Home Top Ad

Asal 'treadmill' sebenarnya sebuah mesin seksaan di penjara


Perut sudah mula menggelebeh, nafas pula makin pendek. Pergi lah bersenam di gim, dan berlari di atas treadmill adalah cara termudah untuk mengeluarkan peluh. 

Lari punya lari ingat sudah sejam berlalu, rupanya baru 10 minit. Sekejap sangat, takkan nak berhenti? Mulalah terfikir, "kenapa lah aku menyeksa diri..." - memang pun. Sebab treadmill itu asalnya adalah sebuah mesin seksaan.

Pada lewat seribu lapan ratusan (1800-an), sistem penjara Inggeris tersangatlah teruk. Hukuman mati dan pengusiran menjadi hukuman paling lazim, sementara yang di dalam penjara teruslah meringkuk buat sekian waktu sehingga entah bila.

Jadi badan-badan gerakan sosial diketuai kumpulan keagamaan, hak asasi manusia termasuk penulis berpengaruh Charles Dickens menggesa perubahan dalam sistem pengurusan banduan. Apabila gesaan mereka berjaya, seluruh penjara dirombak semula dan memperkenalkan cara pemulihan bentuk baharu.

Maka treadmill diperkenalkan, dicipta oleh seorang jurutera Inggeris bernama Sir William Cubitt pada 1818. Bagaimanapun bentuknya bukan seperti treadmill hari ini, tetapi sebuah roda besar panjang bergerigi di mana para banduan akan memijaknya, membuatkannya berpusing. Apabila ia berpusing, banduan perlu terus menginjak supaya tidak jatuh.

Lukisan menggambarkan penggunaan treadmill di Penjara Brixton, London sekitar 1817. Setiap sejam, banduan dibenarkan rehat selama 12 minit sebelum kembali menginjak. (Foto: Wikipedia)

Hukuman mereka yang memusingkan roda itu menjana daya untuk mengepam air, mengisar bijirin dan menggerakkan kilang - dari sinilah datangnya perkataan treadmill yang bererti kilang injak dalam bahasa Melayu.

Mesin ini dilihat sebagai alat seksaan yang cukup hebat, kerana selain daripada dapat 'mengerjakan' banduan, ia juga memberi hasil yang sekali gus membantu proses pembinaan semula negara Britain pasca Perang Dunia Pertama. Situasi menang-menang, walaupun tidak dianggap begitu oleh para banduan.

Dianggarkan seorang banduan menghabiskan enam atau lebih jam sehari di atas treadmill, bersamaan mendaki setinggi 5,000 ke 14,000 kaki. 14,000 kaki bersamaan dengan setengah jalan ke puncak Everest iaitu 4,267 meter. Bayangkan melakukannya lima kali seminggu dengan makanan yang sedikit. Tak tercabut kaki?

Idea Cubitt ini pantas berkembang ke seluruh Empayar British dan Amerika. Sedekad selepas penciptaannya, ia sudah diguna pakai di lebih 50 penjara serata Britain dan jumlah sama di Amerika. Dan tidak hairanlah akibat kerahan tenaga ini dalam kekurangan nutrisi, ramai banduan yang 'barai' mental dan warden langsung tak peduli.

Treadmill yang dijaga sebagai khazanah di Penjara Breakwater (Kini Breakwater Lodge), Cape Town, Afrika Selatan. (Foto: Wikipedia)

Hukuman treadmill di England dipraktikkan sehingga lewat kurun ke-19, apabila ia akhirnya dianggap kejam dan diharamkan di bawah Akta Banduan 1898. Bagaimanapun alat seksaan ini 'dihidupkan kembali' dan mangsa baharunya adalah bukan banduan, tetapi orang ramai yang tidak bersalah. 

Pada 1911, sebuah paten treadmill didaftarkan di Amerika Syarikat dan menjelang 1952, terciptanya bentuk treadmill yang menjadi asas kepada mesin senaman hari ini. Apabila kegilaan berjoging melanda AS sekitar 70-an, treadmill kembali menjadi perhatian sebagai cara yang mudah dan senang untuk meningkatkan kecergasan aerobik dan menurunkan berat badan.

Jadi selepas ini apabila anda melangkah di atas treadmill, bersyukurlah anda boleh mengawalnya dan berhenti pada bila-bila masa.


Sumber: TED-Ed, Wikipedia



Asal 'treadmill' sebenarnya sebuah mesin seksaan di penjara Asal 'treadmill' sebenarnya sebuah mesin seksaan di penjara Reviewed by Hilal Azmi on December 17, 2020 Rating: 5

No comments