Home Top Ad

Giant weta, serangga paling besar di dunia


Ini bukan gambar photoshop. Tiada serangga yang lebih besar di dunia ini melebihi weta gergasi. Ia adalah sejenis hidupan endemik, atau hanya boleh ditemui di satu tempat sahaja, iaitu di New Zealand.

Saiznya boleh mencapai sehingga 10 sentimeter panjang tidak termasuk sesungut dan kaki, dan berat sehingga sekitar 35 gram. Ada yang sampai 70 gram, menjadikannya antara serangga terberat di dunia, lebih berat daripada burung pipit.

Nama weta diambil daripada bahasa Maori asalnya wetapunga, yang bererti 'tuhan kepada segala benda buruk'. Nama saintifiknya pula adalah deinacrida, bermaksud 'belalang yang teruk'. Kesian.

Ada lebih daripada 70 spesis weta gergasi di New Zealand, antaranya weta bergading, weta pokok dan weta gua. Weta alpine pula boleh membeku sepenuhnya apabila musim sejuk tiba, kemudian mencair dan meneruskan kehidupan seperti biasa apabila musim bunga tiba.

Nampak macam cengkerik gergasi dengan kaki yang lebih kurang sama bentuknya, bagaimanapun weta gergasi tidak boleh lompat. Badannya terlalu berat, jadi seluruh hayatnya banyak diluang di atas tanah. Saudaranya weta pokok lebih tangkas dan boleh melompat.

Yang sama dengan cengkerik adalah telinganya juga berada di bawah lutut kaki hadapannya. Jangan risau digigit, kerana serangga ini pemakan sayur atau herbivor dan tidak ada sengat berbisa. Weta gergasi juga seperti serangga lain tidak punyai peparu, dan bernafas menerusi exoskeletonnya.

Dia tak gigit, tidak juga menyengat. Cuma geli sikit lah kalau dipegang sebab duri-duri kecil pada tubuhnya. (Foto: Mark Moffett/Wired)

Macam arnab, weta suka makan lobak. Tular satu gambar seorang penyelidik Smithsonian dari Amerika bernama Mark Moffett memberi weta makan lobak ketika kembaranya ke Little Barrier Island pada 2011. Kemudian seorang pakar serangga New Zealand menyatakan kepada akhbar New Zealand Herald bahawa itu perkara biasa.

Serangga ini adalah antara makhluk tua yang sudah wujud sejak dari zaman dinosaur. Ada fosil dari Zaman Triassic 190 juta tahun lalu menunjukkan persamaan yang sangat dekat dengan weta yang mendiami New Zealand hari ini.

Pertama kali diceritakan pada 1842, weta gergasi sudah dianggap sebagai haiwan yang diancam kepupusan sejak 1960-an lagi walaupun dahulunya hidup banyak di utara New Zealand. Apabila manusia tiba di pulau New Zealand yang dahulunya dipanggil Aotearoa oleh orang aslinya Maori, mereka membawa bersama tikus dan kucing yang memakan serangga itu. Kini, ia terhad di Little Barrier Island, 50 batu timur laut Auckland.

Sejak itu, sudah banyak gerakan memulihara dan memeliharanya dijalankan. Banyak yang sudah dibiakkan di Zoo Auckland sehingga pada 2013, mereka perlu menggajikan lebih pekerja untuk memberi makan kepada weta-weta yang ditetas di situ. Tahun berikutnya, Zoo Auckland melepaskan 150 ekor ke kepulauan Tiritiri Matangi.


Sumber: Mental Floss


Giant weta, serangga paling besar di dunia Giant weta, serangga paling besar di dunia Reviewed by Hilal Azmi on December 18, 2020 Rating: 5

No comments