Home Top Ad

10 fakta mengenai cacing kepala tukul

 


Gambar di atas adalah cacing 'kepala tukul', iaitu terjemahan langsung daripada istilah Inggerisnya, hammerhead worm.


Bertenang, ia bukan makhluk invasif, sebaliknya sudah lama hidup dalam persekitaran iklim Malaysia ini, khususnya di hutan yang lembap


Nak tahu lebih lanjut? Berikut adalah antara fakta menarik tentang spesies cacing ini:


BACA: SHOW BINATANG ADALAH SATU PENDERAAN

BACA: KISAH SI TANGGANG DI TASIK AFRIKA



1) Cacing 'kepala tukul' atau nama saintifiknya Bipalium merupakan cacing leper yang bersifat pemangsa dan karnivor. Nama dan reputasinya diperoleh daripada bentuk kepalanya yang menyamai kepala tukul.


2) Di bahagian bawah tubuhnya mempunyai tekstur gegelang untuk membantunya bergerak dengan cepat, terutama ketika memburu mangsanya.


3) Cacing tanah yang tiada mekanisme pertahanan adalah mangsa 'kegemaran' bagi cacing 'kepala tukul'. Apabila cacing 'kepala tukul' mengesan jejak cacing tanah, ia akan mengejarnya, dan sejurus bergelut, cacing 'kepala tukul' akan menggunakan otot dan lendirnya yang mengandungi neurotoksin (iaitu tetrodotoksin) untuk mengalahkan mangsanya.


4) Selain cacing tanah, ia juga makan lintah bulan, larva serangga dan juga spesiesnya sendiri. Apabila mangsanya sudah dilemahkan dengan toksinnya, cacing 'kepala tukul' akan mengeluarkan farinks dari tubuhnya untuk menyalut mangsa dengan enzim, seterusnya menghisap tisu tubuh mangsa yang dicairkan. Sesudah selesai makan dan menghadam, mulutnya juga berfungsi memuntahkan semula najis.


5) Walaupun secara fitrahnya ia mempunyai toksin tersendiri dalam tubuh, cacing 'kepala tukul' tidak berbahaya kepada manusia mahupun haiwan peliharaan jika disentuh. Toksin yang dimilikinya hanya berkesan untuk membunuh mangsanya... misalnya, si cacing tanah yang malang itu!


6) Cacing ini berasal dari kawasan tropika dan subtropika namun kini banyak negara telah mengenal pasti kehadirannya lalu melabelkannya sebagai spesies invasif. Ia mudah 'berhijrah' atau dipindahkan secara tidak sengaja melepasi sempadan geografi menerusi pokok atau tanah.


7) Berbeza mengikut spesiesnya, saiz cacing 'kepala tukul' adalah antara 5 hingga 8 sentimeter, namun ada spesies tertentu yang boleh mencapai ukuran panjang hingga 30 sentimeter. Warnanya juga berbeza mengikut jenis dan lokasi penemuannya, seperti warna tanah, kelabu, perang gelap, keemasan, kehijauan, ataupun berbelang-belang.


8) Hendak membiak? Mudah saja! Cacing ini adalah jenis hermaphrodite, iaitu setiap individu memiliki kedua-dua testis dan ovari. Telur yang sudah disenyawakan akan menetas dalam tempoh kira-kira tiga minggu.


9) Tidak ada satupun spesies cacing 'kepala tukul' ini termasuk dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Oleh kerana habitatnya yang masih luas, tidak ada bukti langsung untuk menyatakan bahawa populasinya terancam.


10) Pada awalnya, para petani bimbang jika spesies ini merosakkan tanaman mereka, sedangkan ia tidak langsung tertarik pada tumbuhan. Namun, masalah yang timbul adalah jika jumlahnya terlalu banyak di sesuatu kawasan, spesies cacing tanah di situ yang akan berkurangan. Umum tahu bahawa cacing tanah amat bagus untuk kesuburan dan kegemburan tanah pertanian.


Cover photo: Zalina Mohd Som 

Artikel asal: Astro AWANI

10 fakta mengenai cacing kepala tukul 10 fakta mengenai cacing kepala tukul Reviewed by Hilal Azmi on December 01, 2020 Rating: 5

No comments