu ramai yang lebih menjurus ke arah kamera digital, tambahan pula pada era moden ini, semuanya perlu dilakukan dengan pantas.


Selain kepantasan, hasil bidikan kamera digital boleh disunting menggunakan pelbagai jenis kesan dalam perisian komputer bagi menampakkan look yang diinginkan.


Kamera digital juga memudahkan tugasan selain tidak perlu bersusah-payah melalui pelbagai teknik antaranya membaca suhu cahaya atau menentukan shutter speed.


Begitupun, masih ada sekelompok kecil komuniti jurugambar yang kembali kepada asas menggunakan kamera filem bagi menghasilkan karya mereka.


Supian Ahmad, 41, antara jurugambar yang berbuat demikian selepas berbelas tahun menggunakan kamera digital terutama dalam tugasan hariannya sebelum ini.


“Sebelum ini saya bertugas sebagai jurugambar berita untuk sebuah agensi berita tempatan selama beberapa belas tahun sebelum bersara dan kini menjadi seorang jurugambar bebas.


“Semasa bekerja, saya menggunakan kamera digital sepenuhnya untuk tugasan harian, tetapi selepas bersara saya menumpukan kegunaan kamera filem untuk berkarya.


Supian Ahmad dengan kamera Mamiya RB67.

“Pada saya, ia adalah satu medium yang terbaik untuk kita kembali kepada asas sebagai seorang jurugambar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Menurut Supian, kamera filem membuatkan dirinya mempelajari banyak perkara yang perlu dilakukan secara manual termasuk membaca suhu cahaya dan juga penggunaan ISO serta lensa tunggal (fixed lens).


Tambahnya, apa yang menarik mengenai penggunaan kamera filem adalah dia tidak perlu untuk sentiasa melihat panel LCD setiap masa.


Foto: Koleksi hasil kerja Supian Ahmad

Foto: Koleksi hasil kerja Supian Ahmad

“Tak perlu lihat LCD, makanya sepanjang masa kita akan dapat menumpukan perhatian pada waktu itu, jadi lebih banyak peluang untuk mendapatkan momen.

“Gambar yang dirakam akan lebih konsisten kerana tiada ruang untuk mengubah karekteristik sesuatu filem, ini adalah kerana setiap filem mempunyai karakter yang berbeza.

“Menggunakan kamera filem akan membuat kita berfikir dengan lebih kritis tentang bagaimana kita merakam dan memproses setiap gambar,” jelasnya.

Selain itu, hasil cetakan gambar daripada kamera filem mempunyai 'rupa' yang nampaknya tidak dapat ditiru oleh digital.

Sebagai contoh, sekiranya hasil kamera digital disunting untuk mendapatkan look seperti filem, proses suntingan perlu dilakukan secara beberapa lapisan (layer).

Foto: Supian Ahmad               


“Filem itu setiap karakternya berlainan, suhu pun berlainan. ISO fixed walaupun setiap filem itu ada ISO100, 200, 400, tetapi warnanya akan nampak lain.

“Gambar yang dihasilkan lebih nampak hidup, ia tak terlalu digital. Kadang-kadang sharpness terlalu sharp sampaikan kita tengok pun boring. Jadi bila kita pakai filem, ia lebih ada jiwa. Pada saya lah..,” tambahnya.

Lebih kepada genre street photography, Supian lebih gemar menggunakan filem hitam putih, bersesuaian dengan konsepnya sendiri.

Setakat ini, dia menggunakan empat jenis kamera filem dalam menghasilkan karyanya iaitu SLR Olympus OM10, Rangefinder Voigtlander Perkeo II, Rangefinder Canonet QL17 dan Medium Format Mamiya RB67.

Foto: Sharul Nizam Basri

Sementara itu, seorang lagi jurugambar, Sharul Nizam Basri, memberitahu mula menggunakan kamera filem seawal pembabitannya dalam lapangan berkenaan semasa bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah pada tahun 2003 sehingga 2005.

Sharul Nizam

“Pada tahun 2005, saya mula beralih kepada kamera digital atas arahan syarikat. Pada ketika itu, 100 peratus tugasan saya menggunakan kamera digital.

“Saya kembali semula kepada kamera filem pada tahun 2015 sehingga kini kerana sudah mula bergerak sendiri merakam genre lifestyle.

Salah satu hasil kerja Sharul, menggunakan teknik double exposure pada kamera filem, teknik yang hampir pupus pada era zaman digital.


Lifestyle menggunakan kamera filem sangat mencabar. Banyak faktor perlu kita tahu antaranya filem apa nak kena guna, color mode dan filem ini ada sifat dan warnanya yang tertentu,” katanya.


Selain itu, subjek atau model turut memainkan peranan termasuk lokasi, aspek pencahayaan yang memerlukan ketepatan bagi membaca exposure.


Foto Cover oleh Supian Ahmad
POV: Kamera filem tak akan mati, terus relevan sehingga hari ini POV:  Kamera filem tak akan mati, terus relevan sehingga hari ini Reviewed by Hilal Azmi on October 10, 2020 Rating: 5

No comments