Home Top Ad

Tarikh lancar iPhone 12 sudah diumum. Ada iPhone mini?


Penantian peminat Apple sudah terjawab. Syarikat itu akan memperkenalkan iPhone 12 pada Selasa, 13 Oktober ini jam 10 pagi waktu Pasifik yakni 1 pagi 14 Oktober waktu Malaysia.

Undangan sudahpun dihantar kepada para wartawan dengan frasa 'Hi, Speed' - berkemungkinan besar merujuk kepada teknologi 5G yang dibawa oleh telefon pintar terbaharu itu.

Pada September tempoh hari Apple sudah mengadakan acaranya, tetapi tiada langsung cerita tentang iPhone 12. Hanya diperkenalkan Apple Watch terbaharu, iPad Air dan Apple Fitness+. 

Ura-ura mengatakan bahawa kita akan dipersembahkan dengan iPhone 12, iPhone 12 Max, iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max. Kemudian ada seorang pengguna Twitter bernama DuanRui membocorkan khabar angin yang boleh dipercayai - gambar kasing iPhone yang salah satunya macam untuk 'iPhone mini'.


iPhone 12 mini dikhabarkan akan bersaiz 5.4 inci, besar sedikit daripada iPhone SE yang bersaiz 4.7 inci. Sementara iPhone 12 Pro Max katanya akan menjadi yang terbesar pernah dihasilkan, dengan skrin seluas 6.7 inci. iPhone 12 biasa pula bersaiz 6.1 inci.

Dikatakan juga, iPhone 12 Pro dan Pro Max akan berbentuk seperti iPhone 4 dengan bingkai besi dan berbucu rata. Ini menurut Mark Gurman, jurnalis Bloomberg yang sekian lama mengikuti perkembangan Apple, yang juga katanya ia mungkin akan berupa seperti iPad Air yang baharu.


Menurut Nikkei Asia, skrinnya pula nanti akan dikuasakan dengan OLED, menggantikan LED yang dipakai dalam iPhone 11. Skrin OLED menghasilkan kontras lebih jelas dan warna yang lebih terang. 

Seterusnya tentang lensa kamera. Seperti iPhone 11 Pro, iPhone 12 Pro dan 12 Pro Max akan ada tiga lensa belakang - lebar, ultra lebar dan telefoto. iPhone mini dan iPhone 12 akan hanya ada dua lensa sahaja seperti iPhone 11.

Apa yang baharu adalah penambahan sensor LiDAR di belakang iPhone 12 Pro dan 12 Pro Max. Sensor itu berfungsi dengan menggunakan laser untuk membuat pemetaan terhadap persekitarannya. Ia membantu mencantikkan pengambilan gambar Portret dan aplikasi Realiti Berperantara (Augmented Reality, AR).


Umum sudah mendapat tahu bahawa iPhone terbaharu ini ada teknologi sambungan 5G. Tapi perlu diingat bahawa ada dua jenis 5G - mmWave dan sub-6GHz. Sub-6GHz dikatakan tidak sepantas mmWave, tapi capaiannya lebih meluas.

Penganalisis Apple yang boleh dipercayai, Ming-Chi Kuo meramalkan yang kesemua empat iPhone 12 boleh dihubungkan ke kedua-dua rangkaian 5G itu. Tetapi laporan kemudiannya mendakwa hanya iPhone 12 Pro Max yang boleh disambungkan dengan rangkaian mmWave.

Apa pun, ia bergantung kepada penyedia perkhidmatan sesuatu tempat itu. Pakai telefon 5G pun kalau di tempat yang hanya ada rangkaian 3G, 3G juga dapatnya.

Katanya juga iPhone terbaharu ini akan menjadi iPhone paling laju. Dengan cip pemproses A14, ia bakal menyaingi kemampuan iPad Pro dengan penjimatan kuasa yang lebih baik. Katanya lah.

Harganya? Ini kemungkinannya, mengikut harga Amerika.


Apapun khabar anginnya, sama-sama kita nantikan awal pagi 14 Oktober ini.

*Sumber: Mashable.Asia
Tarikh lancar iPhone 12 sudah diumum. Ada iPhone mini? Tarikh lancar iPhone 12 sudah diumum. Ada iPhone mini? Reviewed by Hilal Azmi on October 08, 2020 Rating: 5

No comments