Home Top Ad

Apa beza pening kepala dengan migrain?


Anda rasa kita ada masa untuk sakit kepala? Sememangnya tidak, tapi benda ini selalu mengganggu hari kita. Pening kepala biasa datang dan pergi bergantung kepada gaya hidup kita, berbeza dengan migrain.

Migrain adalah masalah jangka panjang yang perlu dirawat dengan betul. Bukan minum air, makan ubat, tidur, sejam dua kemudian boleh hilang. Sakitnya di kepala juga, tapi lebih kuat sehingga boleh menyebabkan lemah dan muntah-muntah (nausea).

Ramai keliru sakit kepala biasa dengan migrain, tak tahu di mana sempadan halus antara kedua-duanya. Jadi mari saya cerita.

Sakit kepala biasa ada beberapa jenis, antaranya yang lazim adalah sakit kepala akibat tekanan dan sakit kepala kluster. 75 peratus orang dewasa biasa mengalami sakit kepala tekanan yang disebabkan oleh stres, tak makan, dan keletihan mata serta badan. Senang cerita tak cukup rehat, seminggu boleh menyerang tiga atau empat kali. Jenis ini selalunya akan sakit di sisi kepala dekat dengan kening, kadang di belakang dan membawa ke depan kepala. Rehat 20-30 minit boleh lega.

Sementara sakit kepala kluster pula lagi sakit daripada sakit kepala tekanan, dan ia mengikut pola yang selalunya menyerang pada waktu sama di tempat sama setiap hari. Ia disebabkan oleh badan menghasilkan terlalu banyak hormon yang mengembangkan salur darah di dalam otak. Sakit kepala kluster dicetuskan oleh cahaya terang, kadang ketika bersenam dan berada di altitud tinggi.

Pening kepala fikir macam-macam benda.

Sakit kepala juga boleh jadi sekunder, yang disebabkan ada kecederaan pada kepala akibat kemalangan, pembedahan atau ketumbuhan. Tanda-tandanya, anda berusia lebih 50 tahun dan sering mendapat sakit kepala, sakit kepala anda itu membuatkan anda terjaga di tengah-tengah malam, atau sakit kepala itu terasa apabila anda mengunyah, batuk atau berubah posisi badan.

Sekarang kita beralih ke migrain, sejenis sakit kepala yang jauh lebih sakit daripada sakit-sakit kepala tadi. Ia adalah penyakit neurologikal kronik yang menjejaskan sistem saraf dan bahan kimia di dalam otak. 

Sebenarnya pakar pun naik pening untuk memahami mengapa migrain terjadi, tetapi berpendapat yang ia disebabkan aktiviti abnormal dalam otak yang menghasilkan hormon estrogen dan serotonin dalam badan kita. 

Selain sakit kepala, simptom lain yang menandakan migrain adalah meningkatknya sensitiviti terhadap cahaya dan bunyi, lemah, muntah, keliru, pandangan tak jelas, serta perubahan angin atau mood.

Kerana wanita lebih banyak hormon estrogen berbanding lelaki, maka mereka tiga kali lebih berisiko menghidap migrain. Kalau ada antara ahli keluarga anda yang menghidap migrain, anda pun lebih tinggi peluang mengalaminya.

Migrain ini ada empat fasa

1. Prodrome. Bermula 24 jam sebelum sakit kepala datang. Kesan yang boleh dirasai (kalau perasan) adalah mood berubah, kerap menguap, lapar, dan kerap buang air kecil.

2. Aura. Tak semua orang yang migrain lalui peringkat ini. Apabila ia terjadi, ia akan memberi kesan kepada pandangan anda. Mula lah nampak cahaya yang tiada atau garisan zig-zag. Fasa ini juga datang bersama lemah otot dan rasa satu macam apabila disentuh. Boleh berlaku dalam tempoh 20 minit, berjam-jam malah ada yang membawa sampai esok hari.

3. Sakit kepala. Peringkat ini perlahan-lahan intensitinya meningkat. Selalunya sakit di satu bahagian sahaja pada kepala, dan rasanya berdenyut-denyut tak tahu nak cerita macam mana. Dari rasa sakit kepala tahap tertinggi ini, seseorang penghidap itu akan jadi terlalu sensitif kepada cahaya, bunyi, bau, sentuhan, sakit makin berdenyut apabila bergerak malah muntah.

4. Postdrome. Fasa ini selepas sakit kepala beransur hilang sehingga beberapa hari. Melalui fasa ini, anda akan rasa lemah dan belum boleh berfikir dengan begitu waras lagi. 

Sakit kepala ke menangis tu dik?

Bagaimana untuk merawat kedua-duanya? Sakit kepala biasa boleh dihindar dengan meminum air secukupnya elak dehidrasi, makan pada waktunya, kerap rehat seketika dengan menarik nafas dalam, dan mengambil ubat bukan steroid seperti ibuprofen atau acetaminophen. 

Untuk migrain pula, merawatnya adalah dengan menutup lampu dan berbaring dalam suasana yang senyap sunyi, mengambil ubat yang sesuai (dapatkan nasihat doktor) bersama minuman berkafein, atau gunakan kompres sejuk di tengkuk atau kepala di kawasan kejadian untuk hilangkan sakit. Guna kompres hangat pun boleh untuk longgarkan otot yang tegang di sekitar kawasan itu.


Sumber: Insider


Apa beza pening kepala dengan migrain? Apa beza pening kepala dengan migrain? Reviewed by Hilal Azmi on December 23, 2020 Rating: 5

No comments