Home Top Ad

Cincin misteri yang mengilhamkan The Lord of the Rings


Dalam banyak-banyak perhiasan yang ditemui daripada zaman kegemilangan empayar Rom lama, cincin ini agak luar biasa ceritanya.

Cincin Silvianus, atau juga dikenali sebagai Cincin Senicianus dan Cincin Vyne, tidak diketahui sejarah sebenarnya. Namun menurut legenda, pada sekitar kurun keempat Masihi, seorang tentera Rom yang ditugaskan di Gloucestershire, England bernama Silvianus menziarahi tempat mandi yang didedikasikan buat dewa Celt, Nodens.

Kuil Nodens terbina di atas sebuah bukit dekat Sungai Severn di Lidney sebagai memuja dewa yang menaungi pemburuan, anjing, penyembuhan dan lautan itu. Selepas mandi di kuil tersebut, Silvianus mendapati cincin emasnya hilang. Entah kenapa, dia percaya cincinnya dicuri oleh seorang individu bernama Senicianus.

Maka dia menuntut keadilan daripada kuasa ghaib. Sebelum meninggalkan kuil itu, Silvianus meninggalkan sejumlah wang dan mengukir satu tablet sumpahan dipanggil defixio dengan kata-kata:

"Devo Nodenti Silvianus anilum perdedit demediam partem donavit Nodenti inter quibus nomen Seniciani nollis petmittas sanitatem donec perfera(t) usque templum [No-] dentis

Rediviva"

Itu dalam bahasa Latin. Dalam bahasa Melayunya:

"Ke hadapan dewa Nodens. Silvianus telah kehilangan cincinnya dan telah memberikan separuh (daripada nilainya) kepada Nodens. Dalam kalangan mereka yang dipanggil Senicianus tidak diizinkan kesihatan sehingga dia membawanya ke Kuil Nodens.

(Sumpahan ini) berkuatkuasa semula."

Cincin itu berdiameter 25 mm dan seberat 12 g. Ia memiliki 10 segi dan bezel petak dengan ukiran imej dewa Venus. Kerana saiznya yang besar, dipercayai ia dipakai pada ibu jari atau di luar sarung tangan. Selepas ia hilang dari pemilikan Silvianus, ia pertama kali ditemukan pada 1785 di sebuah kawasan ladang dekat Silchester.

Di kawasan luar bandar di selatan England ini, dahulunya menjadi lokasi penempatan orang Rom purba. Ia terletak kira-kira 128 kilometer dari Lydney, di mana terletaknya Kuil Nodens. Sama ada benar cincin itu dicuri dan dibuang oleh Senicianus atau orang lain, tak siapa tahu. Setakat ini tiada penemuan yang membawa kepada cerita cincin itu. Namun, ini cerita susur galur kewujudan cincin itu selama 1,300 tahun.

Ketika mula-mula ditemukan, kelilingnya kosong tanpa sebarang ukiran. Kemudian salah seorang penduduk di Silchester yang menjadi pemilik baharunya mengukir 'SENICIANE VIVAS IIN DE' yang bermaksud 'Senicianus moga hidup bersama Tuhan'. 

Selepas beberapa lama menyimpan cincin tersebut, peladang Silchester yang menemukannya menjual cincin itu kepada jirannya, keluarga Chute yang tinggal di rumah agam Tudor dipanggil The Vyne. Walaupun keluarga itu mempunyai kecenderungan terhadap artifak dan sejarah, cincin itu hanya mula dikaji pada 1888 oleh Chaloner Chute.

Tablet sumpahan itu pula hanya ditemukan pada awal kurun ke-19 namun tiada siapa yang mengetahui kaitannya dengan cincin itu selama hampir seabad lamanya. Akhirnya pada 1929, ahli arkeologi bernama Sir Mortimer Wheeler berjaya menghubungkan dua artifak tersebut. Ini kerana nama Senicianus tidak banyak ditemui dalam artifak Rom purba dan ia datang dari zaman yang sama.

Untuk mendalami lagi perihal cincin dan tablet sumpahan purba ini, Wheeler menghubungi rakannya yang merupakan seorang profesor Anglo-Saxon di Universiti Oxford bernama J.R.R. Tolkien. Tolkien kemudian bersama Wheeler juga beberapa kali pergi ke Kuil Nodens untuk merungkai misteri di sebalik penemuan itu. 

Setahun kemudian, Tolkien mula menulis The Hobbit. Ia menceritakan seorang watak bernama Bilbo Baggins yang menemukan satu objek yang 'cukup, cukup cantik dan menakjubkan'. Ia adalah sebentuk cincin emas yang amat berharga. 

Kalau anda membaca atau menonton karya Tolkien, banyak persamaan yang boleh dilihat. Dari legenda cincin sebenar, ia menjadi sebuah kisah epik klasik fiksyen yang popular sepanjang zaman. Tentang sebentuk cincin sahaja.

The One Ring, cincin yang memporak-perandakan Middle Earth dalam hikayat fiksyen klasik epik Tolkien. (Foto: WetaNZ)



Sumber: Ripley's


Cincin misteri yang mengilhamkan The Lord of the Rings Cincin misteri yang mengilhamkan The Lord of the Rings Reviewed by Hilal Azmi on December 09, 2020 Rating: 5

No comments