Home Top Ad

Sejarah hitam di sebalik penciptaan cakoi


Sedap betul kalau makan cakoi petang-petang begini. Cecah pula dengan kaya pandan, atau sambal kicap, atau gula, atau apa sahajalah ikut selera, dan kopi secawan - bahagia sungguh rasanya.

Cakoi adalah sejenis pastri berbentuk panjang yang merupakan makanan tradisi bangsa Cina sejak berkurun lamanya. Ia menjadi kebiasaan dalam masyarakat sekitar Asia Timur dan Asia Tenggara apabila para perantau tanah besar membawa tradisi itu bersama mereka.

Penutur Mandarin memanggilnya 'youtiao'. Orang Minnan Taiwan menyebutnya 'iu-chia-koe', tidak jauh dengan sebutan Kantonis 'yauhjagwai'.

Di Malaysia, Indonesia dan Singapura, umum memanggilnya cakoi, cha kway, chakwe, kuey, atau kueh. Macam-macam ejaan, bunyinya sama sahaja. Di Thailand, mereka memanggilnya patongko, kerana itu di utara Semenanjung ia dikenali dengan nama itu. 

'You tiao' atau 'iu-chia' atau 'yau-ja' itu bermaksud 'goreng dengan minyak'. 'Koi' atau 'kway' atau 'koe' pula bererti 'pastri' atau 'kuih' (dari sini datang perkataan Melayu 'kuih'). Bagaimanapun dalam bahasa-bahasa Cina, walaupun bunyinya lebih kurang, cara sebut lain akan membawa makna lain. Sebutan Kantonis 'gwai' (鬼) bermaksud 'syaitan'.

Apa kena mengena syaitan dalam ini cerita? Begini:

Suatu ketika dahulu di zaman Dinasti Song (1127-1279M), ada seorang jeneral bernama Yue Fei yang telah memimpin banyak kemenangan dalam kempen peperangan untuk Maharaja Gaozong. Atas pencapaian cemerlang itu, Yue Fei diangkat sebagai ikon patriotik China.

Bagaimanapun, keunggulannya dicemburui seorang pegawai tertinggi maharaja bernama Qin Hui. Maka si celaka ini, yang sebenarnya berkomplot dengan musuh secara sulit, mengatur rancangan dengan isterinya, Puan Wang untuk menjatuhkan Yue Fei.

Potret Canselor Qin Hui, watak yang bertanggungjawab mencetuskan penciptaan cakoi. (foto: Wikipedia)

Ketika Jeneral Yue Fei semakin hampir mencapai kemenangan penting dalam suatu pertempuran dengan musuh ketat Dinasti Jin, Qin Hui menghasut Maharaja Gaozong dengan memfitnah Yue Fei atas dosa yang tidak dilakukannya. Terpedaya, Maharaja memanggil jeneral itu pulang bersama seluruh angkatan tenteranya.

Yue Fei kemudian dihukum bunuh, dan berita itu sampai ke pengetahuan rakyat jelata yang menyanjunginya. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa, maka atas dasar protes, para peniaga jalanan membuat pastri di mana dua jalur tepung digabungkan dan digoreng dalam minyak panas. Mereka memanggilnya dengan nama yang diterjemahkan dalam bahasa kita bermaksud 'Hui goreng' atau 'syaitan goreng'.

Apabila Canselor Qin Hui mengetahui tentangnya, dia mengarahkan pengawalnya menangkap para peniaga jalanan yang terlibat. Bagaimanapun mereka tidak gentar, malah seluruhnya melaungkan:

"油炸檜勸君切莫做佞人 
奸惡誰逃地獄門 
民間遍食油炸檜 
未死已遭油火焚"

"You char Hui mengingatkan kami supaya jangan menjadi pembelot,
Pembelot takkan terlepas daripada pagar-pagar neraka,
Semua orang makan you char Hui,
Pembelot yang telah digoreng dalam minyak sebelum mereka mati."

Lebih kurang begitulah maksudnya.

Mengikut kepercayaan budaya Cina, pendusta akan dihukum dengan cara digoreng dalam minyak yang menggelegak di tingkat ke-18 neraka. Maka simboliknya kuih itu mewakili Qin Hui dan isterinya bersama digoreng dalam minyak panas.

Jadi begitulah cerita bagaimana kuih yang dinikmati oleh pelbagai bangsa dan agama ini tercipta. Xie xie.

Patung Qin Hui dan isterinya Puan Wang di kuil Yue Fei, Guanzhou. Sampai hari ini, walaupun sudah dilarang, menjadi tradisi orang tempatan yang melintas untuk meludah kepada dua patung ini, memperingati dosa yang telah mereka lakukan. (foto: Wikipedia)

*Sumber: Wikipedia, johorkaki.blogspot.com


Sejarah hitam di sebalik penciptaan cakoi Sejarah hitam di sebalik penciptaan cakoi Reviewed by Hilal Azmi on October 23, 2020 Rating: 5

No comments