Home Top Ad

Legenda Unsinkable Sam, kucing yang terselamat daripada 3 kapal karam ketika Perang Dunia Kedua


Adalah satu kebiasaan ketika perang, para tentera ditemani haiwan peliharaan sebagai salah satu pemangkin moral mereka ketika berjuang. Daripada kesemuanya, ada seekor kucing yang kisahnya cukup epik. 

Menurut legenda, kucing yang digelar 'Unsinkable Sam' terselamat daripada tiga insiden kapal karam ketika Perang Dunia Kedua. 

Ceritanya bermula ketika angkatan tentera laut Nazi, Kreigsmarine melancarkan kapal perang Bismarck pada 1939 beberapa bulan sebelum Jerman menakluk Poland dan mencetuskan Perang Dunia Kedua. Pada 1941, kapal tersebut sampai ke wilayah utara Lautan Atlantik dalam percubaan mensabotaj rombongan membawa bekalan tentera Bersekutu antara Kanada dengan United Kingdom.

Kapal perang Nazi, Bismarck. (Foto: Wikipedia)

Di atas kapal Bismarck, ada kira-kira 2,200 kru dan dikatakan antaranya termasuk seekor kucing bercorak hitam dan putih. Selepas tiga hari bertempur menentang armada Tentera Laut British, Bismarck akhirnya musnah dan karam pada 27 Mei 1941. Hanya 114 anak kapal terselamat, dan antaranya kucing bercorak hitam dan putih itu.

Kemudian, datang sebuah kapal perang British, HMS Cossack untuk menyelamatkan mereka sebagai tawanan perang. Dikatakan, salah seorang kru kapal tersebut ternampak kucing tersebut menanti nasib seterusnya terapung di atas sebuah papan. Haiwan itu diambil naik ke kapal Cossack lalu diberi nama Oskar.

Kapal perang British, HMS Cossack. (Foto: Wikipedia)

Namun beberapa bulan kemudian, Cossack dibedil peluru berpandu Jerman dan tenggelam. Sekali lagi, Oskar diselamatkan oleh kru kapal pengangkut pesawat HMS Ark Royal. Di atas kapal inilah dikatakan Oskar mendapat namanya 'The Unsinkable Sam'.

Benarlah seperti namanya, sama ada pembawa tuah atau sial, Sam terselamat sekali lagi. Kali ini apabila Ark Royal dibedil torpedo dan tenggelam pada 14 November 1941, kira-kira sebulan selepas kapal tersebut menyambut Oskar/Sam. Kucing itu seterusnya diselamatkan sebuah lagi kapal Tentera Laut British, HMS Legion.

HMS Ark Royal yang musnah dibedil. Di sebelah kirinya adalah HMS Legion. (Foto: Wikipedia)

Menurut Muzium Diraja Britain Greenwich, nasib Sam berakhir di daratan apabila dia ditempatkan di pejabat Gabenor Gibraltar. Dia kemudian diambil dan dijaga oleh seorang pelaut yang tinggal di Belfast, di mana tempat dipercayai ia menghabiskan sisa hidupnya sebelum meninggal dunia pada 1955.

Sejauh mana kebenarannya atau sekadar sebuah kisah dongeng yang diceritakan dari mulut ke mulut?

Walaupun disebut oleh Muzium Diraja Britain Greenwich, kisahnya banyak kelompongan yang menyebabkan kesahihannya diragui. Berdasarkan catatan kapal Bismarck dan maklumat daripada para anak kapalnya yang terselamat, tiada kucing dilihat di atas kapal tersebut.

Selain itu, isu berbangkit adalah rupa parasnya. Ada dua imej didakwa menunjukkan Oskar/Sam - walaupun kedua-duanya gambar kucing hitam putih tetapi coraknya berbeza. Satu adalah lukisan pastel oleh seorang pelukis tidak dikenali memaparkan kucing itu duduk di atas papan yang terapung di lautan.

Satu lagi gambar seekor kucing yang memakai kolar dengan tag tertulis "HMS Amethyst 1949". Bagaimanapun ini dipercayai portret milik seekor lagi kucing zaman perang bernama Simon yang menaiki kapal Amethyst itu. 

Satu penjelasan yang boleh dibuat adalah kucing itu berkemungkinan besar adalah kucing jalanan yang tidak sengaja naik ke kapal Bismarck, dan bukannya maskot rasmi kapal tersebut yang pasti akan didaftarkan secara rasmi kehadirannya. Atau, para kru yang terselamat itu hilang ingatan dek trauma kapal mereka dibedil bom.

Dan lukisan kucing di atas papan itu, mungkin dibuat berdasarkan cerita yang didengari, atau si pelukis itu mungkin adalah antara kru yang melihat sendiri kucing tersebut terapung di lautan.

Kalau pun betul memang wujud kucing itu, macam mana dia boleh terselamat dan kekal hidup? Tuhan saja yang tahu.


*Sumber: All Thats Interesting


Legenda Unsinkable Sam, kucing yang terselamat daripada 3 kapal karam ketika Perang Dunia Kedua Legenda Unsinkable Sam, kucing yang terselamat daripada 3 kapal karam ketika Perang Dunia Kedua Reviewed by Hilal Azmi on November 30, 2020 Rating: 5

No comments