Home Top Ad

Budak 9 tahun cipta sistem sut angkasa yang memudahkan 'pelaburan'


Bayangkan anda seorang angkasawan yang sedang melayang-layang di angkasa lepas. Tiba-tiba rasa nak terkencing dan sakit perut. 

Nak balik ke kapal atau stesen angkasa, takut tak sempat. Bukannya senang nak bergerak dalam ruang vakum. Terpaksalah tahan. Tapi sampai bila? Apa nak buat??

Mujur, angkasawan-angkasawan masa hadapan mungkin tidak akan lagi berdepan situasi genting itu kerana sejenis sistem khusus dalam sut angkasa  untuk memudahkan 'pelaburan' sudah tercipta, dan ianya dicipta oleh seorang budak lelaki berusia 9 tahun! Bukan itu sahaja, budak ini adalah budak Malaysia!

Ianya lahir apabila Jun tempoh hari, Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan bahawa mereka mahu menghantar kembali manusia ke angkasa pada 2024. Sempena perancangan itu, mereka menganjurkan pertandingan untuk mencipta solusi tandas yang bertepatan dengan ruang mikrograviti cakerawala.

Dahsyat budak Selangor! (foto: Facebook I-Discovery World)

Pertandingan itu dinamakan Lunar Loo Challenge, yang terbahagi kepada dua kategori iaitu dewasa dan kanak-kanak (junior). Selepas menyemak hampir 900 penyertaan daripada 85 buah negara, pelajar darjah tiga dari Selangor bernama Zyson Kang dipilih sebagai juara kategori kanak-kanak.

Sut yang dicipta Zyson membolehkan angkasawan melepaskan hajat terus di dalam sut, dan segala buangan itu akan disedut secara vakum masuk ke ruang simpanan di bahagian but. Sistem dalam sut itu tidak memerlukan bateri, maka sangat ringkas, mudah dan murah untuk menyelesaikan masalah terbesar di angkasa lepas itu.

Zyson membangunkan sut ini bersama jurulatihnya di pusat sains I-Discovery World di Selangor, Chong Soo Sheong. Katanya, Zyson memang seorang budak yang sangat suka membaca dan memiliki sifat ingin tahu yang sangat tinggi serta suka mereka cipta.

Sijil pengiktirafan pencapaian cemerlang daripada NASA kepada Zyson. (foto: Facebook I-Discovery World)

"Dia memang minat sains, terutamanya astronomi," kata Soo Sheong yang membangunkan projek itu pada Jun dan menghantarnya kepada panel penilai pertandingan tersebut di NASA pada Ogos.

Pada 29 Oktober, NASA menjemput Zyson untuk mempersembahkan model ciptaan mereka itu dalam satu webinar, dan ia nyata memikat hati para juri.

Sebenarnya ciptaan anak kecil ini bukan sahaja untuk kegunaan di angkasa, tetapi sangat sesuai untuk kes yang hampir sama apabila seseorang di dalam tugas yang memerlukan mereka memakai sut penuh, seperti petugas barisan hadapan yang merawat para pesakit COVID-19.

Zyson membentangkan model ciptaannya dalam webinar anjuran NASA. (foto: Facebook I-Discovery World)

Bayangkan dalam sut Kelengkapan Pelindungan peribadi (PPE) itu yang berlapis-lapis, macam mana nak buang air kecil dan air besar? Nak membukanya sudahlah susah, dan bukan boleh dibuka sewenang-wenangnya. Tak sempat buka habis, dah...

Mungkin buah fikiran yang sangat bernas daripada anak muda harapan negara ini dapat dimanfaatkan oleh kita sendiri. Takkan idea ini orang luar pakai, kemudian kita beli buatan mereka dengan harga yang mahal? Kan tak berapa nak bijak tu.

Keunggulan Zyson di pentas antarabangsa dengan akal cerdasnya membuktikan sekali lagi bahawa Malaysia ini sebenarnya banyak bakat luar biasa. Tapi itu lah...

Apa pun, setinggi-tinggi tahniah Zyson! Teruskan meneroka dan mencipta!


*Sumber: Mashable.SEA


Budak 9 tahun cipta sistem sut angkasa yang memudahkan 'pelaburan' Budak 9 tahun cipta sistem sut angkasa yang memudahkan 'pelaburan' Reviewed by Hilal Azmi on November 04, 2020 Rating: 5

No comments