Home Top Ad

Sakit tekak? Cuba minum ini


Sakit tekak adalah sejenis masalah lazim buat kita semua. Ada kalanya sakit biasa sahaja, tapi kadang-kadang boleh menyebabkan sukar untuk menelan air liur sendiri apatah lagi untuk bercakap dan makan.

Ada beberapa perkara yang menyebabkan sakit tekak, yang berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup. Selalunya, ia disebabkan dehidrasi dan salah makan yang mendatangkan rengsa dan bengkak pada tekak.

Ini ada beberapa jenis minuman untuk melegakan kesakitan itu, malah juga dapat melonjakkan sistem pertahanan tubuh anda.


1. Minum air suam yang dicampur madu dan lemon 


Selain daripada dehidrasi, kekurangan vitamin C juga antara faktor tekak sakit. Dengan air suam yang melegakan tekak, perahan lemon dapat membekalkan vitamin C yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan. Madu pula dapat mengubati dengan ciri anti keradangan dan bakterianya.


2. Cuba teh halia


Ada satu kajian pada 2017 mendapati ekstrak air halia hangat dapat melindungi anda daripada virus sinsitial pernafasan - virus yang sangat mudah berjangkit terutamanya kepada kanak-kanak. 

Tapi teh o halia tau, bukan teh tarik halia. Susu pekat itu pun boleh memburukkan lagi sakit tekak.


3. Minum teh chamomile


Kalau anda tidak minat teh halia, boleh dicuba teh chamomile yang diperbuat daripada bunga Matricaria kering. Selain dapat mengurangkan keradangan pada tekak, teh ini juga berupaya memberikan kesan tenang yang dapat membantu tidur, juga bertindak sebagai pendorong sistem pertahanan diri kita.


4. Layan teh peppermint


Teh peppermint hangat juga antara pilihan popular yang berkesan merawat sakit tekak. Ia mengandungi spearmint yang dapat mengecutkan keradangan. Selain itu, menghirup wap daripada air peppermint panas juga dapat membuka dan melancarkan saluran pernafasan. 


5. Hirup sup hangat


Sejak sekian lama sup hangat seperti sup ayam atau sup ikan menjadi pilihan tradisional dalam merawat penyakit lazim seperti demam, sakit tekak, pening kepala dan selesema. Terutamanya sup yang tinggi kandungan protein dan sayur-sayuran, ia dapat membekalkan segala zat yang kurang untuk tubuh.


6. Buat smoothie


Selalunya bila kita sakit, selera makan kita akan berkurang. Bila tak makan, macam mana nak dapat khasiat yang diperlukan untuk melawan penyakit itu? Smoothies buah dan sayur dapat membangkitkan selera pada masa sama membekalkan tubuh dengan antioksidan dan vitamin yang dapat melonjakkan sistem imun kita.

Antara buah dan sayur yang tinggi kandungan antioksidan adalah beri biru, strawberi, mangga, kale dan bayam.


*Sumber: Insider 


Sakit tekak? Cuba minum ini Sakit tekak? Cuba minum ini Reviewed by Hilal Azmi on November 24, 2020 Rating: 5

No comments