Home Top Ad

Sejarah ringkas kamera dan fotografi


Sejarah kamera bermula lama sebelum pengenalan fotografi, namun kedua-duanya saling berkait rapat. Ia berevolusi daripada fenomena camera obscura sebelum pelbagai teknologi dibangunkan sehinggalah menjadi digital seperti yang kita gunakan hari ini.

Camera obscura (dalam bahasa Latin bermaksud camera - 'kamar', 'bilik'; dan obscura - 'gelap') adalah fenomena optik semula jadi yang berlaku apabila imej sesebuah subjek di satu sisi terpapar secara terbalik di dalam bilik gelap di sisi bertentangannya menerusi satu lubang kecil pada dinding di antara bilik gelap itu dengan tempat di mana subjek berada.

Kalau tak faham, begini gambarannya:


Catatan paling awal tentang fenomena ini adalah penjelasan oleh ahli falsafah Dinasti Han, Mozi (470 - 391 SM) yang mengatakan bahawa penghasilan imej terbalik adalah disebabkan cahaya bergerak secara lurus.

Kemudian ilmuan ulung Zaman Emas Islam, Ibn al-Haytham (965 - 1040 M) menulis hasil kajian terperinci tentang fenomena tersebut serta dianggap orang pertama mencipta kamera, apabila beliau membuat lubang kecil pada dinding sebuah bilik gelap untuk menghasilkan camera obscura. 

Penulisan al-Haytham tentang optik, Kitab al-Manazir (Buku tentang Optik), menjadi sangat berpengaruh di Eropah apabila diterjemahkan ke bahasa Latin, menjadi rujukan kepada Leonardo da Vinci, René Descartes dan Johannes Kepler.


Dari sebuah bilik, camera obscura dihasilkan dalam binaan kotak yang boleh dibawa ke mana-mana.
 Penggunaan kotak camera obscura dengan lensa pada bukaan cahaya padanya digunakan dengan meluas bermula pertengahan kurun ke-16 dan popular sebagai alat bantuan untuk menekap dan melukis.

Imej kekal pertama yang berjaya dirakam dengan kotak camera obscura dihasilkan pada 1825 oleh Joseph Nicéphore Niépce. Dia merakam pemandangan luar dari biliknya dengan mendedahkan kepingan pewter yang disadur bitumen kepada cahaya matahari selama lapan jam, dan memanggil proses ini 'heliografi'.

Imej fotografi pertama dihasilkan oleh Niépce, View From the Window at Le Gras (1827).Plat asal (kiri) dan imej yang sudah diperjelas dan diwarnakan. 

Niépce kemudian bersepakat dengan seorang lagi pencipta, Louis-Jacques-Mandé Daguerre bagi menambah baik proses heliografi ciptaannya. Niépce bereksperimen dengan bahan kimia lain untuk menjadikan imej heliografinya lebih terang, sementara Daguerre menambah mutu rekaan kotak camera obscura.

Kerjasama mereka berakhir apabila Niépce mati pada 1833, dan usaha diteruskan Daguerre yang kemudian membangunkan imej berkontras tinggi dan lebih jelas dengan mendedahkan kepingan yang disadur iodide perak, dan diproses dengan wap merkuri dan dicampur larutan pekat garam biasa. Dia menamakan proses ini 'daguerreotype'.

Foto Louis Daguerre yang diambil dengan teknik pemprosesan yang diciptanya, daguerreotype.

Beberapa tahun kemudian, seorang saintis Inggeris bernama William Henry Fox Talbot secara sendiri mencipta sejenis proses untuk memperbaiki imej kamera menggunakan garam perak. Pada 1840-an, Tablot membangunkan proses dua langkah untuk menghasilkan fotograf pada kertas yang dipanggilnya 'calotype' atau juga dikenali sebagai 'talbotype'. 

