Home Top Ad

6 tempat paling berisiko dijangkiti COVID-19


Pandemik COVID-19 nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda mereda walaupun sudah hampir setahun membadai dunia. Ada negara yang sudah beransur pulih, ada juga yang sedang berdepan dengan gelombang kedua dan ketiga.

Di Malaysia, nampaknya keadaan semakin memburuk dalam kebangkitan gelombang terbaharu. Siapa yang jadi punca, tuhan sahaja yang tahu. Tapi apa yang kita boleh buat adalah menjalankan langkah pencegahan terhadap diri sendiri dahulu, kemudian baru kita ingatkan orang lain.

Sepertimana disarankan, kalau boleh jangan keluar rumah jika tidak ada apa-apa urusan penting. Juga, elakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang ramai orang, khususnya tempat-tempat ini yang mempunyai risiko tinggi penyebaran virus durjana COVID-19:


1. Bar, kelab malam dan restoran


Menurut doktor, ini adalah tempat nombor 1 hotspot jangkitan COVID-19 ketika ini. Tempat ini berisiko tinggi kerana lazimnya ia adalah kawasan tertutup, pengudaraan yang tidak baik dan orang berdiri rapat-rapat dan bercakap dengan kuat untuk mengatasi bunyi muzik yang berdentum. Bercakap dengan kuat menghasilkan 10 kali lebih banyak titisan respiratori, sama seperti batuk. 

Walaupun ada kelab dan bar yang beroperasi mengikut SOP, kerat jari lah kalau semua yang datang patuh dengan memakai topeng dan mengekalkan jarak selamat.


2. Pantai


Pengudaraan di pantai memang jauh lebih baik daripada persekitaran tertutup, tetapi virus durjana ini juga dipercayai berpotensi merebak menerusi air. Lagi pula orang ramai meluangkan masa selama berjam-jam di satu tempat sama, jadi jelas ada risiko di situ.

Kalau degil nak pergi juga, pastikan tak ramai orang. Itu pun tetap kena pakai topeng dan amalkan penjarakan fizikal. Kalau ramai orang, carilah port lain.


3. Rumah-rumah ibadat


Benar, Tuhan itu Maha Berkuasa dan tiada apa yang dapat menandingiNya. Tapi ingatlah bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan daripada tindakan kaum itu sendiri. 

Di masjid atau kuil atau gereja atau tokong, selalunya manusia beribadat secara beramai-ramai dan melagukan irama memuji Tuhan dengan kuat. Dalam tempat tertutup, orang ramai, dan pengunaan sistem pernafasan yang lebih aktif - ini adalah ciri-ciri aktif tempat berisiko.

Kalau ada percaya Tuhan adalah Maha Segalanya, Dia tidak hanya ada di rumah ibadat. Tentang pahala, itu Dia punya kerja.


4. Gimnasium & pusat kesihatan


Ini juga tempat hotspot penyebaran virus. Walaupun gim boleh mengehadkan kemasukan, tetapi anda tidak boleh lari sepenuhnya daripada kesan peluh dan titisan respiratori pada alatan-alatan di sana, walaupun sudah di nyahkuman.

Kalau perlu juga bersenam, pastikan anda memakai topeng dan kerap membasuh tangan.


5. Perkumpulan keluarga dan sahabat


Manusia adalah makhluk sosial dan sukar untuk kita hidup tanpa sentuhan dan interaksi sesama insan, khususnya bersama orang tersayang. Namun ketika ini, pertemuan yang penuh memori indah dikhuatiri akan menjadi tragedi apabila kita tidak mengamalkan langkah pencegahan dengan baik.

Sama juga saranannya, kalau ia mahu dijalankan - pakai topeng, jaga jarak, kerap basih tangan. Kalau rasa-rasa badan tak sihat, jangan gatal-gatal nak jumpa orang. Duduk sahaja di rumah, dan dapatkan rawatan doktor sesegera mungkin.


6. Pusat-pusat penjagaan


Pusat penjagaan kanak-kanak dan orang-orang tua adalah tempat yang sangat bahaya jika berlakunya ada kes positif di sana. Mereka adalah golongan manusia yang rapuh, lemah daya tahan tubuh sekaligus sangat terdedah kepada risiko jangkitan.

Sebagai langkah pencegahan, kebanyakan pusat penjagaan melarang kehadiran pelawat khususnya apabila kes di sekitarnya dalam keadaan membimbangkan. 


Apa pun pilihan dan tindakan kita, ingatlah bahawa kita belum menang. Cuba adaptasi hidup dalam norma baharu dan terus amalkan langkah-langkah yang disarankan. Mudah-mudahan, semua ini akan berlalu segera.

Rancak TV peduli


*Sumber: Reader's Digest


6 tempat paling berisiko dijangkiti COVID-19 6 tempat paling berisiko dijangkiti COVID-19 Reviewed by Hilal Azmi on November 06, 2020 Rating: 5

No comments