Home Top Ad

Sejarah awal Malaysia Airlines yang gemilang


Segalanya bermula dengan dua beradik warga Australia, Theodore dan Charles Wearne. Mereka menubuhkan Wearne's Air Service (WAS) untuk membawa penumpang tiga kali seminggu antara tiga destinasi - Singapura, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Penerbangan pertamanya dilaksanakan oleh pesawat 8 penumpang de Havilland DH.89A Dragon Rapide pada 28 Jun 1937 dari Lapangan Terbang Kallang di Singapura. Kemudian, ia menjadi penerbangan harian dan Ipoh ditambah sebagai satu lagi destinasi perkhidmatannya.

Inisiatif oleh tiga syarikat British iaitu Ocean Steamship Company dengan kerjasama Straits Steamship Company dan Imperial Airways menubuhkan "Malayan Airways Limited" (MAL) di Singapura pada 12 Oktober 1937. Bagaimanapun, penerbangan sulungnya hanya berlepas sepuluh tahun kemudian, selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Pada 2 April 1947, pesawat Airspeed Consul yang diberi nama 'Raja Udang' berlepas dari Kallang dengan lima orang penumpang menuju Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur. Selepas menjadi syarikat awam berhad pada 1957, armada MAL terus berkembang dengan penambahan pesawat yang lebih besar dan menjadi medium pengangkutan pilihan elitis.

Airspeed Consul, pesawat pertama Malayan Airways. Boleh nampak logonya di sisi muncung, keris di tengah-tengah huruf 'M' dan 'A'.

Destinasi MAL diperluas ke penerbangan antarabangsa iaitu Singapura-Hong Kong dan Kuala Lumpur-Pulau Pinang-Bangkok menjelang April 1960. Turut diperkenalkan penerbangan ke Borneo dari Singapura merangkumi bandar Brunei, Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching, Sandakan dan Sibu.

Apabila Semenanjung Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada September 1969, "Malayan Airways" secara rasmi ditukar menjadi "Malaysian Airways." Ia juga bergabung dengan Borneo Airways berkuat kuasa 1 April 1965.

Pesawat Malaysian Airways de Havilland DH106 Comet 4, sekitar 1960-an.

Pada 1966, susulan pengunduran Singapura daripada Persekutuan Malaysia, syarikat ditukar lagi nama kepada "Malaysia-Singapore Airlines" (MSA). Tahun berikutnya menyaksikan perkembangan pesat MSA dengan pembelian pesawat Boeing pertamanya, Boeing 707s dan pembinaan ibu pejabat baharu yang lebih besar di Singapura.

Percanggahan visi dan misi oleh pemegang saham kedua-dua negara membawa kepada perpecahan MSA. Singapura mahu meluaskan capaian antarabangsanya, sementara Malaysia mahu mengukuhkan kedudukan dalam negara sebelum ke wilayah serantau dan global. Maka pada 1972, aset MSA dibahagikan kepada dua syarikat baharu; Malaysia Airlines System (MAS) dan Singapore Airlines.

Pesawat Boeing 707 milik Malaysia-Singapore Airlines, sekitar 1972.

MAS tidak tunggu lama untuk berkembang, apabila memperkenalkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke London pada Oktober tahun sama. Ketika itu juga, MAS menguruskan penerbangan ke 34 destinasi serantau dan enam destinasi antarabangsa. Selepas menerima pesawat DC-10-30 pada 1976, MAS mula terbang ke Amsterdam, Paris dan Frankfurt.

Lonjakan ekonomi Malaysia pada 1980-an mendorong pertumbuhan rancak MAS. Menjelang penghujung dekad, syarikat penerbangan negara itu sampai ke 47 destinasi antarabangsa merangkumi lapan destinasi Eropah, tujuh destinasi Oceania dan dua destinasi Amerika Syarikat iaitu Los Angeles dan Honolulu. 

Pesawat DC-10-30, tulang belakang penerbangan jarak jauh MAS dari 1976 hingga 2000. 

Ketibaan pesawat Boeing 747 pada 1993 membolehkan MAS terbang ke Buenos Aires dan Mexico City, menjadikannya syarikat penerbangan Asia Tenggara pertama yang sampai ke bumi Amerika Selatan. Namun kegemilangan itu mula memudar apabila Krisis Ekonomi Asia menyerang pada 1997.

Sejak daripada itu, syarikat penerbangan negara itu terumbang ambing dilambung untung rugi dan bergelut untuk terus terbang. Menurut Pelan Perubahan Pemulihan Perniagaan Malaysia Airlines pada 2011, faktor kerugiannya adalah disebabkan kos bahan bakar disebabkan harganya yang naik begitu tinggi.

Antara sebab lain adalah kegagalan pengurusan hasil. Kekurangan bisnes trafik ke dan dari Malaysia kurang daripada Singapura juga dijadikan antara penyebab, tetapi yang utamanya adalah kelemahan dalam penetapan harga dan pengurusan pendapatan, pemasaran dan edaran serta keberadaan jenama di pasaran luar.

Tidak mahu cerita banyak tentang episod hitam syarikat penerbangan yang menjadi lambang identiti hospitaliti Malaysia di mata dunia ini. Kita kenang semula detik-detik gemilang di dalam lipatan sejarahnya supaya dapat menjadi semangat untuk mereka yang berkuasa dan bertanggungjawab mempertahankan kedaulatannya.

Apa yang diharapkan kita semua pastinya, semoga wau bulan kebanggaan kita dapat kembali terbang megah di angkasa raya. 

*Sumber: Wikipedia

Sejarah awal Malaysia Airlines yang gemilang Sejarah awal Malaysia Airlines yang gemilang Reviewed by Hilal Azmi on October 15, 2020 Rating: 5

No comments