Home Top Ad

Sejarah ringkas catur


Sekitar lebih 1.5 milenia yang lalu, catur dikenali sebagai alat strategi peperangan, metafora hal ehwal manusia, dan penanda aras kepada manka genius. 

Legenda menceritakan bahawa sejarahnya bermula pada kurun keenam Masihi, apabila raja termuda Empayar Gupta di India terbunuh di medan perang. Abangnya merangka cara untuk menggambarkan adegan tersebut kepada ibunya yang sedang berduka. 

Dipersembahkan di atas papan ashtapada 8x8 yang digunakan dalam permainan lain, satu permainan baharu muncul dengan dua ciri utama: peraturan berbeza untuk menggerakkan buah yang berbeza, dan sebiji buah mewakili raja yang nasibnya ditentukan oleh buah-buah lain.

Permainan ini pada asalnya dikenali sebagai chaturanga, perkataan Sanskrit yang bermaksud 'empat bahagian'. Apabila ia sampai ke Empayar Sasan Parsi, ia memperoleh nama dan terminologi baharu yang digunapakai sehingga hari ini - 'chess', yang berasal daripada perkataan Parsi 'shah' bermaksud 'raja', dan 'checkmate' daripada perkataan 'shah mat' yang bererti 'raja mati'.

Dewa Hindu, Krishna dan Radha digambarkan bermain chaturanga di atas papan ashtapada. (foto: Wikipedia)

Selepas penaklukan Parsi oleh kerajaan Islam pada kurun ke-7, catur diperkenalkan kepada dunia Arab. Beranjak dari peranannya sebagai simulasi taktikal, ia menjadi sebuah perlambangan puitis.

Diplomat dan mahkamah menggunakan terma-terma catur untuk menggambarkan kuasa politik, khalifah pemerintah menjadi seorang pemain catur yang tegar, dan sejarawan Al-Mas'udi menganggap catur sebagai bukti kebebasan manusia membuat pilihan dalam hidup berbanding sekadar sebuah permainan nasib.

Perdagangan Zaman Pertengahan sepanjang Laluan Sutera membawa bersama catur ke Timur dan Asia Tenggara, di mana terlahirnya varian tempatan permainan tersebut. Di China, buahnya diletakkan pada titik pertemuan antara petak papan catur, seperti permainan Go.

Pemerintahan Raja Mongol Tamerlane menyaksikan papan berbentuk 11x10 dengan satu petak selamat dipanggil 'citadel'. Dalam permainan catur Jepun dipanggil 'shogi', buah yang sudah dimakan boleh digunakan oleh pemain lawan. 

Tetapi Eropah tempatnya di mana catur mendapat bentuk modennya. Menjelang tahun 1000 Masihi, permainan itu menjadi sebahagian daripada pendidikan di istana. 

Catur digunakan sebagai kiasan kepada perbezaan kelas sosial yang bertindak mengikut peranan masing-masing, dan buah-buahnya diterjemah kepada konteks baharu.

Lukisan tahun 1283 menggambarkan Pahlawan Templar bermain catur. (foto: Wikipedia)

Pada masa yang sama, gereja memandang serong terhadap permainan ini kerana terlalu banyak masa diluangkan bermain catur, malah ada satu ketika catur diharamkan di Perancis. 

Begitupun permainan ini terus berkembang luas, dan bermula kurun ke-15 ia menjadi format yang dimainkan sehingga hari ini. Buah penasihat yang lemah digantikan kepada permaisuri yang lebih berkuasa, dan ini telah mengubah rentak permainan. 

Ketika peraturan lain dipopularkan, risalah yang menganalisis gerakan pembuka (opening) dan penamat (endgame). Terlahirlah teori-teori catur.

Ketika Zaman Pencerahan di Eropah, catur beralih dari istana diraja ke kedai-kedai kopi. Catur kini dilihat sebagai luahan kreativiti, menggalakkan gerakan berani dan pementasan-pementasan dramatik. Stail 'Romantik' ini mencapai kemuncaknya dalam Permainan Abadi (The Immortal Game) pada 1851 di mana Adolf Anderssen berjaya 'checkmate' selepas mengorbankan buah permaisuri dan kedua-dua istananya.

Namun kemunculan perlawanan kompetitif formal di lewat kurun ke-19 bermakna perkiraan strategik dapat mengatasi gaya permainan dramatik. Dengan kebangkitan pertandingan antarabangsa, catur memainkan peranan baharu yang penting dalam geopolitik. 

Ketika Perang Dingin, Kesatuan Soviet melaburkan banyak sumber untuk melahirkan pemain-pemain catur hebat lalu mendominasi kejohanan-kejohanan dunia sepanjang abad itu. Bagaimanapun pemain yang meranapkan ego Rusia bukanlah dari negara lain, tetapi sebuah komputer IBM bernama Deep Blue.

Pemain catur yang dianggap antara yang terbaik di dunia sepanjang zaman, Garry Kasparov (kiri) dan CPU komputer super Deep Blue (kanan). (foto: Wikipedia)

Komputer yang bermain catur telah dibangunkan sejak berdekad lamanya, tetapi keunggulan Deep Blue mengatasi Gary Kasparov pada 1997 adalah kali pertama sebuah mesin mengalahkan manusia terhebat dalam permainan itu.

Hari ini, perisian catur berupaya untuk mengalahkan pemain manusia terbaik secara konsisten. Tetapi seperti juga permainan lain yang mereka kuasai, mesin-mesin ini adalah produk daripada kepintaran manusia.

Harapnya, kepintaran yang sama dapat mengeluarkan kita daripada 'checkmate' dalam kehidupan di dunia ini.


*Sumber: TED-Ed, Wikipedia


Sejarah ringkas catur Sejarah ringkas catur Reviewed by Hilal Azmi on November 03, 2020 Rating: 5

No comments