Ia merupakan proses pertama yang memanfaatkan cetakan negatif yang menterbalikkan hitam jadi putih dan putih jadi hitam. Walaupun proses ini boleh mencetak gambar untuk beberapa kali, ia tidak sepopular daguerreotype yang menghasilkan gambar yang lebih jelas dan tajam  memandangkan ia dihasilkan terus sebagai cetakan positif. Bagaimanapun, proses negatif calotype menjadi asas kepada fotografi moden.

Foto calotype William Henry Fox Talbot, pencipta teknik pemprosesan gambar itu.

Kamera fotografi pertama yang dihasilkan untuk tujuan pasaran komersial adalah kamera daguerreotype ciptaan Alphonse Giroux pada 1839, yang dijual pada harga 400 franc. Untuk menangkap gambar, kamera ini memerlukan waktu pendedahan (exposure) yang panjang, dari lima hingga 30 minit.

Kamera fotograf pertama yang menggunakan teknik daguerreotype ciptaan Giroux.

Apabile kepingan kering gelatin tercipta pada 1871, ia mencetuskan satu proses penghasilan fotograf yang lebih cepat dan berkualiti yang dipanggil 'collodion dry plate'. Hasil kerja Désiré van Monckhoven itu membolehkan kamera tidak lagi memakai tripod, dan trend mengambil gambar kandid oleh jurugambar amatur menjadi popular.

Ia mendorong kepada penciptaan kamera yang lebih kecil yang boleh dibawa dengan mudah ke mana-mana. Tempoh exposure yang lebih pendek yang menggalakkan fotografi kandid didorong oleh penciptaan shutter mekanikal. Awalnya dijual sebagai aksesori, sebelum menjadi bahagian penting dalam setiap penciptaan kamera menjelang kurun ke-19.

Penggunaan filem fotografi dipelopori oleh George Eastman pada 1885, dan tiga tahun kemudian mencipta sejenis kamera kotak yang dipanggil Kodak. Kamera ringkas tersebut siap diisi dengan filem untuk 100 exposure dan perlu dihantar semula ke kilang untuk diproses. Kemudian pada 1900, Eastman mengorak selangkah lebih jauh dalam pasaran massa dengan memperkenalkan kamera Brownie.

Produk kamera kedua ciptaan Eastman, Brownie (1900).

Filem semakin popular dan menjelang 1905, banyak syarikat pembuat menggunakan filem 35mm untuk fotografi pegun. Tourist Multiple oleh Herbert & Huesgen menjadi kamera filem 35mm yang pertama dicipta untuk pengunaan khalayak umum pada 1913, dan Simplex pada tahun berikutnya.

Kamera Tourist Multiple oleh Herbert & Huesgen (1913)

Sekitar tahun sama, Oskar Barnack yang bertugas di bahagian penyelidikan dan pembangunan Leitz, mengkaki pengunaan filem sinema 35mm sambil membuat percubaan mencipta kamera kompak dengan terhasilnya prototaip Ur-Leica. Namun, usahanya tergendala apabila Perang Dunia Pertama meletus. Selepas itu barulah Leica mengkomersialkan kamera 35mm pertama mereka pada 1923.


Kamera kompak 35mm Leica 1 (atas), dan foto pertama yang diambil dengan Ur-Leica oleh Barnack pada 1913 di Eisenmarkt, Wetzlar, Jerman.

Dari waktu itu, kamera dan fotografi terus berevolusi, menyaksikan pengenalan kamera single-lens reflex (SLR) dan twin-lens reflex (TLR), kamera segera, automatik dan mengalami anjakan terbesar dengan pengenalan teknologi digital.

Minolta RD-175, kamera digital SLR yang pertama, diperkenalkan Minolta pada 1995.

Begitulah serba sedikit tentang sejarah awal fotografi dan kamera.

*Sumber: Wikipedia



Sejarah ringkas kamera dan fotografi Sejarah ringkas kamera dan fotografi Reviewed by Hilal Azmi on October 14, 2020 Rating: 5

No comments