Home Top Ad

Bagaimana dua beradik Wright mencipta kapal terbang


Orville dan Wilbur Wright lahir dan membesar di Dayton, Ohio dan mula meminati bidang penerbangan selepas membaca tentang peluncur ciptaan jurutera Jerman, Otta Lilienthal pada 1890-an. 

Tidak seperti abang mereka, Orville dan Wilbur tidak melanjutkan pelajaran ke kolej. Bagaimanapun mereka berdua memiliki kemahiran teknikal luar biasa dalam menyelesaikan masalah rekaan mekanikal. Mereka membina mesin pencetak dan pada 1892 membuka kedai menjual dan membaiki basikal. Tak lama kemudian, mereka membina basikal sendiri.

Daripada pengalaman ini bersama keuntungan terkumpul daripada pelbagai perniagaan mereka, dua beradik ini mengorak langkah dalam mencapai impian mereka mencipta kapal terbang pertama dunia.

Selepas menjalani pelbagai fasa kajian, penyelidikan dan pembangunan, mereka menulis surat kepada Biro Cuaca A.S. bertanyakan tentang di mana tempat sesuai untuk menjalankan ujian penerbangan. Mereka memilih Kitty Hawk, sebuah perkampungan terasing di Tebing Luar Utara California yang menawarkan angin yang stabil serta padang pasir landai.

Percubaan pertama pada 1900 tidak berjaya, bagaimanapun tahun berikutnya dengan rekaan yang ditambah baik memberikan keputusan yang lebih memberangsangkan. Mereka kemudian membina terowong angin di mana lebih 200 model sayap pelbagai bentuk dan rupa diuji.

Wilbur Wright di atas Glider sejurus selepas mendarat ketika salah satu sesi ujian pada 1901. (Foto: Wikipedia)

Eksperimen sistematik dua beradik ini akhirnya membawa hasil apabila ratusan ujian berjaya dijalankan dengan peluncur rekaan tahun 1902 mereka di Kill Devil, satu lagi tempat berhampiran Kitty Hawk. Mereka berjaya mencipta peluncur dengan sistem kawalan, kini masa untuk penerbangan berenjin.

Di Dayton, mereka mencipta enjin 12 kuasa kuda dengan bantuan juruteknik bernama Charles Taylor dan pada masa sama membina pesawat baharu dengan ruang menempatkan enjin tersebut. Mereka menghantar pesawat itu secara berasingan ke Kitty Hawk pada musim luruh 1903, memasangnya, dan membuat beberapa ujian kecil. 

Pada 14 Disember, Orville melakukan percubaan pertama penerbangan berenjin. Malangnya enjin mereka berhenti semasa berlepas dan pesawat rosak akibat pendaratan yang tidak lancar, mengambil masa tiga hari untuk membaikinya. 

Akhirnya tepat pada 10.35 pagi 17 Disember, di hadapan lima saksi, pesawat yang dipanggil Flyer itu menuruni trek monorel sebelum meluncur ke udara, terbang selama 12 saat sejauh 120 kaki. Tiga lagi ujian dijalankan pada hari tersebut, dengan Orville dan Wilbur bergilir-gilir mengendalikan pesawat itu. Penerbangan terakhir dipandu Wilbur, sejauh 852 kaki dalam 59 saat.

Detik bersejarah. Penerbangan sulung Flyer, pesawat berenjin kawalan manusia pertama di dunia pada 17 Disember 1903. Orville memandu, Wilbur berlari di sisi sayapnya. (Foto: Wikipedia)

Untuk beberapa hari selepas itu, dua beradik ini terus membangunkan pesawat mereka, tetapi dalam kerahsiaan untuk melindungi paten dan kontrak untuk mesin terbang mereka yang berjaya itu. Menjelang 1905, Flyer boleh melakukan pemanduan yang lebih kompleks dan kekal di udara selama sekurang-kurangnya 39 minit pada satu-satu masa. 

Pada 1908, Orville dan Wilbur datang ke Perancis dan membuat penerbangan awam pertama mereka, membangkitkan keterujaan dan kekaguman ramai. Mereka kemudian menubuhkan Wright Company untuk membina dan memasarkan pesawat ciptaan mereka yang sudah dipatenkan.

Ciptaan dua beradik Wright ini menjadi asas kepada pelbagai lagi keajaiban manusia meneroka ruang udara seterusnya angkasa raya. Manusia di seluruh dunia dapat dihubungkan dengan lebih mudah. Dengan pesawat ciptaan orang beragama Krisitan inilah, ibadah Haji yang beribu batu jauhnya di tanah Mekah jadi lebih mudah.

Bagaimana dua beradik ini mampu melakukan perkara yang sebelum itu dianggap mustahil, menerbangkan manusia dengan mesin yang berat daripada udara? Dalam dunia ini hanya burung dan serangga bersayap yang boleh terbang, bukan manusia. Tetapi mereka mahu membuktikan bahawa manusia makhluk hebat yang juga boleh terbang seperti burung.

Kerana mereka membaca, mengamati, dan tekun mencari jawapan sampai jaya. Mereka membaca dan mengamati sifat dan mekanisme penerbangan burung, untuk mencari penyelesaian kepada kekurangan dalam penemuan kajian sebelum itu oleh Lillienthal, George Cayley dan Leonardo Da Vinci. Kerana pembacaan mereka yang dimanifestasikan sebaiknya, generasi demi generasi kemudian dapat menikmati manfaat yang memudahkan manusia sehingga akhir masa.

Kerana itu perintah Tuhan yang pertama adalah baca. Bukan setakat abjad dan perkataan pada buku, tetapi membaca rahsia di sebalik setiap kejadian di dunia ini.

"Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung berterbangan di langit? Tiada yang menahan mereka melainkan Allah, sesungguhnya demikian adalah tanda-tanda kepada mereka yang percaya." - An-Nahl, 79


Sumber: History, Wikipedia


Bagaimana dua beradik Wright mencipta kapal terbang Bagaimana dua beradik Wright mencipta kapal terbang Reviewed by Hilal Azmi on December 17, 2020 Rating: 5

No comments