Home Top Ad

RBIK : Cita-cita pertama Alyssa Dezek, Jestinna Kuan 'The Pharmacist Influencer'


Sejujurnya sebelum ini saya tidak kenal dua orang tetamu saya untuk RBIK minggu ini. Mungkin kerana kecenderungan saya yang berbeza tidak membawa kepada kandungan-kandungan yang mereka hasilkan.

Namun untuk memiliki lebih daripada 3 juta 'subscriber' di Youtube adalah sesuatu yang sangat luar biasa untuk seorang gadis kecil berusia 12 tahun. Alyssa Dezek merupakan artis yang paling banyak 'subscriber' di Malaysia dan angka itu terus meningkat saban hari, lebih-lebih lagi ketika musim pandemik ini di mana lebih banyak masa diluangkan menghadap skrin peranti masing-masing.

Alyssa memulakan kariernya di Youtube dengan membuat nyanyian semula atau 'cover' lagu-lagu popular Malaysia dan Indonesia kira-kira empat tahun lepas. Sejak itu, gadis cilik dari Kuala Lumpur ini terus mencuri tumpuan dengan suara comelnya, terutamanya apabila hadir lagu 'single' pertama berjudul "Lagu Untuk Kamu" yang ketika ini sudah melebihi 100 juta tontonan. Dahsyat.

Terbaharu, buat pertama kalinya Alyssa 'rapping' dalam lagu "Makin' Me Feel" versi bahasa Melayu yang dinyanyikan oleh Jestinna Kuan, seorang lagi penyanyi baharu yang bernaung di bawah syarikat sama, Xeno Entertainment. 

Jestinna terlebih dahulu terkenal di media sosial sebagai 'influencer', juga membuat 'cover' lagu-lagu popular dalam bahasa Cina dan Inggeris serta rutin tarian lagu-lagu K-Pop sebelum dilamar Xeno. Lagu "Makin' Me Feel" bersama Alyssa ini adalah kali pertama gadis kelahiran Pulau Pinang ini menyanyi dalam bahasa Melayu.

Di sebalik aksi ligat di Youtube dan Instagramnya, Jestinna sebenarnya merupakan seorang ahli farmasi bertauliah. Katanya, menjadi 'influencer' dan penyanyi hanyalah sekadar suka-suka dan kerja sampingan untuk dia melempiaskan minatnya terhadap dunia kecantikan, travel dan seni hiburan.

Sempena pelancaran MV terbaharu hasil kolaborasi mereka, saya mewawancara Alyssa dan Jestinna untuk mengenali sendiri dua gadis sensasi Youtube masa kini ini. Tentang karier Jestinna sebagai penjual ubat, Alyssa yang bergelut untuk siapkan kerja sekolah yang menimbun, serta macam-macam lagi diborakkan. 

Kedua-duanya memang menawan! 



RBIK : Cita-cita pertama Alyssa Dezek, Jestinna Kuan 'The Pharmacist Influencer' RBIK : Cita-cita pertama Alyssa Dezek, Jestinna Kuan 'The Pharmacist Influencer' Reviewed by Hilal Azmi on November 02, 2020 Rating: 5

No comments