Home Top Ad

POV: Kawood bantu tiga sahabat bangkit



"Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua
Sakit pada luka kan pulih semula
Bangkit".

Lirik lagu Bangkit itu ibarat situasi yang berlaku terhadap tiga sahabat baik, Hafiz Johari, Noor Adzrene Mohd Noor dan Abd Razak Latif.

Selepas berbelas-belas tahun mereka bertiga merakam momen penting untuk negara, akhirnya kerjaya tetap itu hilang dalam genggaman masing-masing.

Bagaimanapun, semangat yang dimiliki tiga bekas jurugambar ini cukup berbeza apabila mereka bangkit dengan mewujudkan sebuah perniagaan berasaskan kemahiran pertukangan kayu pallet.

Dari sekeping kayu menjadi sesuatu, itulah Kawood. Sebuah syarikat yang menghasilkan pelbagai jenis rak hiasan berasaskan kayu pine hasil ilham tiga anak muda ini.

"Kawood iaitu gabungan perkataan Kawan dan Wood iaitu kerja-kerja dilakukan berasaskan kayu".

"Then terus daftar dengan SSM, buka akaun bank dan media sosial. Jadi kami bertiga berharap perniagaan ini terus menjadi sumber pendapatan tetap kami," kata Abd Razak Latif.


Beliau yang bertanggungjawab dalam aspek pemasaran dan pengiklanan memberitahu, banyak yang cuba melahirkan kebimbangan kepada mereka bertiga yang membuka perniagaan atas dasar kawan-kawan.

"Saya anggap benda macam itu mungkin pendapat orang, kami bertiga ini dah lama kenal dan kenal hati budi masing-masing, termasuk sebelum ada keluarga sendiri.

"Kalau tak puas hati, terus cakap dan sentiasa berfikiran terbuka apabila kawan-kawan bagi pendapat," katanya.

Menurut Hafiz Johari pula, beliau yakin setiap yang berlaku ada hikmah walaupun perit pada awalnya.


Katanya, beliau dan kawan-kawan mungkin masih bergelar jurugambar dan makan gaji jika syarikat akhbar tempatan tersebut tidak tutup pada Oktober tahun lalu.

"Apabila sudah hilang kerja, bermula dengan hobi dan jadi perniagaan dan dapat banyak permintaan setiap hari so kita akan terus serius untuk menjadikan produk ini setanding jenama antarabangsa.

"Pengajaran lain yang saya dapat adalah tidak boleh sama sekali terlalu selesa di zon sedia ada, sebaliknya kena ada kemahiran lain untuk digunakan ketika kecemasan," katanya.


Sementara itu, Noor Adzrene Mohd Noor pula menggunakan kisah-kisah kegagalan orang lain sebagai teladan terhadap dirinya untuk tidak berputus asa.

Manakan tidak, Kawood merupakan perniagaan kedua buat dirinya selepas menandatangani surat Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

"Selagi ada tulang empat kerat dan sihat tubuh badan, kenapa nak membongkang je di rumah? 

"Jadi apabila ada peluang, cari inisiatif dan guna kemahiran sedia ada cuba buat apa yang boleh untuk sara keluarga," katanya mengakhiri bicara.



POV: Kawood bantu tiga sahabat bangkit POV: Kawood bantu tiga sahabat bangkit Reviewed by Hilal Azmi on October 03, 2020 Rating: 5

No comments