Home Top Ad

Mansa Musa, (mungkin) manusia paling kaya dalam sejarah


Musa I, atau lebih dikenali dengan nama Mansa Musa (Mansa bermaksud 'Penakluk') adalah maharaja Empayar Mali dari tahun 1312 hingga 1337 Masihi. Ketika pemerintahannya, Mali adalah antara kerajaan yang paling kaya di dunia dan beliau sendiri merupakan antara manusia yang terkaya ketika itu (mungkin terkaya dalam sejarah).

Empayar Mali merangkumi wilayah Mali, Senegal, Gambia, Guinea, Niger, Nigeria, Chad, Maurituana dan Burkina Faso hari ini. Di bawah pentadbiran Musa, kota Timbuktu dan Gao dibangunkan menjadi pusat budaya dan ilmu yang penting dan canggih bagi dunia Islam dan Afrika.

Musa naik takhta apabila maharaja sebelumnya, Abu Bakr II hilang tanpa berita selepas pergi belayar meneroka Laut Atlantik. Musa mewarisi kerajaan yang sudah kaya, tetapi beliau membangunkan lagi Mali menjadi negara terkaya di benua Afrika sebagai pengeluar utama emas dan garam selain gading gajah.

Nama Musa dan kerajaan Mali tidak berapa diketahui di luar Afrika Barat ketika itu, namun perjalanannya untuk menunaikan haji di Mekah pada 1324 memperkenalkan keunggulan kerajaan kaya raya ini kepada dunia. 

Menurut catatan sejarawan, dalam perjalanan itu Musa diiringi 60,000 orang termasuk 12,000 orang hambanya yang mana semuanya memakai kain broked dan sutera Parsi. Sang Maharaja menunggang sendiri kudanya yang didahului oleh 500 orang hamba, setiap seorangnya membawa tongkat bertatahkan emas. Bukan itu sahaja, malah rombongan itu turut bersama 80 ekor untuk yang mana setiap seekor membawa 136 kilogram emas.

Jadi agak-agak berapa besar kekayaan Mansa Musa dan Kerajaan Mali ini? Itu baru yang dibawa ke Mekah, yang disimpan di dalam perbendaharaan mereka entah berapa tan emas lagi agaknya. Punyalah tak tergambar kekayaannya.

Kota Timbuktu menurut gambaran pelukis Heinrich Barth pada 1858. - (gambar: National Geographic)

Rombongan Empayar Mali diketuai Mansa Musa itu singgah ke beberapa negara yang dilalui sepanjang perjalanan ke Mekah itu, termasuk di Kaherah, Mesir yang pada ketika itu dipimpin oleh Sultan Kerajaan Mamluk bernama Al-Malik Al-Nasir. Di sana, Musa menyumbangkan sebahagian daripada emas-emas yang dibawanya sehingga menyebabkan kejatuhan harga emas selama 12 tahun di wilayah itu. Punya banyak disedekahnya.

Kisah kekayaan yang sungguh dahsyat ini sampai ke Eropah, sehingga kartografer Sepanyol melukis Afrika Barat di dalam Atlas Catalan pada 1375 dengan imej Mansa Musa di atas takhta sambil memegang jongkong emas di satu tangan dan tongkat emas di satu tangan lagi. Selepas penerbitan atlas itu, Mansa Musa dikenali dunia sebagai manusia paling kaya yang pernah ada di dunia.

Sekembalinya beliau dari Mekah, Musa menggerakkan pembangunan di kerajaannya dengan membina masjid dan bangunan awam yang besar-besar di Gao dan Timbuktu dalam menjadikannya pusat universiti Islam utama pada kurun ke-14. Musa membawa masuk arkitek, jurutera dan cendekia dari serata dunia Islam untuk mengembangkan reputasi Empayar Mali.

Wilayah kekuasaan Empayar Mali ketika kemangkatan Mansa Musa. - (foto: Wikipedia)

Beliau dipercayai mati pada 1337 dan legasinya diteruskan oleh anaknya. Sehingga hari ini, Mansa Musa simbol kekayaan bumi Afrika dan dikenang sebagai pemimpin yang meletakkan negara bangsa itu dan Islam di peta dunia - walaupun pengulas sejarah hari ini seperti majalah Times tidak cuba menafikannya kerana kata mereka tiada cara yang tepat untuk mengukur tahap kekayaan Mansa Musa dan Kerajaan Mali.

Eleh, dia saja lah yang hebat.


*Sumber: National Geographic, Britannica, Wikipedia


Mansa Musa, (mungkin) manusia paling kaya dalam sejarah Mansa Musa, (mungkin) manusia paling kaya dalam sejarah Reviewed by Hilal Azmi on November 25, 2020 Rating: 5

No comments