Home Top Ad

Sakit kepala? Ini 6 cara mengubatinya dengan berkesan


Tahun mencabar 2020 ini memang menguji fizikal dan mental kita. Apabila sudah sampai hadnya, badan dan minda kita boleh jadi sakit dan ketika itu tandanya kita perlu berehat seketika.

Walaupun pergerakan fizikal kita terbatas ketika ini, mental kita dikerah untuk bekerja lebih dalam mengadaptasi kepada norma baharu. Ada orang ok, ada orang mudah sakit. Masing-masing berbeza kekuatan dan ketahanan, jadi jangan bandingkan diri dengan orang lain.

Bagaimanapun setiap dari kita pasti tanpa diduga akan diserang sakit kepala. Sakit kepala ini ada bermacam-macam jenis. Antaranya:

- Sakit kepala tekanan : Rasa ketat pada bahagian dari, selalunya disebabkan stres.
- Sakit kepala migrain : Rasa berdenyut-denyut pada satu tempat di kepala, yang dikuatkan lagi dengan rangsangan luar seperti cahaya, bunyi dan bau-bauan kuat.
- Sakit kepala kluster : Selalunya rasa sakit yang kuat di belakang mata, lebih kurang macam migrain.
- Sakit kepala sinus : Rasa sakit di sekitar dahi, pipi dan mata. Ini tandanya mungkin anda ada keradangan atau jangkitan sinus.

Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? Tidak, dan saya pasti begitu juga anda. Jadi, ini beberapa panduan rawatan sakit kepala dengan penawar mudah yang tidak memerlukan kos yang tinggi.


1. Gunakan kompres sejuk/panas

Untuk sakit kepala yang bermula pada satu tempat seperti sakit kepala migrain, letakkan kompres sejuk di tempat itu. Suhu sejuk dapat memberikan kesan kebas dengan mengecutkan salur darah, sekaligus dapat meredakan kesakitan.

Anda boleh buat sendiri kompres sejuk dengan letakkan tuala lembap ke dalam peti beku selama kira-kira 10 minit. Pakai pek ais pun boleh.

Sementara kehangatan sesuai untuk meredakan sakit kepala stres, memandangkan ia disebabkan peredaran darah yang tidak lancar di bahagian terbabit yang mendatangkan sakit. Jadi, pek hangat dapat melonggarkan ketegangan otot dan urat yang terlibat.

Tuamkan kain dengan air suam, kemudian letakkan pada tengkuk dan bahu sehingga tuala hilang hangatnya. Kalau tak cukup, ulang lagi.



2. Cuba akupresur

Orang putih kata acupressure. Dia macam akupunktur tapi tak cucuk masuk kulit. Macam juga urut, tapi tidak pakai minyak. Akupresur ini caranya adalah mengenakan tekanan jitu pada tempat terlibat selama satu atau dua minit pada satu-satu masa.

Tempat paling sesuai untuk dikenakan akupresur ini adalah pada otot di tengkuk dan pangkal tengkorak kita, serta otot di sekitarnya yang selalu tegang akibat kerja keras. Ada satu lagi cara yang berkesan, iaitu dengan menekan otot di bahagian antara pangkal ibu jari dengan jari telunjuk. Dalam ilmu akupunktur dan akupresur, titik itu dinamakan Hegu.


Tekan pada titik itu, kuat tapi jangan kuat sangat sampai menyakitkan diri, dan gerakkan ibu jari yang menekan itu dalam bentuk bulatan perlahan-lahan. Kemudian tukar tangan. Ulang.


3. Amalkan teknik relaksasi

Solat, meditasi, yoga dan senaman pernafasan adalah sangat membantu dalam merawat sakit kepala, terutamanya sakit kepala kluster. Kerana kebanyakan sakit kepala ini adalah berakar daripada tekanan atau stres, jadi perlu rehatkan minda dan tubuh daripada terus bekerja.

Tenang, pejam mata, duduk tegak atau baring lurus, tarik nafas dalam-dalam, lepaskan perlahan-lahan. Buat regangan untuk longgarkan ketegangan otot. Buat dalam 10-15 minit. 



4. Perbaiki diet anda

Seperti yang telah diperkatakan buat sekian kalinya, pemakanan adalah faktor utama kesihatan tubuh kita. Jadi jaga apa yang anda makan untuk elak mengundang pelbagai penyakit.

Makanan yang tinggi kandungan asid amino jenis phenylalanine dan tyramine dapat meningkatkan kekerapan mengalami migrain kepada sesetengah orang. Phenylalanine selalunya terkandung dalam pemanis buatan, monosodium glutamate (MSG) dan makanan terproses seperti patty burger dan hot dog. Sementara tyramine ada dalam makanan ditapai atau disalai, minuman beralkohol, dan keju tua yang kuat seperti parmesan dan keju biru.

Bukan tak boleh makan, tapi kawal. Doktor sarankan makan tiga hingga empat hidangan kecil sehari berbanding dua ke tiga hidangan besar. Makanan yang tinggi protein dan serat fiber seperti badam dan ceri juga dapat membantu meredakan sakit kepala.



5. Kekal terhidrat

Bila air tidak cukup, salur darah akan mengecut. Bila ia mengecut, pengaliran darah ke otak tidak lancar. Bila tidak lancar, itu yang datangnya sakit. Maka, minumlah air secukupnya. Macam mana? Ini dia: Macam mana nak minum 8 gelas air sehari.

Ramai cenderung menghirup kopi untuk kekal segar semasa bekerja. Namun ketahuilah bahawa kafein dalam kopi itu membawa kepada dehidrasi, dan tentu sekali mengundang sakit kepala jika diminum terlalu banyak. Jadi, imbangkan pengambilannya.



6. Ambil vitamin atau suplemen

Ada kalanya pemakanan kita sehari-harian tidak membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh secukupnya. Maka perlu disokong dengan pengambilan suplemen.

Untuk memastikan kelancaran pengaliran darah, elak keradangan, membekalkan lebih oksigen kepada tisu-tisu tubuh, dan melegakan otot, doktor menyarankan supaya kita mengambil suplemen yang membekalkan magnesium, riboflavin, coenzim Q10, chamomile dan feverfew.


Seperti biasa, apabil semua saranan ini sudah diamalkan tetapi sakit kepala tetap merundung hidup anda, pergilah segera dapatkan rawatan doktor sesegera mungkin.


*Sumber: Insider


Sakit kepala? Ini 6 cara mengubatinya dengan berkesan Sakit kepala? Ini 6 cara mengubatinya dengan berkesan Reviewed by Hilal Azmi on November 10, 2020 Rating: 5

No comments