Home Top Ad

Jangan sesekali lakukan perkara ini kepada kucing anda!


Memelihara haiwan bukanlah hal yang ringan sebenarnya. Kita berurusan dengan makhluk bernyawa, maka mereka juga ciptaan tuhan yang punya perasaan dan perlu dikendali dengan ihsan.

Kucing adalah haiwan peliharaan paling popular dan disukai oleh hampir setiap orang (ada juga orang yang tak suka kucing). Bagaimanapun, tidak semua orang yang memelihara kucing tahu macam mana untuk menjaga mereka sebaiknya. 

Seperti kita, kucing juga tidak boleh dilayan sembarangan. Nak menjaga nyawa selain diri sendiri juga perlu ada ilmu. Ini saya kongsikan beberapa nasihat daripada pakar veterinar tentang bagaimana untuk menjaga hubungan dengan kucing peliharaan kita.


1. Jangan dipaksa perhatiannya

Menurut doktor haiwan, jangan paksa kucing bergurau dengan kita kalau dia tak ada 'mood'. Walaupun kucing memang suka perhatian daripada manusia, mereka tidak semanja anjing. Ada waktu-waktunya di mana si kucing suka bersendiri.

Maka kita sebagai manusia harus faham ini supaya hubungan antara kalian pemilik kucing dengan kucing anda lebih erat.


2. Jangan suka-suka bawa balik sembarangan tumbuhan 

Ada tumbuhan yang boleh meracun si kucing, walaupun pada kita tak ada apa-apa. Bunga lily contohnya, sangat berbahaya kepada kucing dan boleh menyebabkan pundi kencing mereka rosak malah kematian jika dimakan. Punya bahaya sehinggakan air siraman di dalam pasu pun boleh menyebabkan mereka sengsara jika diminum.

Jadi, periksa dahulu kesesuaian pokok-pokok yang anda mahu bawa pulang atau tanam di rumah.



3. Jangan biarkan kucing bermain dengan benang/tali

Main punya main, sekali termakan. Apabila dimakan, ia mendatangkan kerosakan kepada usus kucing anda. Sudahnya pembedahan perlu dibuat untuk mengeluarkan bebenang tersebut dan usus yang telah rosak itu.

Macam budak-budak juga, tak semua benda boleh dibuat main.

4. Jangan diajar main dengan tangan

Kucing lebih-lebih lagi yang muda memang suka mengejar benda-benda yang bergerak. Tetapi ketika bermain dengannya, jangan sesekali anda menggunakan tangan sebagai umpan kerana ia akan mendatangkan bahaya kepada diri anda.

Ini kerana kucing sudah azalinya bersifat pemangsa, dan perlakuan mengejar benda bergerak itu melatih keupayaan pemburuannya. Silap hari bulan, boleh koyak tangan anda.


5. Jangan dihukum terus kucing anda, walaupun dengan jeritan

Kucing ini haiwan yang halus jiwanya, maka cara berhubung dengannya juga perlu dengan kehalusan.

Kata pakar, kucing tidak boleh dihukum terus secara fizikal mahupun secara lisan. Tidak macam anjing yang boleh diajar dengan tepukan, hentakan kaki, atau suara. Kucing sangat sensitif dengan bunyi bising, dan mereka tidak suka. Mereka akan menganggap orang yang meninggikan suara kepadanya sebagai ancaman, lalu akan menjauhinya. Apatah lagi yang mengasarinya secara fizikal.

Kalau kucing anda kerap memanjat meja misalnya, ia adalah perangai mereka yang suka melihat persekitaran dari tempat tinggi yang tidak boleh diubah. Jadi sediakan tempat lain yang sesuai supaya kucing dapat naik. Kalau kucing suka mencakar perabot, belikan tempat khas untuk mereka bercakaran.

Wujudkan persekitaran di mana mereka boleh melampiaskan perlakuan semula jadi mereka tanpa menjejaskan barang-barang kita.

6. Jangan diberi makanan kering sahaja

Kucing bukanlah sejenis haiwan yang kuat minum. Kalau seseekor kucing itu dilihat minum dengan banyak pun, ia sebenarnya tidak dapat menampung keperluan hidrasi tubuh mereka. Ini kerana kucing berupaya menyesuaikan diri untuk hidup di tempat kering dan bergantung kepada air di dalam makanan yang dimakan.

