Home Top Ad

RBIK : Perihal hantu, Melayu dan Tuhan di mata John Bear


Saya mengenali John Bear sebagai Muhammad Izzul Faiz Idrus, seorang senior ketika menuntut di sekolah Komunikasi di UiTM dahulu. Kini, dia terkenal sebagai sang teraju vokalis utama kumpulan muzik Budak Nakal Hujung Simpang dan juga, pakar hantu.

Di bawah saluran Youtube ML Studios, John berkongsi cerita tentang makhluk ghaib dan alam mistik yang nyata mendapat banyak tontonan khalayak hari ini. Siapa tak suka cerita hantu kan? Lebih-lebih lagi kita Melayu. Adakah John melihat ketaksuban orang Melayu terhadap alam mistik ini sebagai lubuk untuk dia peroleh kemasyhuran? Tidak, kerana John ada misi.

Hasratnya adalah untuk memberikan 'kelas mari mengenal hantu' sebagai ilmu supaya orang kita kenal dengan benda yang selama ini menghantui hidup sehingga lupa firman Tuhan yang menyatakan "bahawasanya Aku ciptakan Adam sebaik-baik kejadian."

Cerita hantu sangat berkait rapat sebenarnya dengan alam Melayu. Kerana bangsa Melayu sebenarnya sejenis manusia yang hubungannya dengan alam ghaib adalah sangat akrab. Pengalaman spiritual Melayu berlandaskan rohani murni yang mengesakan sekalian alam, yakni Tuhan. Tiada ada yang perlu ditakutkan selain Dia.

John mendalami asal usulnya dalam perjalanan mengenal siapa dirinya sebagai seorang manusia Melayu. Malah, sebenarnya sudah memulakan pengajian PhD dalam pengkhususan tentang komunikasi visual yang dibawa dalam persenjataan keris. Kerana keris ini bukan sekadar senjata, tetapi juga bertindak sebagai kad pengenalan selain tanjak yang dikenakan seseorang. Macam-macam lagi tentang keris ini yang cuba John dalami untuk mencari rahsiaNya.

Begitulah sifat Melayu yang begitu halus dalam cara berhubung dan mengenal tanpa perlu bersuara. Nilai-nilai Melayu mengajarkan kehalusan dalam setiap laku, kerana halus itu sifat Tuhan. Maka sejahteralah hidup di dunia dan di akhirat apabila seorang Melayu itu berada pada landasan Melayunya yang cukup Islam.

Kata John, menegakkan Melayu itu jauh sama sekali satu tindakan yang rasis. Di mana salahnya seorang Melayu mencari makna kehidupannya menegakkan nilai-nilai Melayu untuk diamalkan bersama? Tiada satu nilai Melayu pun yang mengajak memandang kecil orang lain dan menganggap dirinya lebih besar. 

John berjuang dalam caranya tersendiri dengan bakat dikurnia tuhan. Dia menyampaikan mesej kebenaran di pentas dalam bait-bait lagu untuk dihadam para pendengar. Selepas album sulung Bumantara, kata John kini mereka sebenarnya sudah mempunyai cukup bahan untuk membentuk album baharu. Begitupun, pandemik mengehadkan perancangan mereka selain menanti dana.

Tapi dia percaya, semua sudah siap diatur dalam perancanganNya.


RBIK : Perihal hantu, Melayu dan Tuhan di mata John Bear RBIK : Perihal hantu, Melayu dan Tuhan di mata John Bear Reviewed by Hilal Azmi on November 17, 2020 Rating: 5

No comments