Home Top Ad

9 tabiat yang boleh menjahanamkan otak


Tahukah anda ada sesetengah tabiat harian kita yang sebenarnya boleh merosakkan otak kita? Bukan setakat menjejaskan kesihatan mental anda, tetapi tabiat ini memang boleh menjahanamkan struktur biologi otak itu sendiri.

Kerosakan tisu otak boleh mencetuskan pelbagai lagi cabang masalah antaranya dementia dan Alzheimer's, atau dalam bahasa kita mudahnya disebut penyakit nyanyuk. Oleh hal yang demikian, penting untuk kita tahu apa tabiat harian kita yang perlu diubah sebelum terlambat.


1. Terlalu banyak luangkan masa dalam gelap


Ada antara kita yang memang suka duduk dalam gelap. Ia membangkitkan rasa melankolia yang boleh melarat menjadi satu tabiat. Ketahuilah bahawa manusia seperti juga tumbuhan, boleh 'mati' sekiranya kurang mendapat cahaya semula jadi. Ia mengundang kemurungan yang boleh merosakkan sel otak. 

Cahaya matahari membantu otak berfungsi dengan baik. Tanpanya, otak kita tidak dapat menghasilkan hormon melatonin yang melaraskan jam biologi tubuh yang mengawal waktu tidur kita. Ketika kita tidur, otak kita berehat dan menyusun semula data-data yang terkumpul sepanjang hari. Bila proses ini tidak berjalan dengan baik, lambat laun otak boleh 'jam'.


2. Baca terlalu banyak berita negatif


Kandungan media yang kita hadap setiap hari memberikan kesan kepada emosi, pemikiran dan perlakuan. Membaca terlalu banyak berita buruk akan mencetuskan tindak balas 'lari atau lawan' yang mempengaruhi kesihatan fizikal, emosi dan mental. 


3. Dengar bunyi terlalu kuat dengan headphone


Memang layan dengar muzik kuat-kuat. Sesekali tak apa, tapi kalau sepanjang masa telinga kita selalu ditekapkan pada earphone/headphone dengan volume yang kuat, ia tidak baik bukan hanya kepada telinga tapi juga otak. 

Para pakar bersetuju bahawa kerap mendengar muzik dengan kuat lambat laun boleh mencetuskan masalah ingatan seperti amnesia.


4. Mengasingkan diri dari hubungan sosial


Kadang-kadang kita malas untuk sertai acara sosial atau perjumpaan, sebab tak suka sesak-sesak dan semak berbual-bual dengan orang. Tapi manusia adalah makhluk sosial, dan dengan tidak berbuat demikian akan menjejaskan diri kita tak kisahlah anda kata anda introvert ke extrovert ke ambivert ke pervert ke convert ke apa saja lah.

Impak pengasingan sosial bukan sahaja mencambahkan masalah mental seperti kemurungan sepertimana yang ramai sedia tahu, tetapi secara biologinya juga boleh terjejas. Menurut satu kajian pada 2012, tidak bersosial boleh menyebabkan stres kepad otak yang lama-kelamaan akan mengundang angin ahmar/strok.


5. Terlalu banyak masa tengok skrin


Zaman sekarang kita memang cenderung untuk menghabiskan sepanjang hari dengan mengadap skrin - bangun pagi tengok skrin telefon, kerja di pejabat tengok skrin komputer, balik rumah tengok rehat tengok skrin televisyen, sebelum tidur tengok lagi skrin telefon. Tak boleh nak elak, tapi boleh dikawal.

Kalau tak dikawal, ia akan menjejaskan white matter dan grey matter di beberapa lokasi penting dalam otak kita seperti di bahagian hadapan di mana proses berfikir berlaku. Ingat, bersama cahaya yang dipancarkan skrin itu ada radiasi.


6. Pengambilan gula yang banyak


Kalian yang menggelarkan diri anda 'sweet tooth', jaga-jaga. Bukan tak boleh, tapi sepertimana yang sering dikatakan, bersederhanalah. 

Bila mengambil gula terlalu banyak, tubuh kita akan berdepan ketidak seimbangan nutrisi yang sekali gus memberi kesan kepada kesihatan segala organ dalam tubuh termasuk otak. Bila otak tak cukup zat, jadi tak betul lah.


7. Tak sarapan


Sarapan adalah waktu makan paling penting antara semuanya. Apa yang kita makan pada pagi itu akan membentuk seluruh hari kita. Namun tak dinafikan ramai antara kita cenderung untuk tidak bersarapan atas banyak sebab - bangun lambat lah, nak cepat lah, dan mahu makan tengahari terus atau 'brunch', senang.

Tapi memang tidak elok kerana otak boleh tak cukup zat. Bayangkan, badan kita sudah tidur sepanjang malam tanpa makanan, alih-alih kita bangun terus buat kerja tanpa beri 'bahan bakar' kepada tubuh. Rasa macam tak ada apa-apa, tapi lama-lama boleh rosak badan dan mental.


8. Tak banyak bergerak


Seberapa kerap anda bersenam? Tak kisahlah pergi mengangkat berat di gim atau sekadar berjalan keliling taman pada waktu petang, bersenam dapat melonjakkan keupayaan otak kita untuk berfungsi dengan lebih baik. Bersenam membekalkan lebih oksigen kepada otak dan membantu merembeskan hormon tumbesaran.

Kurang bergerak akan merencatkan pembangunan otak, dan akhirnya menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.


9. Tabiat tidur yang tidak baik


Anda selalu cukup tidur, atau terlebih, atau tak cukup? Tempoh dan cara kita tidur memberikan kesan terhadap tenaga, kesihatan mental dan memori. Tak cukup tidur boleh membuatkan kita jadi pelupa dan otak berfungsi pada cara yang tidak sepatutnya. 

Tidur dengan meletakkan sesuatu menutup kepala kita juga tidak elok kerana ia menganggu aliran oksigen antara otak dengan tubuh kita.

.........

Ada tak antara sembilan tabiat ini menjadi amalan anda? Pasti ada, lebih-lebih lagi ketika pandemik ini yang mengehadkan pergerakan kita. Namun ia bukan alasan untuk kita kekal dengan tabiat lama dan tidak berbuat apa-apa.

Sebelum terlambat, sedarlah akan tabiat buruk kita dan ubah dengan mangadaptasi kepada dunia baharu ini supaya kita lebih sihat dan dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Rancak TV peduli.


*Sumber: Psych2Go


9 tabiat yang boleh menjahanamkan otak 9 tabiat yang boleh menjahanamkan otak Reviewed by Hilal Azmi on December 03, 2020 Rating: 5

No comments