Home Top Ad

Apa jadi kalau semua pokok di bandar ditebang?


Ini adalah kisah tentang dua kota purba dan pokok-pokok yang menentukan takdir mereka.

Pada sekitar 3000 tahun Sebelum Masihi (SM), Uruk adalah sebuah kota yang populasi penduduknya lebih padat daripada New york hari ini. Uruk adalah kota yang paling pesat ketika tamadun Sumeria berada di era kegemilangannya. (BACA: Sejarah ringkas Sumeria, empayar pertama dunia). Kota sesak ini perlu sentiasa mengembangkan sistem pengairan dan perparitannya selari dengan populasinya yang semakin bertambah. 

Kira-kira 2,500 tahun kemudian, kota Anuradhapura di Sri Lanka berdepan dengan masalah yang sama. Mereka juga terus berkembang, dan seperti kota Uruk, Anuradhapura sangat bergantung kepada rangkaian sistem pengairan dan perparitan.  

Ketika Uruk semakin meluas, para petaninya terpaksa menebang pokok-pokok liar untuk membuka ruang untuk kawasan pertanian. 

Pada mulanya, pengembangan Uruk berjalan dengan baik dan lancar. Namun tanpa pokok untuk menapis bekalan air mereka, sistem pengairan dan perparitan kota itu menjadi semakin tercemar. Air yang tersejat meninggalkan deposit mineral, yang menjadikan tanah terlalu tinggi kandungan garam dan tidak lagi sesuai untuk aktiviti agrikultur.

Bagaimanapun di Anuradhapura, pokok dianggap suci. Kota itu menempatkan cabang dari pohon Bhodi, pohon di mana Siddharta Gautama bertapa di bawahnya dan memperoleh Pencerahan. Orang-orang agama meminta supaya kerja-kerja penebangan diperlahankan, malah mendorong pentadbiran supaya menanam lagi pokok-pokok tambahan di taman-taman bandar. 

Bandar Anuradhapura, Sri Lanka. Walau tak berbangunan tinggi, kehidupannya di sini tetap lebih lestari, sejahtera, sihat dan bahagia berbanding kebanyakan bandar-bandar 'maju' lain di dunia.

Berbeza dengan Uruk, sistem pengairan Anuradhapura dicipta untuk berfungsi bersama dengan hutan di sekelilingnya. Kota mereka berkembang pesat sehingga dua kali ganda daripada populasi Uruk. Sehingga hari ini, Anuradhapura masih menjaga pokok-pokoknya dan ada yang masih hidup sejak dari 2000 tahun yang lalu.

Kita sering memikirkan bahawa alam sekitar adalah tidak berkaitan dengan pembangunan kota, malah ada yang anggap ia harus dihapuskan supaya kemajuan boleh terlaksana. Namun sedarilah dan ketahuilah bahawa pokok memainkan peranan yang sangat penting dalam bandar-bandar yang benar-benar maju.

Pokok bertindak sebagai span semula jadi, menyerap air hujan sebelum melepaskannya kembali ke atmosfera. Uraian akar-akarnya menahan daripada gelinciran tanah, pada masa sama membolehkannya menyimpan air dan menapis toksin. Akar membantu mengelakkan banjir, jadi mengurangkan keperluan untuk membina lagi sistem perparitan baharu dan loji rawatan air. Daun-daun pokok dapat membersihkan udara dengan memerangkap karbon dan segala unsur kotor lain, sekaligus memainkan peranan penting dalam usaha menghentikan perubahan iklim. 

Manusia sebenarnya sudah sekian lama mengetahui hal ini, namun pokok-pokok bukan sahaja penting untuk kelangsungan prasarana sesebuah bandar tetapi memainkan peranan besar dalam kesihatan penduduknya juga.

Kenapa Malaysia tidak banyak taman-taman awam sebegini? Asal ada tanah, dinaikkan bangunan tinggi-tinggi kerana lebih menguntungkan poketnya mereka. Duit banyak-banyak nak pergi mana?

Pada 1870-an, bandar pulau Manhattan di New York memiliki hanya beberapa batang pokok di luar taman-taman awamnya. Tanpa pokok yang menyediakan teduhan, bangunan menyerap sehingga sembilan kali lebih radiasi solar ketika gelombang hangat musim panas sedang memuncak. Bersama keadaan kebersihan ketika itu yang teruk, kehangatan itu membentuk tempat yang sangat sesuai untuk pembiakan pelbagai bakteria berbahaya terutamanya cholera yang membawa penyakit taun.

Di kota Hong Kong moden, binaan pencakar langit dan infrastruktur bawah tanah menyukarkan untuk pokok tumbuh dan hidup. Keadaan ini menyumbang kepada pengudaraan yang sangat berbahaya yang boleh mengundang penyakit pernafasan seperti bronkitis dan kegagalan fungsi paru-paru.

Pokok juga memberikan kesan kepada kesihatan mental kita. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa kehadiran dedaunan hijau dapat meningkatkan daya tumpuan manusia dan meredakan tekanan atau stres. Juga dibuktikan bahawa pesakit di dalam wad hospital berdindingkan batu lebih lambat sembuh daripada mereka yang diletakkan di dalam bilik dengan pemandangan hijau.

Ada beberapa manusia yang menyedari kepentingan ini dan menerapkannya dalam pembinaan penempatan baharu. Antaranya pada 1733, Kolonel James Oglethorpe mengasaskan bandar Savannah, Georgia, AS dengan memastikan tiada kejiranan yang lebih dari dua minit masa berjalan dari sebuah taman. Juga di Denmark selepas Perang Dunia Kedua, bandar Copenhagen mengarahkan semua pembangunan di sepanjang lima laluan terasnya dibuat antara taman. Susun atur sebegini meningkatkan ketahanan bandar itu kepada pencemaran dan bencana alam.

Singapura. Semakin ke depan tetapi tidak melupakan kepentingan hijau dalam menterjemah erti kemajuan.

Tiada bandar di dunia ini hari ini yang sangat komited terhadap pokok-pokok selain jiran kita, Singapura. Sejak 1967, kerajaan mereka telah menanam lebih 1.2 juta pokok termasuklah segala yang tumbuh di taman menegak setinggi 50 meter, Gardens By The Bay. Taman ini lestari dengan dikuasakan tenaga solar and air hujan terkumpul. Tumbuhan meliputi lebih 50% tanah Singapura, lantas mengurangkan keperluan penggunaan pendingin hawa.

Menjelang tahun 2050, dianggarkan lebih 65% populasi dunia akan hidup di kota. Maka, bergantung kepada manusia untuk terus menganggap diri sebagai makhluk yang paling penting atau kita dapat mewujudkan dunia di mana kita dapat hidup bersama antara semua hidupan ciptaanNya.


*Sumber: TED-Ed


Apa jadi kalau semua pokok di bandar ditebang? Apa jadi kalau semua pokok di bandar ditebang? Reviewed by Hilal Azmi on November 11, 2020 Rating: 5

No comments