Home Top Ad

The Swallows, kugiran Boyan yang meletup di Jerman


The Swallows adalah sebuah kugiran (kumpulan gitar rancak) tanah air yang ditubuhkan pada 1961 di Sembawang, Singapura.

Ia dibentuk oleh Yussoff Rahmat (gitar), Affandi Haji Rahman (dram), Yahaya Ghalid (gitar) dan Hamid Ba'ah (bass). Pada awalnya mereka adalah kumpulan instrumental tanpa vokalis utama, hanya disumbangkan oleh Yahaya dan Yusoff.

Sehinggalah ketibaan Ahmad Daud, nama yang dikenali dalam arena filem dan muzik menyertai mereka sebagai vokalis utama, The Swallows mula mengorak langkah lebih besar. Pada 1965 mereka menerbitkan EP (Extended Play) yang mempamerkan persembahan bertenaga sepertimana pertunjukan pentas mereka.

Keberadaan Ahmad Daud juga membuka peluang kepada The Swallows kepada penglibatan dalam dunia filem. Pada tahun sama, mereka merakam lagu 'Dendang Pontianak' untuk filem 'Pusaka Pontianak' dan lagu 'Si Manis 17' untuk filem 'Sayang Si Buta.'

Ketika kugiran ini sedang mengecap kejayaan, mereka dikejutkan dengan berita pengunduran Ahmad Daud yang mahu kembali ke Kuala Lumpur. Dengan adegan muzik 60-an ketika itu menyaksikan semakin banyak kugiran tempatan muncul bak cendawan lepas hujan, mereka mencari kelainan. Kelainan ditampilkan itu adalah dengan menonjolkan identiti leluhur mereka sebagai orang Boyan/Bawean.


The Swallows menggabungkan irama rancak jalanan rhythm & blues (R&B) dengan lirik bahasa Boyan, dan menemui cebisan terakhir pelengkap mereka dengan penyertaan Kassim Rahmat, yang dahulunya vokalis kumpulan Pemudia Ria Hiburan Parti.

Diilhamkan daripada Kassim Selamat dalam filem P.Ramlee 'Ibu Mertuaku', dia memakai nama Kassim Slamat dan pantas merakam karya seterusnya dengan vokalis baharu itu. Terhasillah single 'Angkok2 Bilis' dan hit side-B, 'La-A-Obe' yang meletup bukan sahaja di Singapura, malah dimainkan di sebuah rancangan radio di Jerman Barat di mana ia menghuni carta 10 lagu pilihan selama tiga minggu.

Tahun 1967 menjadi kemuncak perjalanan The Swallows dengan penerbitan tiga EP - 'Nga Lompak A Go Go', 'A Solo-Ka' dan 'Senten Nyama-Na' - serta tiga lagi EP menyokong penyanyi lain iaitu Rafeah Buang, Ahmad Jais dan Tina.

Kugiran itu seterusnya menghasilkan dua lagi lagu pada 1968 iaitu 'La Karebna' dan 'Lek, Paju Molle', sebelum perlahan-lahan memudar daripada adegan muzik tempatan.

Ketika banyak karyawan hari ini menganggap penggunaan bahasa Inggeris mampu membawa sesebuah karya itu lebih jauh, The Swallows membuktikan sebaliknya. Kalau lagu berbahasa Boyan boleh menjadi pilihan pendengar radio di Jerman selama tiga minggu, bermakna bahasa bukan faktornya.

Kerana muzik itu bahasa universal, yang penting semangat iramanya sampai ke jiwa pendengar tidak kira siapa.

*Sumber: Psyche-Oh A Go Go, Discogs


The Swallows, kugiran Boyan yang meletup di Jerman The Swallows, kugiran Boyan yang meletup di Jerman Reviewed by Hilal Azmi on October 08, 2020 Rating: 5

No comments