Home Top Ad

5 cara perbaiki skil berfikir secara kritikal


Sehari-harian kita dihujani pelbagai hal yang memerlukan kita untuk membuat keputusan. Ada yang kecil dan tak berapa penting, tetapi ada juga yang mendatangkan kesan besar kepada kehidupan kita. Semestinya mustahil untuk kita membuat keputusan yang tepat sepanjang masa.

Tetapi ada macam-macam cara untuk membolehkan kita membuat lebih banyak keputusan yang positif, dan salah satu cara yang paling berkesan adalah dengan berfikir secara kritikal. Ini adalah cara kita menjawab persoalan dengan secara teliti menghuraikan sesuatu situasi, mengupas isu tersembunyi, sebelum membuat keputusan terbaik.

Daripada memberi jawapan atau membuat keputusan yang dirasakan senang dan benar, seseorang yang menggunakan pemikiran kritikal akan menimbang segala faktor positif dan juga negatif. Mereka akan menyingkirkan segalanya kecuali informasi yang paling berguna dan boleh dipercayai.

Ada pelbagai cara untuk berfikir secara kritikal, tetapi TED Ed kongsikan satu proses lima langkah yang boleh membantu anda menyelesaikan segala masalah dengan akal untuk mengimbangi penilaian firasat hati kita.


1. Rumuskan soalan anda

Atau kata mudahnya, tahu apa yang anda mahu. Ia tidaklah semudah kata, contohnya apabila anda bercadang mahu mencuba sesebuah amalan diet, sebab anda untuk berbuat demikian boleh didorong oleh beberapa faktor seperti dakwaan bahawa kesannya boleh dilihat dalam masa dua minggu misalnya.

Tapi apabila anda mendepani persoalan itu dengan mempunyai visi yang jelas apa yang anda mahu capai sebenarnya dengan mengamalkan jenis diet tersebut - sama ada menurunkan berat badan, tubuh yang lebih tahan lasak dan bertenaga, atau mahu fizikal dan mental yang sihat - ia dapat membantu anda membuat tapisan terhadap segala informasi yang diperolehi.


2. Kumpulkan maklumat

Bila anda sudah jelas, nyata dan terang apa yang anda mahukan, barulah senang untuk anda mencari maklumat berkaitan yang penting yang dapat membantu anda memilih jalan menuju matlamat tersebut. 

Kalau anda bermatlamat untuk menguruskan badan misalnya, anda boleh membuat banyak pembacaan tentang itu dan mendapatkan khidmat nasihat pakar serta testimoni daripada orang yang berjaya mencapainya. Bukan dari satu sumber sahaja, tetapi dari pelbagai medium.


3. Aplikasikan informasi

Apabila anda membayangkan matlamat, pasti juga terfikir apakah matlamat aku ini baik? Bagaimana tanggapan umum terhadapnya? Adakah interpretasi aku seiring dengan kebenaran? Logik kah? Mampukah aku mencapainya?

Masih menggunakan analogi membuat keputusan bijak dalam usaha menguruskan badan. Apabila anda diajukan perkhidmatan atau produk yang boleh menurunkan berat badan dalam masa seminggu misalnya - yang memang menepati matlamat anda - adakah anda akan terjebak untuk mendapatkan perkhidmatan/produk tersebut?

Mesti dilihat secara menyeluruh kewarasannya - betul kah memang boleh kurus dalam seminggu? Apa kandungannya? Logik kah boleh kurus dalam seminggu, berdasarkan segala fakta yang diketahui daripada pembacaan dan perbualan anda dengan doktor? Kalau benar boleh kurus dalam seminggu, apakah kesan sampingannya? Takkan semudah itu boleh kurus?


4. Pertimbangkan implikasinya

Antara meminum produk yang dapat memberikan kesan segera dengan mengamalkan diet sihat yang mungkin mengambil masa yang lebih, mana satu yang lebih baik? Adakah dengan meminum produk itu anda boleh kurus tanpa kesan sampingan kepada buah pinggang atau hati? Mungkinkah diet sihat itu membuatkan anda akan berbelanja lebih untuk makanan berkualiti yang mahal?

Apa yang wajar anda korbankan, dan apa kesan jangka pendek serta jangka panjang daripada setiap pilihan itu.


5. Teroka sudut pandang yang lain

Pada akhirnya, tanya balik diri sendiri mengapa orang ramai mahu kurus dan kenapa anda juga mahu kurus? Adakah kerana mengikut trend? Kerana mahu menjadi perhatian orang? Atau anda mahu tubuh dan minda yang lebih sihat dan cergas?

Ada orang kata rugi bazirkan hidup dengan terlalu mengawal pemakanan, dan hidup perlu diraikan. Ada juga orang kata kesihatan perlu dijaga supaya kita dapat hidup lebih baik dan terus berkhidmat kepada dunia. 

Proses pertimbangan dalam usaha menguruskan badan ini hanyalah sekadar sebuah analogi untuk anda memahami prosesnya dengan lebih mudah (harapnya). Begitulah ia perlu menjadi amalan sehari-harian dalam membuat keputusan dalam segala benda yang hadir dalam hidup kita.

Daripada pembacaan teliti dan pertimbangan yang saksama, buatlah keputusan yang bijak. DAN, bertanggungjawablah atas setiap pilihan anda. Bukan manusia kalau tidak tersilap langkah, asal kita sedar dan kembali mencuba sebaik mungkin sampai jaya.


*Sumber: TED Ed


5 cara perbaiki skil berfikir secara kritikal 5 cara perbaiki skil berfikir secara kritikal Reviewed by Hilal Azmi on November 26, 2020 Rating: 5

No comments