Home Top Ad

Ramuan aneh yang membuatkan bau minyak wangi tahan lama


Semua orang kalau boleh mahukan minyak wangi yang dapat bertahan lama. Tak perlu kerap disembur, jimat.

Anda juga mungkin fikirkan yang semua minyak wangi diperbuat daripada bahan-bahan yang cantik dan halus. Sebenarnya, tak semua rupanya macam kelopak bunga. Ada satu bahan yang merupakan antara bahan mentah paling bernilai dalam pembuatan minyak wangi, adalah sisa buangan ikan paus.

Ambergris terhasil daripada rembesan hempedu ikan paus sperma untuk memudahkan perjalanan sebarang objek keras dan tajam yang dimakan melepasi sistem pencernaannya. Dalam hal ini, objek keras itu adalah paruh sotong gergasi yang menjadi diet ikan paus dari spesis itu.

Secara teknikalnya ia bukanlah tahi, tapi ia keluar dari tempat yang sama. Ia dilepaskan ke laut dan terapung-apung sehingga selama 30 tahun sebelum larut sepenuhnya atau tenggelam ke dasar laut. Sepanjang tempoh itu, bahan buangan yang asalnya melekit ini bertukar menjadi ketulan keras berwarna kelabu keputihan, kesan tindak balas kimia dengan air laut.

Sejarah penggunaannya diketahui sejak zaman Mesir purba, di mana Firaun dan para bangsawan membakarnya sebagai colok. Ia mengandungi sejenis bahan kimia unik yang bertindak sebagai fiksatif, membuatkan bau-bauan dalam minyak wangi itu bertahan lebih lama.

Nampak macam batu, tapi inilah benda yang dianggap sebagai 'emas terapung'. (foto: Whales Online)

Menurut pengkaji ambergris yang juga penulis buku 'Floating Gold', Christopher Kemp, "ia seperti sejambak 20 ke 30 kompaun kimia yang berbeza, setiap satunya ada profil bau yang tersendiri. Ada yang berbau macam cendawan, ada yang bau macam tembakau, bau rumput atau lalang."

Sejak berkurun lamanya, para pembuat minyak wangi menggunakannya sebagai base note. Base note membentuk asas kepada bau apa sahaja jenis minyak wangi, dan minyak wangi yang mengandungi ambergris selalunya agak mahal.

Ambergris mengambil masa bertahun untuk terbentuk. Mencarinya pun bukannya mudah, kerana itu ia sangat rare dan mahal. Tidak diketahui kenapa, tapi saintis mendapati hanya 1% daripada populasi ikan paus sperma sahaja yang menghasilkan ambergris.

Ambergris hanya dihasilkan oleh spesis ikan paus sperma sahaja, ikan paus yang paling diancam kepupusan. (foto: Wikipedia)

Satu gram ambergris bernilai kira-kira tiga kali ganda lebih mahal daripada perak dalam jumlah yang sama. Pada 2006, sepasang kekasih yang sedang berjalan-jalan di sebuah pantai di Australia menemukan seketul ambergris seberat 14 kilogram, dan nilainya dianggarkan lebih RM 1 juta!

Nasib pasangan itu memang baik, kerana selalunya ia akan dikutip dahulu oleh para pemburu ambergris sebelum ditemui oleh orang lain. Mereka membaca cuaca dan arus laut untuk menjangkakan ke mana kebarangkalian keberadaannya. Selepas dikutip, mereka menjualnya kepada broker atau pembuat minyak wangi pada harga hampir RM 60,000 bagi setiap kilogram.

Kebanyakan ambergris yang dikutip secara komersial datang dari kepulauan Bahamas. Ia tidak diambil terus daripada ikan paus, memandangkan banyak negara mengharamkan aktiviti jual beli yang melibatkan ikan paus untuk menghalang aktiviti pemburuannya.

Ikan paus sperma juga adalah antara haiwan yang sedang diancam kepupusan. Sebelum kegiatan memburu ikan paus bermula, ada lebih daripada sejuta ikan paus sperma bebas menyusuri tujuh lautan dunia. Hari ini, dianggarkan jumlahnya hanya sekitar satu perlima daripadanya (200,000 ekor).

Ambergris masih lagi boleh ditemui dalam minyak wangi mahal di pasaran hari ini. Pada masa sama, para pembuat minyak wangi juga menggunakan bahan kimia sintetik, ambroxide, sebagai alternatif yang lebih murah.

Jadi lain kali apabila anda mahu membeli minyak wangi yang tahan lama, dan jika berkemampuan, carilah yang mengandungi ambegris. 

Geli? Apalah bezanya sangat dengan kopi luwak yang anda minum tu. 


*Sumber: Business Insider, GQ Magazine, Wikipedia


Ramuan aneh yang membuatkan bau minyak wangi tahan lama Ramuan aneh yang membuatkan bau minyak wangi tahan lama Reviewed by Hilal Azmi on October 28, 2020 Rating: 5

No comments