Home Top Ad

Hadiah Nobel wujud daripada sebuah penyesalan


Pada 10 Disember 1901, Hadiah Nobel dianugerahkan buat kali pertama di Stolkholm, Sweden dalam bidang fizik, kimia, perubatan dan keamanan. Ia diperkenalkan pada hari ulangtahun kelima pemergian Alfred Nobel, seorang pencipta dinamit dan bahan letupan lain.

Ada hadiah keamanan yang diberi sempena nama orang yang buat bom? Macam tak kena kan? Mari kita susuri sejarah hidup manusia ini.

Alfred Bernhard Nobel dilahirkan di Stockholm pada 1833, dan empat tahun kemudian keluarganya berhijrah ke Rusia. Di St. Petersburg, bapanya memiliki sebuah kilang membuat periuk api dan lain-lain kelengkapan perang. Bagaimanapun lepas Perang Crimea, perniagaannya lingkup. 

Lalu mereka pulang ke Stockholm dan Nobel menubuhkan satu makmal untuk bereksperimen dengan letupan. Menuntut di Rusia, Paris dan Amerika Syarikat, Nobel sememangnya seorang ahli kimia yang mahir. Pada 1863, dia mencipta cara mengawal letupan nitrogliserin, cecair yang sangat volatil dan diketahui sangat bahaya untuk digunakan. Sebelum itu, orang hanya menggunakan belerang sebagai bahan letupan. Dua tahun kemudian dia mencipta pula penutup peletup (blasting cap), penambah baikan kepada peledak dan menjadi asas kepada letupan skala besar moden. 

Malangnya pada 1864, kilang nitrogliserinnya meletup membawa kepada kematian beberapa orang termasuk adikya. Susulan itu dia mencari formula untuk mencipta bahan letupan yang lebih selamat, dan pada 1867 dia menemukan gabungan nitrogliserin dan bahan berliang dipanggil kieselguhr menghasilkan campuran yang sangat meletus tetapi lebih selamat dikendalikan. Nobel menamakan ciptaannya ini 'dynamite', daripada perkataan Greek dynamis bermaksud 'kuasa'. 

Selepas mempatenkan ciptaannya itu, Nobel menjadi kaya dan masyhur apabila manusia semakin rancak menggunakan dinamit dalam pembinaan dan perperangan. 

Pada 1875, Nobel menambah baik formula untuk dinamit yang lebih kuat iaitu blasting gelatin dan pada 1887 memperkenalkan pula ballistite, serbuk nitrogliserin yang tidak berasap. 

Portret Alfred Nobel,  oleh Gösta Florman. (Foto: Wikipedia)

Tidak lama selepas itu, salah seorang abangnya meninggal dunia di Perancis dan akhbar di sana tersilap menyangkakan yang mati itu Alfred. Salah satu daripada headlinenya ditulis 'THE MERCHANT OF DEATH IS DEAD' (Saudagar Kematian Sudah Mati). 

Sebagai seorang pasifis yang menyokong usaha keamanan, dia tersentak akhirnya menyedari bahawa apa yang dilakukan selama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kematian dan kehancuran. Dan dia menghabiskan sisa hidupnya dengan menyatakan keraguannya terhadap manfaat ciptaannya kepada kemanusiaan.

Nobel meninggal dunia pada 10 Disember 1896 di San Remo, Itali. Dalam wasiatnya, dia meminta supaya sebahagian besar estetnya dimanfaatkan untuk mewujudkan hadiah yang akan dianugerahkan kepada mereka yang membawa manfaat kepada dunia. Ditulis, 

"(satu anugerah perlu diberikan) kepada insan yang telah menghasilkan usaha terbaik untuk persaudaraan antara negara, untuk pemansuhan atau pengurangan tentera yang berdiri, dan untuk memegang serta menganjurkan keamanan bersama."

Hari ini, Hadiah Nobel dianggap sebagai penganugerahan tertinggi kemanusiaan dalam pelbagai bidang. Setiap tahun, hadiah tunai hampir $1.4 juta serta pingat emas diberi kepada pemenang sebagai tradisi. 

Siapa yang menentukan pemenangnya? Akademi Sains Diraja Sweden untuk bidang fizik, kimia dan sains ekonomik; Institut Pembedahan Perubatan Caroline Diraja Sweden untuk bidang perubatan dan fisiologi; Akademi Sweden memilih bagi bidang sastera; dan sebuah jawatankuasa ditubuhkan parlimen Norway akan menentukan pemenang bidang keamanan. 

Begitulah cerita sejarah ringkas penciptaan hadiah berprestij ini yang tidak dijelaskan apa alasan di sebaliknya, tetapi jelas ia seakan sebuah kenyataan keinsafan untuk menebus dosanya yang lalu.


Sumber: History, Wikipedia 


Hadiah Nobel wujud daripada sebuah penyesalan Hadiah Nobel wujud daripada sebuah penyesalan Reviewed by Hilal Azmi on December 10, 2020 Rating: 5

No comments