Home Top Ad

Apa jadi apabila 'Tuhan' bola sepak mati?


Kepada anda yang percaya bahawa Tuhan itu Sang Pencipta dan Maha Berkuasa Atas Segalanya, kita tahu Dia sentiasa ada. Tapi bagaimana buat mereka yang mengangkat sesuatu makhluk itu sebagai Tuhan?

Tanggal 25 November 2020, seorang legenda bola sepak yang dianggap sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman, Diego Armando Maradona menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung. Seluruh dunia bola sepak berduka, terutamanya buat warga Argentina.

Keunggulan Maradona di atas padang hampir tiada tandingannya, pada era bola sepak tidak dipengaruhi teknologi dan sepenuhnya bersandar pada bakat dan kebijaksanaan. 

Gol solo selepas menggelecek dari tengah padang ketika menentang England di separuh akhir Piala Dunia 1986 selamanya diingati sebagai 'The Goal Of The Century', yang hadir beberapa minit selepas gol pertama penuh kontroversi yang juga selamanya dikenang - The Hand of God.

Selalunya apabila kita mengagumi seseorang pemain, kita akan mencetak namanya pada belakang jersi. Kalau orang putih ada yang sampai mencacah tatu dengan nama atau wajah hero mereka. Tetapi di Argentina, sanjungan mereka mencapai tahap ekstrem sehingga menubuhkan sebuah agama untuk memuja Maradona.

Iglesia Maradoniana, atau dalam bahasa Melayunya - Gereja Maradona - adalah sebuah agama yang diasaskan oleh tiga orang pemuja - Hector Campomar, Alejandro Veron dan Hernan Amez - pada 1998 di kota Rosario.

Asalnya mereka mahu menubuhkan sebuah kumpulan dedikasi yang berkongsi kekaguman pemain yang masyhur dengan nombor 10 itu, seperti sebuah kelab peminat atau seumpamanya. Namun Hernan tidak bersetuju dengan cadangan itu, kerana Maradona adalah sesuatu yang berbeza, jadi mereka perlu lakukan sesuatu yang berbeza.

"Di sini (Argentina), bola sepak adalah agama kami, dan seperti setiap agama, ia mesti ada tuhan," ujar Veron. Pemain itu diagungkan mereka kerana segala yang dilakukannya di atas padang bagaikan magis yang mustahil dilakukan oleh manusia biasa. 

Para 'rahib' Gereja Maradona sedang membawa patung 'Tuhan' mereka dalam satu upacara agama tersebut. - (foto dari video Football as a Religion: The Church of Maradona/VICE)

Pada mulanya tiga sahabat ini menjangkakan akan hanya ada sekitar 30 ke 40 orang sahaja yang berkongsi kepercayaan yang sama ketika ia mula-mula ditubuhkan. Bagaimanapun, ketika ini dianggarkan hampir 200,000 orang dari lebih 130 negara seluruh dunia telah berdaftar di bawah agama ini.

Kalau orang Kristian menyambut Krismas pada 25 Disember, para 'penganut' Gereja Maradona menyambutnya pada 30 Oktober iaitu pada tarikh lahir pemain tersebut. Jika orang Kristian mengenang keajaiban Jesus dihidupkan semula selepas disalib, umat Maradona menyambut 22 Jun setiap tahun - tarikh keajaiban dua gol Maradona semasa menentang England itu - sebagai Hari Easter mereka.

Bagaimana mereka dibaptiskan? - Dengan melakonkan semula gol 'The Hand of God' iaitu menampan bola dengan tangan sepertimana yang dilakukan Maradona pada 1986.

Walaupun Lionel Messi memenangi lebih banyak anugerah, Maradona tetap teragung di hati warga Argentina kerana bukan sahaja kejayaannya menjulang Piala Dunia dengan penuh bergaya, tetapi juga karisma, perwatakan penuh warna dan keghairahannya yang tidak pernah malap terhadap sukan tersebut. Itu yang Messi kurang, walaupun bakat mereka boleh dikatakan hampir sama.

Hari ini, 'Tuhan' para penganut agama Maradona sudah pergi meninggalkan dunia menghadap Tuhan yang sebenar-benarnya. Jadi apabila 'Tuhan' mereka sudah mati, apakah seterusnya?

Para pemuja khususnya mereka yang menganut fahaman Gereja Maradona ketika ini sedang berduka. Tidak mustahil kedukaan itu akan merundung kehidupan mereka yang akhirnya boleh membawa kepada kemurungan dan lebih parah, mencetuskan kecelakaan - kepada orang lain mahu pun diri sendiri. Kerana apa? Kerana mereka meletakkan segala harapan kepada sesuatu yang tidak abadi. 

Manusia hidup kerana cinta dan harapan, dan kita sentiasa meletakkan kedua-duanya kepada sesuatu. Pada manusia, pada harta, pada kuasa, pada kebendaan, dan ini yang membuatkan dunia hari ini huru-hara. Apabila tempat sandaran cinta dan harapan kita itu hilang, kita hilang arah lalu terjerumus ke lembah kehancuran. Walhal Dia itu selalu ada dan tak pernah pergi.

Kerana itu kekaguman dan sanjungan itu ada hadnya, luahan perasaan itu perlu ada batasnya. Ingatlah bahawa segala keajaiban yang dijelmakan oleh seseorang manusia atau makhluk selainnya, mahupun keburukan yang diturunkan ke atas kita, terjadi atas izinNya.


*Sumber: 90Mins, Vice


Apa jadi apabila 'Tuhan' bola sepak mati? Apa jadi apabila 'Tuhan' bola sepak mati? Reviewed by Hilal Azmi on November 26, 2020 Rating: 5

No comments