Maka, dalam sehari mesti ada sekali kucing diberi makanan basah. Ada yang takut beri makanan basah dengan kerap kerana katanya ia tinggi kalori dan boleh menyebabkan kucing gemuk. Tapi sebenarnya makanan basah lebih rendah kalori berbanding makanan kering dalam jumlah yang sama kerana kandungan airnya.

Hal pemakanan perlu diberi penekanan kerana dehidrasi kronik boleh mendatangkan kerapuhan gigi, batu karang dan jangkitan saluran kencing si manja.


7. Jangan tuang makanan terlalu banyak ke bekas makanannya

Kadang-kadang para pemilik kucing gemar melakukannya kerana senang. Tetapi ketahuilah perbuatan 'free feeding' ini akan mendorong kucing anda untuk makan sesuka hati dan akhirnya menjadi obes.

Beri makan ikut masa dan jumlah yang diperlukan. Disiplin makan kena ada walaupun kucing.

8. Jangan diberi minum susu

Jangan terpedaya dengan apa yang sering dilihat dalam filem. Kebanyakan kucing sebenarnya alah susu atau 'lactose intolerance', selain daripada susu ibunya sendiri. Susu lembu atau susu kotak yang diberi hanya akan mendatangkan masalah perut kepada si kucing.

Beri sahaja air jernih, tak payah susah-susah.

9. Jangan beri kucing tulang untuk dikunyah

Ini juga bertentangan dengan apa yang kita lihat dalam kartun dan filem. Sebenarnya, adalah tidak elok untuk memberi kucing atau anjing makan tulang, walaupun mereka makan tulang tersebut apabila diberikan.

Serpihan tulang yang tajam boleh tersangkut dan merosakkan tekak, salur makan, perut dan usus haiwan peliharaan kita. Jadi sekali lagi diingatkan, jangan banyak sangat tengok TV.


10. Jangan dicukur bulu kucing, kecuali atas nasihat doktor

Ini satu lagi trend yang sebenarnya tidak baik untuk si manja. Memang potongan macam singa itu comel, tetapi ketahuilah bahawa sebenarnya kucing anda sedang terseksa.

Bulu kucing berperanan dalam melaraskan suhu badan mereka mengikut persekitarannya. Kalau mereka tak dapat berbuat demikian, itu yang datang sakit. Ada sebab tuhan jadikan bulu mereka panjang atau pendek.

Melainkan atas nasihat doktor atas sebab-sebab perubatan, barulah dibolehkan cukur. Jangan memandai.

11. Jangan suka-suka beri sembarangan ubat

Bila kucing kita selsema, jangan diberi ubat selsema kita. Silap-silap boleh padam terus. Contohnya acitaminophen, bahan aktif dalam ubat penahan sakit manusia, adalah sangat berbahaya untuk kucing.

Sistem tubuh kucing dengan kita juga hidupan lain adalah berbeza, jadi kalau kucing anda sakit bawalah terus berjumpa dengan veterinar.


12. Jangan ditinggalkan kucing anda bersendirian untuk tempoh lebih daripada 24 jam

Kebanyakan kucing yang dijual adalah lahir dan dibesarkan dalam jagaan, jadi mereka manja dan tidak sekeras kucing jalanan. Seperti juga manusia, kucing adalah makhluk sosial yang tidak boleh berkeseorangan untuk tempoh yang lama.

Jadi kalau anda terpaksa tinggalkan kucing anda, letakkan mereka di bawah penjagaan yang dipercayai supaya si manja tidak kesunyian.

13. Jangan diendahkan perubahan perlakuan kucing anda

Kucing ini tak boleh bercakap, jadi kita sebagai manusia harus membaca sifat dan gerak-geri mereka. Perubahan perlakuan menandakan ada sesuatu yang tidak kena, seperti masalah kesihatan lazimnya.

Kalau tiba-tiba kucing anda hilang selera makan, enggan bermain, atau semakin agresif misalnya, segeralah bawa berjumpa doktor.


Leceh kan? Jadi kalau mahu membela kucing, jadilah tuan yang bertanggungjawab dan berilmu. Sesungguhnya, memelihara kucing itu membentuk peribadi kita juga sebagai manusia.


*Sumber: Insider


Jangan sesekali lakukan perkara ini kepada kucing anda! Jangan sesekali lakukan perkara ini kepada kucing anda! Reviewed by Hilal Azmi on November 24, 2020 Rating: 5

No comments