Home Top Ad

Cerita asal Pinocchio yang sangat gelap


Tak ramai yang tahu yang Disney ada tabiat mengambil kisah-kisah dongeng rakyat yang gelap dan menukarnya menjadi ceritera indah sebagai 'gula-gula manis' buat kanak-kanak. Banyak, tetapi kali ini saya nak bercerita tentang Pinocchio, si boneka yang bertukar menjadi budak lelaki sebenar.

Filem animasi klasiknya terbitan Disney pada 1940 yang kita tonton itu sudah diubah daripada versi sebenar. Ia berdasarkan siri cerita dalam akhbar dengan tajuk The Adventures of Pinocchio yang ditulis pada 1881 hingga 1882 oleh Carlo Collodi. Watak-wataknya tetap sama - ada Pinocchio, bapanya Gepetto si tukang kayu dan Jimini Cricket si cengkerik bercakap.

Dalam cerita asal, cengkerik itu bernama The Talking Cricket dan muncul dalam Bab 4 di mana kebencian seorang kanak-kanak apabila disuruh memperbetulkan tingkah lakunya diperlihatkan. Memetik cerita tersebut, apabila Talking Cricket meminta Pinocchio supaya pulang ke rumah:

- Pada kata-kata akhir itu, Pinocchio melompat dalam amarah, mengambil sebuah tukul dari bangku, dan melontarnya sekuat hati ke arah Talking Cricket.

Dia tidak terfikir bahawa ia akan mengena. Namun dukacitanya, wahai anak-anak, ia tepat mengenai kepala si Cengkerik itu.

Dengan bunyi "cri-cri-cri" terakhir yang lemah, Cengkerik itu jatuh dari dinding, mati! -

Selepas itu Pinocchio tidak langsung rasa bersalah membunuh Talking Cricket, malah menjawab kepada bapanya Gepetto bahawa ia adalah salah Si Cengkerik dan dia tidak mahu membunuhnya. Bagaimanapun, rasa bersalah kerana tidak mendengar pesanan Si Cengkerik apabila dia terjerumus lagi ke lembah permasalahan.

Satu hari, Pinocchio ditangkap dan mahu dihukum atas kesalahannya. Petikan daripada cerita asal itu berbunyi begini:

- Apabila dia tidak lagi ada kekuatan untuk berdiri, dia duduk pada sebuah bangku kecil dan meletakkan kakinya di atas dapur untuk mengeringkannya. Di situ dia terlena, dan ketika sedang hanyut dalam tidur, kaki kayunya itu mula terbakar. Perlahan-lahan, ia menghitam dan bertukar menjadi abu. -

Begitupun, Gepetto memaafkannya dan memasang kaki baharu untuk budak boneka hidup itu. Namun punya lah tidak bersyukur, Pinocchio kemudian memberitahu orang kampung bahawa Gepetto telah mengasarinya, yang menyebabkan orang tua malang itu dihumban masuk ke penjara.

Ilustrasi pada 1902 oleh Carlo Chiostri dan A. Bongini menggambarkan siri insiden malang yang dihadapi Pinocchio. (foto: Wikipedia)

Kisah Si Cengkerik Bercakap tadi tidak berakhir apabila dia mati. Dia kembali sebagai hantu untuk mengingatkan Pinocchio supaya tidak terjebak dengan segolongan manusia yang percaya menanam duit syiling emas dapat menumbuhkan pokok emas. Dengan tidak meminta maaf kerana membunuh Si Cengkerik itu, Pinocchio sekali lagi mengendahkan pesanannya.

Sudahnya, dia sekali lagi berdepan dengan celaka selepas mendatangkan marah kepada orang-orang yang mengajaknya tanam duit syiling emas itu:

- Dan mereka mengejar saya dan saya lari dan lari, sehingga akhirnya mereka menangkap saya dan mengikat leher saya dengan tali dan menggantung saya pada sebatang pokok, dengan berkata, "Esok kami datang lagi dan kau akan mati dan mulut kau akan ternganga, dan kami akan mengambil kepingan syiling emas yang kau sembunyikan di bawah lidah kau itu." - 

Adegan ini sepatutnya di mana siri itu berakhir. Asalnya, Collodi mahu menyampaikan pesan kepada kanak-kanak bahawa mereka akan berdepan kecelakaan sekiranya tidak mendengar pesanan. Bagaimanapun, editor akhbar tersebut mahu Collodi menyambung ceritanya - dengan pengakhiran yang lebih manis - dan di sini di mana munculnya pari-pari biru itu untuk menyelamatkan Pinocchio.

Pada akhirnya, si budak boneka itu sedar akan kesilapannya dan nekad mahu meluangkan hidupnya dengan menjaga bapanya yang semakin menua.

- Bapa dan anak sama-sama merenung ke siling, dan pada alang duduk Si Cengkerik Bercakap.

"Oh Cengkerik yang ku kasihi," kata Pinocchio sopan.

"Oh, sekarang kamu panggil aku 'Cengkerik yang ku kasihi', tapi kamu ingat tak bila kamu lempar tukul itu padaku dan membunuhku?"

"Betul, Cengkerik. Sekarang ambillah tukul dan lemparkan padaku. Aku layak menerimanya! Tapi janganlah kamu apa-apakan bapaku yang tua."

"Aku tidak akan mengapa-apakan kalian berdua bapa dan anak. Aku hanya mahu mengingatkanmu tentang helah yang kau buat sejak sekian lama dahulu, untuk mengajarmu bahawa dalam dunia ini kita mesti berhati baik dan berbudi kepada orang, jika kita mahu kebaikan dan budi ada pada hari-hari duka kita."

"Benar kata-katamu itu, Sang Cengkerik, sungguh benar, dan aku akan ingat segala yang telah kau ajarkan padaku..." - 

Begitulah al-kisahnya. Lebih hampir dengan realiti kan? Yang Disney paparkan itu semuanya gula-gula belaka.


*Sumber: Today I Found Out, Wikipedia


Cerita asal Pinocchio yang sangat gelap Cerita asal Pinocchio yang sangat gelap Reviewed by Hilal Azmi on November 18, 2020 Rating: 5

No comments