Home Top Ad

POV: Kenapa tak perlu darurat?



Pada 23, 24 dan 25 Oktober 2020, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan istilah darurat yang kononnya akan diadakan di negara ini.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober, Yang di-Pertuan Agong menerusi satu kenyataan menitahkan bahawa tiada keperluan mengadakan darurat di Malaysia.


Titah Baginda itu sekali gus menjawab segala persoalan dalam kalangan ahli-ahli politik, pakar-pakar bertauliah dan warganet di alam maya.

"Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia," tegas titah Baginda pada Ahad lalu.

Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.


Kata kunci dalam titah Yang di-Pertuan Agong itu adalah 'tiada keperluan'. Kenapa tak perlu? Ini penjelasan Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof madya Dr Hamidin Abd Hamid.

"Paling penting adalah kerajaan meyakinkan pihak pembangkang atau ahli-ahli Parlimen bahawa kesepakatan suara itu penting dalam memastikan bajet diluluskan.

"Polisi lebih jelas boleh diambil untuk menangani persoalan dan masalah COVID-19 sebab pandemik ini tidak mengenal erti parti, daerah, negeri dan sesiapa sahaja," katanya.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid

Untuk maklumat, pelaksanaan darurat sering berlaku di luar negara antara di Thailand, Sepanyol, Okinawa di Jepun dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, tinjauan dalam kalangan orang ramai juga akur dengan titah Baginda tersebut.

Pengurus insurans, Prabu berkata, rakyat perlu ikut dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Titah Baginda itu pastinya lebih berkesan dan rakyat tidak perlu bimbang," katanya.

Bagi peniaga, Ramli Kadir pula, pelaksanaan darurat pastinya akan menyebabkan kesan yang buruk terhadap perniagaannya.

"Susah kami hendak mencari makan, sekarang tiada darurat pun susah nak berniaga," katanya.

Jadi, marilah kita menjaga negara tercinta ini dengan sebaiknya. 

Mana yang kurang, kita cuba cukupkan manakala yang lompong kita cuba tampal serba sedikit.

Ikuti dan kongsikan laporan penuh menerusi video yang turut dimuat naik dalam laporan berita ini.


POV: Kenapa tak perlu darurat? POV: Kenapa tak perlu darurat? Reviewed by Hilal Azmi on November 01, 2020 Rating: 5

No comments